suria

Ingatkan laut tipu-tipu guna ‘green screen’, rupanya Pantai Rusila! Majlis resepsi pasangan ini buat ramai jatuh cinta, rasa nak kahwin segera

Eida dan suami mengadakan majlis perkahwinan di tepi pantai. -Gambar @visuallife.my

SETIAP pasangan pasti memasang angan-angan untuk melangsungkan perkahwinan dalam suasana luar biasa.

Bayangkan betapa indahnya andai hari bahagia itu diadakan dengan berlatar belakangkan keindahan laut membiru disulami deruan ombak yang menenangkan.

Ia pasti meninggalkan memori indah bukan sahaja buat mempelai, malah tetamu yang hadir.

Namun bagi pasangan pengantin baharu ini, latar belakang pelamin mereka menjadi tanda tanya segelintir netizen yang seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Majlis akad nikah. -Gambar @visuallife.my / @aqim__ / @fadlanalias

"Laaa background belakang tu real!

"Lawa gila. Ingatkan belakang tu background tipu. Rupanya betul-betul tepi laut. Plus photographer guna lighting cantik," demikian antara komen netizen.

Berkongsi cerita kepada mStar, pengantin perempuan bernama Eida Baharudin memberitahu, majlis pernikahan dan persandingannya berlangsung serentak pada 8 Julai lalu.

Eida mendirikan rumah tangga dengan jejaka kelahiran Ipoh, Perak. -Gambar @visuallife.my / @aqim__ / @fadlanalias

Menyedari perkongsian gambar-gambar majlis perkahwinan di TikTok menjadi bualan, wanita berusia 26 tahun itu berkata, lokasi dibuat di Che Beach House di Pantai Rusila dekat Marang, Terengganu.

"Pada mulanya ramai sangka background pelamin macam edit guna Photoshop, AI (Artificial Intelligence), termasuk menggunakan 'green screen' untuk nampak latar belakang laut yang biru.

"Rasa kelakar pula apabila ramai tak percaya. Alhamdulillah, rezeki kami dapat mengadakan majlis perkahwinan di tepi pantai dalam keadaan cuaca yang sangat baik," katanya kepada mStar.

Pengantin bersama keluarga pengantin perempuan. -Gambar @visuallife.my / @aqim__ / @fadlanalias

Namun di sebalik keindahan majlis perkahwinan berkonsepkan tepi pantai dan tradisional, siapa sangka berlaku sesuatu yang mencemaskan Eida dan suaminya, Izzat Azar Ahmad Tahir, 32.

"Malam sebelum majlis sewaktu persiapan akhir, angin ribut kuat. Kami buat solat hajat mendoakan agar tidak hujan pada hari pernikahan dan persandingan.

"Alhamdulillah, cuaca baik bermula daripada nikah pukul 10 pagi sehingga ke persandingan tengah hari dan seterusnya resepsi sehingga empat petang," ujarnya yang berasal dari Batu Rakit, Terengganu.

Pengantin bersama keluarga pengantin lelaki. -Gambar @visuallife.my / @aqim__ / @fadlanalias

Pada masa sama, Eida dan suami sekeluarga turut berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis perkahwinan impian di tepi pantai terutama perancang perkahwinan dan jurugambar.

"Kami tetap ada plan A dan plan B. Majlis dipasang kanopi yang transparent supaya pencahayaan yang lebih baik dan dapat berteduh daripada panas dan hujan.

Rezeki kami dapat mengadakan majlis perkahwinan di tepi pantai dalam keadaan cuaca yang sangat baik.

EIDA BAHARUDIN

"Kena pasang kanopi walau nak tema apa sekalipun sebab sekarang cuaca tak menentu. Walaupun cuaca berangin tetap pasang kipas angin berwap air supaya tetamu tidak berpeluh.

"Macam suami saya, dia ni memang jenis cepat berlecak peluh terutama apabila berada di luar tapi masa majlis dia sangat okay," katanya mengenai suaminya yang berasal dari Ipoh, Perak yang dikenalinya selama lapan tahun.

Eida dan suami bersyukur majlis perkahwinan di tepi pantai berjalan lancar. -Gambar @visuallife.my / @aqim__ / @fadlanalias

Meskipun majlis yang dihadiri 500 tetamu itu kelihatan moden, Eida yang merupakan perunding takaful berkata, tradisi masih dikekalkan dengan melakukan rewang kenduri kahwin.

"Keluarga dan saudara-mara buat rewang. Macam-macam masakan ada daripada labu kuning masak lemak, ayam masak merah, gulai daging sehingga ke ikan kering.

"Kami sekeluarga nak bagi keluarga suami dari Perak merasa cuti-cuti Terengganu bukan setakat makanan saja, tetapi juga keindahan pantai yang menghadap Laut China Selatan.

"Di Terengganu ni banyak pantai yang cantik. Kalau nak buat majlis kahwin tepi pantai, kena ada plan A dan plan B. Kena fikir keselesaan dan kelancaran, bukan sekadar nak cantik semata-mata," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain