JANGAN hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Baru-baru ini hangat diperkatakan di media sosial mengenai seorang inspektor polis yang bertindak biadab terhadap orang bawahannya. Bagaikan menjernihkan semula imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kini tular satu video di TikTok memaparkan seorang anggota polis menyantuni lelaki lanjut usia menjual surat khabar di tepi jalan. Pegawai polis ini bertemu dengan seorang penjual surat khabar. Dalam video tersebut, anggota polis itu menyapa seorang pakcik berbangsa India yang terpacak berdiri di gerai surat khabarnya ketika hari baru sahaja hendak bermula. "Nampak pakcik ni seorang diri dekat payung merah ni, jom kita buat sesi suai kenal," tulis anggota itu dalam video yang meraih lebih setengah juta tontonan. Anggota polis itu kemudiannya membuka perbualan dengan pakcik tersebut yang sudah menjual surat khabar selama hampir 20 tahun bermula dari tahun 2003. ARTIKEL BERKAITAN: Depan baik, belakang kutuk! Suami isteri terkejut polis datang cari, rupanya makcik sebelah punya angkara - “Saya orang tua tak takut mati” ARTIKEL BERKAITAN: Komen negatif di TikTok jadi asbab perkenalan dengan Sifu Lentik! Abang sado kagum arwah tak sombong, boleh terima teguran "Sekarang baru pukul 6:30 pagi, sejak pukul berapa ada dekat sini dan biasa balik pukul berapa? Memang gelap begini je ke kedai? "Satu surat khabar jual berapa?" soal anggota itu kepada pakcik berkenaan yang berumur 63 tahun. Menurut pakcik itu, keuntungan dari penjualan surat khabarnya tidak membolehkannya hidup mewah tetapi cukup untuk menampung makan minum hariannya. Bagus abang polis ni, hormat semua orang. WARGA MAYA "Biasanya saya mula buka kedai pukul 5:20 pagi, saya akan tunggu sampai ke tengah hari macam tu untuk orang beli surat khabar. Kalau surat khabar habis cepat, saya boleh balik awal. "Tak ada gelap sangat, gerai saya ada dekat bawah lampu jalan ni, dah okay dah, cukup terang. "Saya jual satu naskhah surat khabar RM2, boleh dapat untung dalam 40 sen," ujar pakcik itu dengan lampu siren berwarna biru daripada kereta peronda menyimbahi wajahnya. Tersentuh hati dengan nasib pakcik itu yang hanya sebatang kara meneruskan kehidupan, anggota polis yang dipercayai berpangkat lans koperal tersebut cuba untuk menyuntik semangat. Pegawai polis ini cuba memberikan sokongan moral kepada penjual surat khabar itu. "Tak apa uncle, rezeki tidak akan salah alamat. Berniagalah di mana pun, tempat gelap sekalipun, kalau ada rezeki... mesti ada punya. "Saya dengan uncle sama je, kita sama-sama cari rezeki untuk keluarga. Anak dan isteri ada sini ke?" tanya anggota itu cuba mengenali pakcik tersebut dengan lebih dekat. Membuka lembaran sedih kisah hidupnya, pakcik itu mengatakan dia sudah kehilangan isterinya selama hampir 11 tahun. "Isteri sudah meninggal tahun 2012. Dulu ada isteri, dia rajin tolong saya. Saya berniaga dekat gerai sini, isteri akan pergi hantar surat khabar rumah ke rumah. Penjual surat khabar ini mengimbau kenangan bersama mendiang isterinya. "Ada satu hari tu, waktu pagi-pagi dia keluar nak hantar surat khabar, ada kereta langgar dia. Selain surat khabar, isteri dulu ada buat lori sewa juga, dia banyak tolong saya, sekarang saya seorang je. "Isteri saya sangat rajin, saya tak akan jumpa isteri yang macam dia lagi," kata pakcik itu mengimbas masa lalu dengan hati yang sering merindui. Menurut anggota polis itu, pertemuannya dengan pakcik tersebut memberikan pengajaran yang tidak ternilai untuknya. "Terima kasih ya Allah kerana ketemukan saya dengan pakcik ni. Walaupun kita berlainan agama, tapi kita tetap manusia biasa yang tidak dapat lari daripada ujian-Nya. "Tergerak hati saya tadi kenapa pakcik ni seorang je, sebab itu patah balik nak pergi tengok, rupanya uncle jual surat khabar," kata pegawai polis tu. Sebahagian komen warga maya. Sebelum meninggalkan pakcik itu untuk meneruskan urusannya, anggota itu sempat menghulurkan sesuatu sebagai sumbangan ikhlas daripadanya. "Saya ada hajat, saya bukan kata nak bagi sedekah, tapi saya nak bagi hadiah dekat uncle. Ambil ini, saya bagi ikhlas untuk uncle. Nilai tidak seberapa tetapi ikhlas kerana Allah. "Nanti hari lain kita jumpa lagi, sedih pula rasa nak tinggalkan uncle ni," kata pegawai polis itu menutup bicara. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji anggota polis itu yang sangat berbudi dalam perbicaraannya. "Abang polis ni orang Kelantan ke, boleh dengar dari loghat dia ada bunyi Kelantan lagi. "Bagus abang polis ni, hormat semua orang. Mesti uncle ni seronok dapat bercerita," kata warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!