suria

“Love dan dua orang lidi” - Anak asyik dapat surat cinta tapi dah koyak buang, cuma sayang mama seorang sebab selalu masak

Lokman dan Hakim baru berusia enam tahun dan bersekolah tadika.

COMEL dan menghiburkan! Begitulah reaksi kebanyakan netizen selepas seorang ibu berkongsikan kisah anak kembarnya yang mendapat surat cinta daripada rakan sekelas.

Anaknya baru sahaja berusia 6 tahun dan bersekolah di tadika Kemas tetapi salah seorang daripada mereka sudah pandai menolak ‘cinta’ seorang kanak-kanak perempuan.

Bercerita kepada mStar, ibu kepada pasangan kembar berkenaan, Siti Fatihah Ngahdimin berkata, dia gemar mendengar cerita anak kembarnya setiap kali mereka pulang dari sekolah.

Maklumlah, ada sahaja celoteh yang dikongsikan termasuk mendapat surat cinta daripada seorang kanak-kanak perempuan.

Lokman dan Hakim semasa baru lahir dan selepas boleh berjalan.

Lokman dan Hakim semasa baru lahir dan selepas boleh berjalan.

Bagaimanapun, hanya Muhammad Nur Lokman sahaja yang sering menerima surat cinta berbanding adik kembarnya Muhammad Nur Hakim.

“Baru-baru ni Lokman cakap dapat surat cinta daripada rakan perempuan di kelasnya.

“Adik dia pun pernah cakap yang ada budak perempuan suka Lokman,” katanya.

Dia yang ingin mengetahui isi kandungan surat tersebut bagaimanapun berasa hampa kerana anaknya sudah mengoyak dan membuang surat itu.

Namun anaknya sempat memberi gambaran mengenai surat itu yang hanya mempunyai lukisan gambar hati bersama dua 'orang lidi'.

“Lokman cakap dia tak tulis... dia tak pandai tulis, dia lukis gambar love dengan orang lidi dua.

“Pada masa sama dia bandingkan lukisan tu dengan gambar yang dilukis adik kembarnya. Surat tu pun dia suruh Hakim koyak dan buang,” ceritanya.

Menyedari Lokman tidak sepatutnya bertindak sedemikian, dia yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan menitipkan kata-kata nasihat buat kedua-dua kembar berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa 'cinta' murid tahun 3 terbongkar, pelajar senior jumpa surat tercicir dalam van, “Walaupun kau coklat, aku tetap suka kau”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu demam terkejut, bapa mengamuk anak darjah 3 dapat surat cinta lukisan adegan ranjang, diintai murid lelaki di tandas

“Saya cakap tak baik koyak buang macam tu. Cakap elok-elok, surat tu simpan dan bagi pada saya supaya dapat tengok isi kandungan.

“Iyalah, dia cakap banyak kali terima surat daripada budak yang sama.

“Saya pun pernah bertanya pada dia sama ada suka atau tidak pada kawannya itu, tetapi ayatnya mengejutkan... abang tak suka, perempuan yang abang suka mama saja sebab mama masakkan makanan untuk abang,” ujarnya.

Menurut wanita berusia 31 tahun itu lagi, perwatakan Lokman yang lembut, mudah mengalah dan tekun apabila membuat sesuatu perkara mungkin menjadikannya ‘popular’ di kelas.

Apabila borak dan dengar kembar bercerita ada sahaja ayat yang mencuit hati. Tapi kalau bergaduh sampai luka setiap 30 minit.

SITI FATIHAH

Tambahan pula percakapannya perlahan dan sopan serta seorang yang lurus.

Manakala Hakim pula bertentangan sikapnya dengan suara lebih lantang tetapi pandai ambil hati, memuji serta gemar melawak.

“Paling best sebab kedua-duanya rajin tolong saya kemas rumah, angkat kain baju dan jaga adik,” katanya.

Mengimbau kenangan semasa hamil pasangan kembar itu, dia yang berniaga online menjual baju bundle kanak-kanak berkata, anak pertamanya itu dilahirkan ketika usia kandungan mencecah 36 minggu.

Siti Fatihah bersama suami dan anak-anaknya.

Siti Fatihah bersama suami dan anak-anaknya.

“Ada buat imbasan tapi masa tu, Hakim menyorok di belakang abangnya... jadi tak perasan. Lagipun saya alahan teruk sampai kurus dan perut tak besar.

“Imbasan terakhir baru tahu yang saya hamil anak kembar. Kepala Lokman dah turun bawah kemudian nampak kepala Hakim sedang melintang bawah rusuk kanan. Ingatkan ada ketumbuhan tapi nampak tulang belakang dia.

“Doktor sahkan kembar pada Rabu, esoknya masuk wad dan bersalin pada Jumaat,” ujarnya lanjut.

Baginya, mempunyai anak kembar adalah pengalaman paling manis dan menggembirakan.

Namun, tidak dinafikan anak kembar mempunyai ragam yang tersendiri selain asyik bergaduh.

“Apabila borak dan dengar kembar bercerita ada sahaja ayat yang mencuit hati. Tapi kalau bergaduh sampai luka setiap 30 minit... kasut yang sama pun boleh gaduh.

“Tapi paling sebak semasa kita naik kereta jenis Kancil, mereka tetap seronok dan sayang keretanya... sempit pun tak kisah,” luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain