suria

Terkejut nampak Cikgu Fadli buat live TikTok jual barang bundle, tapi tanya soalan sifir pun tergagap... Rupanya ada ‘kembar’ terpisah

Syafiq (kanan) dikatakan mirip Cikgu Fadli (kiri).

RAMAI mengenali guru Matematik, Mohd Fadli Salleh di media sosial kerana kerap berkongsi mengenai isu pendidikan, kisah kemasyarakatan dan aktiviti kebajikannya.

Namun siapa sangka, seorang pemuda turut terkena tempias gara-gara wajahnya dikatakan mirip dengan Mohd Fadli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli.

Malah, menerusi hantaran di Facebook, Cikgu Fadli yang mempunyai lebih 700,000 pengikut memaklumkan dia turut diajukan soalan sama ada dia kini menjual pakaian terpakai (bundle) secara dalam talian.

"Eh, mana ada," tulis Cikgu Fadli selepas menerima tangkap layar wajah seorang pemuda sedang menjual baju bundle di TikTok, menerusi aplikasi WhatsApp.

Syafiq menjual barang bundle di TikTok.

mStar kemudian menjejaki individu yang dikatakan mirip Cikgu Fadli itu.

Bercakap kepada mStar, Muhamad Syafiq Ikmal Saizan mengakui terkejut apabila dikatakan mirip Cikgu Fadli ketika membuat penstriman secara langsung (live) di TikTok

"Rasa cuak tiba-tiba saya dapat soalan-soalan tidak berkaitan daripada mereka yang menyaksikan saya membuat live untuk menjual barang-barang preloved.

"Segelintir mereka bertanyakan soalan-soalan Matematik, ada yang tanya saya pasal sifir. Kebiasaannya orang tanya tentang harga barang yang saya jual," katanya ketika dihubungi.

Mesra disapa Syafiq, pemuda berusia 25 tahun itu memberitahu kemungkinan persamaan tersebut disebabkan penampilannya yang bermisai.

"Sebelum ini saya tak ada misai. Baru je simpan misai sejak bulan lepas, itu yang mungkin follower Cikgu Fadli masuk ke live saya tanya soalan-soalan Matematik,” ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Mohd Fadli Salleh yang mempunyai ramai pengikut di Facebook.

Jika Cikgu Fadli mahir dalam Matematik, pemuda berkelulusan Diploma Teknologi Automotif daripada Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Masjid Tanah, Melaka ini boleh berbahasa Mandarin.

"Saya belajar bahasa Mandarin daripada tadika sehingga darjah enam. Jadi, apabila orang tanya pasal sifir, saya terbiasa dengan angka dalam tulisan Cina sebab belajar sifir masa sekolah rendah.

Cita-cita saya hendak membesarkan empayar bisnes baju bundle dan mahu membuka peluang perniagaan kepada orang lain.

SYAFIQ IKMAL SAIZAN

"Bukanlah mahir sampai boleh jadi guru bahasa Mandarin, tapi setakat nak faham dan balas apa yang orang lain cakap tu kira bolehlah. Pernah juga cakap Cina sikit-sikit masa buat live.

"Tapi kalau nak melihat daripada segi kemahiran tu, mungkin lebih kepada automotif di mana saya boleh membaiki kereta," katanya.

Syafiq mahu mengembangkan bisnes pada masa akan datang.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia mula menjalankan bisnes barang-barang terutama pakaian terpakai dari Jepun dan Korea Selatan sejak Februari lalu.

Mengenai pertemuannya bersama Cikgu Fadli secara live di TikTok pada 15 Julai lalu, Syafiq yang gemar mengembara ini terharu dengan sambutan daripada para pengikut.

"Cikgu Fadli beritahu wajah saya macam dia 15 tahun lepas. Bezanya sekarang Cikgu Fadli sudah berkahwin dan ada anak-anak, manakala saya masih bujang.

"Bukan mencari calon isteri sekarang, tapi jika ditanya tentang ciri-ciri yang saya cari adalah seorang yang beradab. Walaupun tak berpelajaran, yang penting adab nombor satu," katanya yang turut menjual aksesori terpakai seperti beg dan beg tangan.

Wajah Syafiq tanpa misai.

Mengenai bisnes bundle yang diusahakannya, Syafiq merancang untuk ke Jepun pada September depan bagi mendapatkan bekalan secara terus di negara matahari terbit itu.

"Selama ini saya guna runner untuk ambil stok dari Jepun. Apabila saya pergi ke Jepun nanti, orang akan lebih percayakan kita ambil stok dari sana, dan harga pun lebih banyak dan pelbagai.

"Cita-cita saya hendak membesarkan empayar bisnes baju bundle dan mahu membuka peluang bisnes kepada orang lain untuk menjana pendapatan mereka," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain