KEPULANGAN ibu bapa dari Tanah Suci selepas menunaikan haji pastinya dinantikan anak-anak. Selain kurma dan air zam zam, barangan lain yang dibawa pulang mereka ke tanah air tentunya cenderamata. Namun menerusi satu video yang tular, seorang jemaah wanita tidak menyangka terbeli seutas tasbih yang ukurannya sangat panjang. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Berkongsi cerita, anak kepada jemaah berkenaan, Nor Basirah Azman berkata, ibunya yang berusia 53 tahun tiba di Malaysia bersama bapa dan ibu saudaranya, pada Ahad lalu. Lebih dikenali sebagai Syierah Azman, dia memberitahu ibunya membeli banyak tasbih untuk diagihkan sebagai buah tangan kepada rakan-rakan di kampung. "Mak baru je balik dari menunaikan haji. Dia beli tasbih sebagai hadiah untuk orang-orang kampung. Ada tasbih pelbagai warna dan jenis seperti kristal dan kayu. "Dia singgah ke satu kedai di Makkah dan tertarik dengan tasbih kayu. Nampak segenggam, mak terus minta penjual bungkus dan bayar sebelum balik ke hotel," katanya kepada mStar. Dari kanan, bapa, ibu dan ibu saudara di Tanah Suci. Wanita berusia 28 tahun itu berkata, ibunya hanya membuka bungkusan yang mengandungi tasbih kayu itu sebaik pulang ke rumah di Kampung Jeram B, Pasir Puteh, Kelantan. ARTIKEL BERKAITAN: Kunci disangka tasbih digital, berderai air mata ayah pertama kali ada kereta baharu - "Selama besarkan kami, hanya guna second hand" ARTIKEL BERKAITAN: Beli mikrofon di e-dagang, tasbih yang dihantar... Cikgu terkejut, 'nak tergelak pun ada' "Bila unboxing barang-barang yang dibeli dari Makkah, mak terkejut tasbih kayu yang dibelinya sangat panjang. Mak tak pernah tengok tasbih sepanjang itu. "Ia sebenarnya tasbih kayu 1,000 butir. Kebiasaannya yang kita guna adalah tasbih 33 butir. Memang sangat panjang lebih dua meter," ujarnya yang berasal dari Pasir Puteh. Ibu bapa pulang ke tanah air selepas menunaikan haji. Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, kejutan tersebut mengundang lucu dalam kalangan keluarga dan saudara-maranya yang melihat tasbih berkenaan. "Semua gelak sebab mak tersalah beli. Mak pada mulanya cadang nak hadiahkan tasbih kayu tu kepada orang-orang kampung, terus tak jadi sebab satu je yang ada," katanya lagi. Tasbih berukuran lebih 2 meter. Syierah Azman yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun berkata, hasrat ibunya untuk bersedekah tetap diteruskan kerana dia turut membeli beberapa cenderamata lain. "Mak beli sejadah, rantai kunci dan jubah. Sebenarnya ada juga tasbih 33 butir tu tapi bukan jenis kayu. Tasbih kayu tu cuma ada satu je, mak beri pada bapa saudara iaitu adiknya yang mahukannya. Lain daripada yang lain dan tak pernah nampak orang di Malaysia guna. NOR BASIRAH AZMAN "Pada awalnya memang nak jadikan sebagai kenangan sebab 'rare', lain daripada yang lain dan tak pernah nampak orang di Malaysia guna. Tapi adalah lebih baik beri kepada orang yang memerlukannya. "Dengan tasbih 1,000 butir tu membolehkan zikir dilakukan dengan lebih lama dan selesa. Ia amat bersesuaian dengan bapa saudara yang kerap berzikir," tambahnya. Ibu (kiri) bersama ibu saudara di hadapan Kaabah. Mengenai video yang dimuat naiknya di TikTok sehingga meraih lebih 800,000 tontonan, dia tidak menyangka menerima banyak komen yang melucukan daripada netizen. "Saya terhibur baca komen-komen mereka. Ada yang sangka ia pada mulanya adalah tali skipping, zikir sampai seminggulah. "Bukan, itu memang tasbih 1,000 biji untuk kegunaan seorang yang mahu berzikir. Ringan nak pegang, cuma panjang sangat je," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube