MENYELAM skuba merupakan satu aktiviti mengujakan dan terapi untuk ketenangan minda. Namun siapa sangka sekumpulan penyelam skuba berdepan detik cemas apabila menemui beberapa ekor ular laut paling berbisa di dunia ketika melakukan eksplorasi di dasar laut. Dengan hanya sekali patuk, dikatakan ia mampu membunuh manusia dalam masa yang singkat! View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Salah seorang penyelam skuba, Salmi Ahmad berkata, dia bersama sekumpulan rakan melakukan aktiviti itu di Pulau Bidong, Terengganu pada 22 Jun lalu. Lebih dikenali sebagai Mims Ahmad, dia memaklumkan aktiviti selam skuba itu bertujuan untuk eksplorasi kapal Pelarian Vietnam yang karam pada 1978. Kehadiran ular laut Belcher berhampiran seorang penyelam. -Gambar @Ohmyganung "Kami baru menyelam ke dasar laut pada kedalaman 25 meter. Tiba-tiba seekor ular laut Belcher, ular laut paling berbisa di dunia kelihatan menghampiri seorang rakan, Asrul Salleh. "Kami memang kenal jenis-jenis ikan dan ular di dasar laut dan setiap penyelam memang harus ada pengetahuan spesis berbisa di bawah dasar laut," katanya kepada mStar. Dilaporkan, Pulau Bidong sebelum ini dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Pulau Vietnam, berikutan lokasi ini pernah dijadikan sebagai pusat penempatan pelarian dari Vietnam suatu ketika dulu, sekitar 1976 hingga 1991. Eksplorasi kapal pelarian Vietnam yang karam. -Gambar @Ohmyganung Wanita berusia 38 tahun itu mengakui panik dan takut kerana bimbang diserang ular itu, namun bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku. ARTIKEL BERKAITAN: Macam ada insang! 3 sekawan 'enjoy' menyelam tanpa tabung oksigen, puas hati dapat tengok bangkai pesawat di dasar laut ARTIKEL BERKAITAN: Apabila Tengku Jihan kongsi aksi selam skuba, peminat si puteri pun sibuk 'up' foto dalam laut... 'hadiah' mini love, coral - "Rajin-rajinlah dive ke hati saya" "Walau bagaimanapun, ular laut Belcher memang dikenali dengan sifat 'mesra' dan suka berenang bersama penyelam skuba. "Tetapi tidak bermaksud kita boleh menghampiri spesis paling berbisa di dunia yang boleh mengancam nyawa manusia dalam masa kurang 30 minit," ujarnya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Mims Ahmad (hadapan, kiri) bersama rakan-rakan penyelam skuba. Pertama kali menemui spesis itu sepanjang lapan tahun menyelam skuba, Mims Ahmad berkata, mereka mengelak daripada dipatuk dengan cara yang tidak mendatangkan ancaman kepada ular tersebut. "Kami hanya biarkan sahaja dan sedaya-upaya untuk mengelak agar fin selaman kami tidak terkena pada ular berkenaan. "Malah, kami menyambung eksplorasi kapal karam pelarian Vietnam yang berusia hampir 45 tahun dan menemui anak-anak ular laut Belcher di kawasan kapal karam," katanya. Tambah Mims Ahmad, aktiviti selam skuba itu dilakukan bersama kumpulan daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Kelab Skuba Media Prima. Pemandangan di dasar laut. -Gambar @Ohmyganung Tidak serik dengan insiden bertemu dengan ular laut Blecher, ibu kepada dua cahaya mata itu menganggapnya sebagai pengalaman yang paling berharga. "Menemui spesis marin yang terkenal di dunia dan jarang dapat ditemui merupakan sesuatu pengalaman paling berharga bagi setiap penyelam skuba. Ular laut Belcher spesis paling berbisa di dunia yang boleh mengancam nyawa manusia dalam masa kurang 30 minit. SALMI AHMAD PENYELAM SKUBA "Kami berasa bertuah walaupun spesis ular itu paling berbisa di dunia, tetapi ia adalah pertama kali ditemui sepanjang menjadi seorang penyelam skuba," katanya yang menghabiskan selaman kira-kira 45 minit. Dalam pada itu, Mims Ahmad yang merupakan pengurus produk itu turut berkongsi keterujaan sewaktu eksplorasi berkenaan. Mims Ahmad (hadapan, kanan) dan rakan-rakan teruja menyelam di dasar laut. "Walaupun ada perasaan sedikit takut tetapi ia hilang selepas melihat pelbagai habitat dan kehidupan marin akuatik di kapal karam berkenaan. "Berada di dasar laut membuatkan saya berasa seolah-olah di dalam akuarium dunia kerana pemandangannya terlalu indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata. "Saya terpegun menyaksikan syurga laut dan sangat kagum dengan ciptaan Yang Maha Esa. Ia umpama terapi sehingga saya terlupa segala masalah yang ada. Tengok kapal karam tu terus terbayangkan kapal Titanic yang karam di laut Atlantik," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!