suria

Berkerusi roda tetap sayang! Gadis ini setia di sisi kekasih, 2 tahun tak mengeluh jaga orang sakit... Jual ‘choco jar’ bantu tanggung kos rawatan

Wanita ini kongsi kisah manis menjaga kekasih yang sakit sejak kemalangan dua tahun lalu.

BENARLAH kata orang cinta sejati itu wujud dan ia hidup segar dengan satu perasaan yang ikhlas.

Ia dibuktikan dengan kisah wanita ini apabila dia sanggup menjaga kekasihnya yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan pada 22 April 2021.

Ketika dihubungi mStar, Nur Aisyah Ruslan, 21, berkata sejak itu dia turut sama menggalas tanggungjawab menjaga Adam Hrith, 21 yang sudah dikenali sejak lima tahun lalu.

“Kami sudah bercinta sejak zaman sekolah menengah membawa ke kolej vokasional sampailah sekarang... dah lebih lima tahun.

“Tapi Adam ditakdirkan kemalangan jalan raya ketika menunggang motor. Dia terlanggar sebuah treler sewaktu semester akhir diploma. Sekarang dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Walaupun dia sakit sehingga alami kecederaan pada saraf dan otak tapi saya tetap tidak tinggalkan dia. Kami masih berkawan sama macam dulu dan tiada apa satu pun yang berbeza. Apatah lagi dia sangat memerlukan semangat untuk kesembuhan diri,” ujar Aisyah ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita undang kecaman kongsi tip percutian bajet di Thailand bersama kekasih, tak bimbang terzina sebab ‘jaga niat’

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai ‘murung’ tengok pasangan ‘terlajak manja’ makan sambil borak, geli si pakwe kunyah fries sampai nak tersembur

Menurutnya Aisyah, dia berulang-alik hampir setiap hari dari rumahnya di Sungai Petani ke Bukit Selambau, Kedah untuk menjaga Adam di rumahnya.

Malah dia yang merupakan anak ke enam daripada tujuh beradik turut membantu ibu Adam menanggung kos rawatan fisiologi dan keperluan kekasihnya itu dengan berniaga choco jar.

“Adam dijaga oleh ibu dan bapa tiri dia sepenuhnya. Tapi sekarang saya dan ibu dia yang tanggung kos rawatan seperti belikan lampin pakai buang, ubat-ubatan dan rawatan fisio setiap minggu.

Aisyah tetap menjaga kekasihnya walaupun dilanda musibah.

“Saya ikhlas menjaga Adam sebagai kekasih dan membalas jasa baiknya dahulu. Ketika awal-awal saya berniaga, Adam yang banyak membantu saya pergi hantar COD (cash on delivery) choco jar berkotak-kotak. Tak pernah sekali pun merungut.

“Jadi saya tak akan tinggalkan dia apatah lagi dalam keadaan macam sekarang ni. Tapi saya tak boleh cakap lebih-lebih sebab hati kita Allah yang pegang,” katanya yang turut bekerja di sebuah kilang di Kedah.

Bercerita mengenai perkembangan Adam, Aisyah berasa lega apabila melihat keadaan kekasihnya yang semakin pulih walaupun keadaan sendi pinggulnya yang terkeluar akibat kemalangan masih belum sembuh.

Jujurnya memang rindu Adam yang dulu tapi saya bersyukur Allah masih pinjamkan dia untuk kami semua.

NUR AISYAH

Kisah cinta pasangan ini menjadi perhatian selepas Aisyah berkongsi video meraikan hari ulang tahun kelahiran Adam bersama rakan-rakannya pada 20 Jun lalu.

“Saya bersyukur keadaan Adam semakin pulih. Dulu terlantar sampai boleh bangun. Daripada tak boleh bercakap sampai boleh bercakap sikit-sikit. Paling penting ingatan dia tak ada satu pun yang luput.

“Jujurnya memang rindu Adam yang dulu tapi saya bersyukur Allah masih pinjamkan dia untuk kami semua. Hari lahir dia baru ni pun kami sambut di rumah saya saja sebab masih trauma nak bawa dia berjalan jauh lepas apa yang terjadi.

“Saya, keluarga dan kawan-kawan Adam yang rancang semua ni. Ibu Adam masakkan nasi tomato untuk kami makan. Sedikit sebanyak usaha kami lakukan ini boleh buatkan kekasih saya ni kembali gembira macam selalu,” ujarnya lagi.

Adam bersama rakan-rakan ketika menyambut hari lahirnya.

Tidak meletakkan harapan tinggi namun Aisyah berdoa agar Adam dipanjangkan usia untuk mereka terus bersama meluangkan masa dan ada keajaiban berlaku terhadap buah hatinya itu.

“Andai kata kami berjodoh, mungkin saya akan berkahwin dengan Adam. Kita tak boleh nak cakap lebih-lebih soal jodoh sebab semua tu rahsia Allah.

“Cuma saya mengharapkan orang ramai mendoakan kami berdua sentiasa tabah dalam menjalani ujian ini seikhlas hati.

“Untuk mereka yang alami nasib sama dengan saya, jangan risau dengan dugaan ini sebab kita insan terpilih oleh Allah untuk berbuat kebaikan. Jika tiada ujian sebelum kahwin, akan ada ujian selepas berumah tangga,” katanya menutupi kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain