suria

Kos RM3,000, pengantin nikah bajet selamat disatukan! Suami pakai seluar singkat, isteri mekap sendiri... Yang penting halal

Pasangan ini membelanjakan RM3000 untuk majlis perkahwinannya.

WALAUPUN 'murah' tetapi perkahwinan pasangan ini kelihatan cukup bermakna.

Sebagaimana dikongsikan pengantin perempuan, Siti Nuraishaa, 21, majlis kahwinnya dan pasangan, Sazlan Iman Tuah, 28, berlangsung ringkas dengan kos sekitar RM3,000.

Menurut Siti Nuraishaa yang senang disapa Eca, dia dan Sazlan sama-sama bersetuju untuk mengadakan majlis secara sederhana tanpa mahu membazirkan wang pada 22 Jun lalu di Pejabat Kadi Daerah Pontian di Johor.

"Saya dan suami memang dah berniat nak buat majlis nikah simple. Kalau ada rezeki lebih nanti baru bincang semula dengan keluarga untuk buat majlis lain.

"Masa beritahu ibu dan ayah saya lega sangat sebab mereka setuju dan memahami niat kami nak jimat kos perbelanjaan kahwin. Kami nikah di pejabat agama dengan membawa hantaran mas kahwin saja.

"Tak ada buat hantaran berdulang-dulang pun. Pelamin tak tempah, cuma guna yang ada di pejabat agama saja. Bayar kadi dan wali pun RM200 saja," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya guna iPhone, pemuda tawar khidmat video kahwin dengan harga RM200 je... Jadual ’shoot’ pengantin penuh sampai Mei tahun depan!

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu nikah kos murah je, banyak benda tak puas hati! Kini suami ajak isteri buat ‘majlis mahal’, gah macam rakan lain

Eca yang merupakan seorang pendidik di sebuah prasekolah Cina berkata dia lebih mementingkan kehidupan selepas berkahwin, dengan mengambil kira harga barangan di pasaran kini lebih mahal berbanding dahulu.

Selain menata rias dirinya sendiri, Eca yang berasal dari Pontian, Johor ini juga tidak mengupah jurufoto untuk mengabadikan momen indah pada hari bahagianya bersama suami, seorang penghantar makanan.

"Ekonomi sekarang memang sangat mencabar jadi saya lebih memikirkan masa depan kami selepas berkahwin yang banyak menggunakan duit. Saya tak nak habiskan dalam satu hari saja.

"Saya bukan MUA (make-up artis), tapi sebab dah biasa dan minat bersolek dari kecil jadi saja nak tunjuk bakat saya boleh mekap sendiri untuk berjimat. Gambar pun kami ambil guna telefon saja minta tolong famili tangkapkan.

Pasangan ini sudah mengenali satu sama lain sejak 2021.

"Perbelanjaan makan untuk kenduri pula kami cuma habiskan dalam RM1,000 saja dengan jemput orang di surau untuk buat doa selamat. Kami masak lebih untuk tetamu lain yang ada dalam majlis tu dari siang sampailah ke malam," ujarnya yang sudah mengenali Sazlan sejak 2021.

Dalam pada itu, dia yang merupakan anak kedua daripada empat adik beradik turut menjelaskan mengenai seluar suaminya yang singkat daripada ukuran sepatutnya.

"Kami dah beli baju untuk nikah dari tahun lepas. Saya memang niat nak pakai jubah je masa nikah dan suami cadang pakai baju Melayu tapi dia dah terpakai sekali masa hari raya sebab tema hitam tahun ni.

Benda baik buat apa nak risau dan lambatkan.

SITI NURAISHAA

"Jadi siapa yang tegur seluar suami saya singkat tu sebab lepas basuh seluar tu macam mengecut dan bahagian kakinya jadi pendek bila pakai kali kedua," katanya lagi.

Mengenai tanggapan negatif orang ramai terhadap majlis kahwin bajetnya, dia tidak ambil peduli sebaliknya berharap perkongsiannya ini dijadikan inspirasi buat bakal pengantin.

Setelah video dikongsikan mendapat perhatian ramai di media sosial, dia bersyukur apabila ramai yang mendoakan kebahagiaannya selepas mendirikan rumah tangga.

"Walaupun ada komen negatif diberikan, saya tak pedulikan pun. Benda wajib dan mudah buat apa susah-susahkan. Yang penting halal! Simple tapi syukur Allah permudahkan segala-galanya.

Eca dan Sazlan hanya menggunakan pelamin disediakan di pejabat agama untuk sesi bergambar.

"Ramai juga yang terinspirasi lepas tengok video tu dan tanya macam mana nak jimat untuk berkahwin dengan kurangkan kos perbelanjaan.

"Saya gembira apabila ramai yang bersetuju dengan cara saya uruskan perkahwinan. Bagi saya, apa yang lebih penting adalah tanggungjawab yang perlu digalas tu tertunai," jelasnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain