BELUM pun reda kisah kecurangan seorang isteri dengan suami orang di Makkah, timbul pula cerita lain berkaitan hal rumah tangga yang berlaku di Tanah Suci. Berlaku di Madinah, seorang jemaah wanita berkongsi pengalaman yang disaksikannya sendiri membabitkan isteri orang dengan lelaki warga tempatan. Ketika itu dia memasuki sebuah kedai cenderamata yang terletak berdekatan dengan hotel dan kelihatan ramai jemaah wanita sedang meninjau dan memilih barang di dalam premis. "Peniaga dekat situ kebanyakannya bermulut manis, sambut kita dengan baik. Saya ingatkan dia macam nak 'try' saya seorang je. Kemudian saya nampak dia layan perempuan lain juga. "Masa tengah pilih barang, saya nampak ada seorang jemaah wanita bersembang dengan seorang peniaga orang Arab ni yang memang pandai cakap bahasa Melayu," katanya menerusi satu perkongsian video di TikTok. Umat Islam mengerjakan ibadah Masjid Nabawi di Madinah. -Gambar hiasan / Reuters Mendengar perbualan kedua-dua mereka, dia memberitahu, jemaah wanita itu rupanya berstatus isteri orang. "Dia bersembang tentang masalah rumah tangga, dia meluahkan. Jadi, peniaga Arab ni pun mendengar dan bagi pandangan. "Macam ni la... perempuan ke lelaki ke, kalau ada ada masalah rumah tangga, jangan cerita kepada orang lain stranger (orang asing). "Mula-mula mungkin nampak macam nak membantu, lama-lama mungkin akan jadi yang sebaliknya. Kau datang ke Tanah Suci, kau bercerita dengan Allah, kau berdoalah," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Suami tawar RM500 minta orang ramai jejak sampai dapat doktor curang dengan isteri di Madinah ARTIKEL BERKAITAN: 13 tahun kahwin, suami menganggur curang 5 kali! Jual kereta dibeli isteri, buat hutang sebelum lari dengan awek baru kenal 3 bulan Dia yang keluar dari kedai tersebut mendapati wanita berkenaan masih meneruskan sesi luahannya dengan Pak Arab dalam kesibukan orang ramai datang membeli. "Perempuan ni tengah bersedih beritahu I nak balik hotel. Eh tak apa la you balik hotel bukan ada siapa. You tunggu la sini. "Aku dengar ni macam... kenapa perempuan ni kan, macam tak kena cara dia. Pak Arab ni pun dah kenapa, sepatutnya tak payah layan atau tak perlu lebih-lebih. "Nak kasihan pun berpada-pada. Aku masih mendengar mereka bersembang pasal suami dia," katanya. Dia bagaimanapun menegaskan pertikaiannya itu bukan tertumpu kepada isu jemaah wanita itu bersama suaminya, sebaliknya cara dia meluahkan masalah dengan orang asing. "Bukan kenapa masalah rumah tangga dia, tapi kenapa bawa cerita tu pada stranger? Kamu tu jemaah datang ke Tanah Suci untuk apa? "Untuk cari jalan penyelesaian kan? Berdoa, minta pada Allah," jelasnya lagi. Jangan pernah bagi peluang kepada pintu zina. JEMAAH WANITA Dia turut mengakui nyaris terkena dengan 'pujukan' peniaga Arab apabila disangka masih bujang sedangkan suaminya sedang menunggu di luar kedai. "Dia ingat aku single, oh cantiknya. Mula-mula je cantiklah, macam nak mengorat jadi kita pun macm berbunga-bunga. Bagi harga best price dekat kita, kita minta diskaun dia bagi. "Dia macam nak try saya, tiba-tiba suami rasa asal lama sangat duduk dalam kedai dan suami pun masuk. Ini husband saya la, saya cakap macam tu. Dia tak kacau saya tapi dia pergi cari perempuan lain," katanya sambil menambah jemaah wanita tadi dipercayai dari negara jiran. Sebelum ini tular kisah seorang isteri bersama suami orang lain ketika di Makkah. Sehubungan itu katanya, kecurangan boleh berlaku di mana-mana sahaja meskipun di Tanah Suci ketika mengerjakan ibadah. "Berlaku depan mata saya, benda yang sekecil-kecil macam tu. Kamu jangan layan, jangan meluahkan benda yang tidak sepatutnya. "Saya rasa masa tu sangat tak patut dan Pak Arab tu pun sama. Para jemaah puan-puan, kalau ada masalah janganlah mengadu pada orang luar berlainan jantina. "Tak kisahlah di mana sahaja kita berada, jangan meluahkan masalah terutama masalah rumah tangga. Jangan pernah bagi peluang kepada pintu zina," katanya. Untuk rekod, menurut portal e-Syariah, perbuatan curang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 37 Akta 559 (Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997) kerana menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri. Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Selain itu mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube