suria

Padah berasap 24 jam! Lelaki jauhi vape selepas seminggu di ICU, dada ditebuk... Simptom bermula masa jogging

Aiman dirawat seminggu di ICU gara-gara paru-paru bocor akibat menghisap vape.

IBARAT diberi 'nyawa' kedua.

Seorang pemuda meluahkan rasa syukur apabila dia kembali sihat selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat menghisap vape pada Januari lalu.

Menurut Amirul Aiman, 26, dia sama sekali tidak menyangka akan berdepan detik getir itu dan menyifatkan ia sebagai pengalaman yang menginsafkan buat dirinya.

Imbas operator sebuah kilang elektronik itu, dia pada mulanya mengalami sesak nafas sebelum timbul komplikasi lain, memaksanya mendapatkan rawatan di sebuah hospital pada keesokan harinya.

man2

Aiman menganggap detik dimasukkan ke ICU sebagai pengalaman menginsafkan buat dirinya.

"Rasanya dah tiga ke empat tahun saya hisap vape. Saya jadikan vape sebagai alternatif untuk kurangkan hisap rokok. Sepanjang tempoh itu, pernah je rasa sesak nafas kadang-kadang. Tapi saya buat tak tahu je.

"Dalam kejadian pada Januari lalu, saya tiba-tiba sesak nafas ketika jogging, badan juga rasa sakit. Paru-paru saya macam kena cengkam. Jadi saya balik rumah, makan ubat tahan sakit dan terus tidur.

"Bangun petang tu masih sakit. Saya tidur semula dan sedar pada waktu malam, sakit belum hilang. Sakit ketika baring, tidur mengiring baru okay. Esoknya masih sakit, saya terus ke hospital. Seminggu masuk ICU," ujarnya kepada mStar.

Buka mata cari asap. Lepas makan asap. Sebelum tidur asap. Tapi disebabkan asap paru-paru saya bocor dan ditebuk.

AMIRUL AIMAN

Menurut Aiman, pengalaman seminggu di ICU merupakan fasa menakutkan dalam hidupnya dan dia berdoa agar diberi kesembuhan serta dapat menjalani kehidupan normal semula bersama keluarganya.

"Saya masuk ICU sebab paras oksigen menurun. Selepas buat imbasan X-ray, doktor maklumkan paru-paru kanan kecut sebab saya hisap vape. Dada saya juga terpaksa ditebuk. Memang lain macam aura dalam ICU, kalau boleh tak nak masuk lagi.

"Doktor kata ramai sangat yang masuk hospital sebab vape. Masa dalam ICU, saya nekad nak berhenti hisap vape. Saya kesian tengok isteri, tengok mak saya datang melawat. Keluarga sedih tengok ada paip kat dada saya," imbasnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis bawah umur bangga hembus vape, selamba merokok depan orang... Lelaki ini runsing generasi muda makin tak malu buat salah

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki suap vape pada bayi, kedengaran suara wanita ketawa kecil sambil rakam video - “Pecah rekod nanti you sedut”

Aiman yang menetap di Sungai Buloh, Selangor turut berkongsi tentang pengalaman gelapnya itu menerusi aplikasi TikTok sehingga meraih lebih 300,000 tontonan.

Aiman juga sempat menitipkan pesan kepada individu di luar sana agar menjadikan kisahnya sebagai pengajaran dan berharap mereka dapat perlahan-lahan meninggalkan vape.

"Saya suka-suka buat perkongsian agar ia jadi pengajaran kepada orang lain. Tak sangka pula video viral di TikTok. Memang benar vape sekarang macam trend. Saya sendiri berhabis RM100 atau lebih setiap bulan.

man3

Video yang dikongsi Aiman tular di TikTok.

"Dulu saya tak pernah kisah tentang paru-paru. Buka mata cari asap. Lepas makan asap. Sebelum tidur asap. Tapi disebabkan asap paru-paru saya bocor dan ditebuk.

"Untuk individu di luar sana, yang dah terlanjur hisap vape, saya harap anda dapat berhenti. Cuba untuk berhenti. Kita masih muda. Kalau tak fikir kesihatan diri, sila fikir tentang keluarga," ujarnya lagi.

Di TikTok, ramai netizen meninggalkan komen pada video itu dan berharap kisah Aiman mampu memberi pengajaran kepada mereka yang masih menghisap vape.

"Bang teruskan bagi kesedaran kat orang awam. Budak-budak sekolah sekarang pun dah ketagih.

"Alhamdulillah, bagus bagi contoh yang baik untuk orang lain," tulis netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain