suria

Kecoh bagasi disangka ada bom depan kedai emas! Pelajar pasrah ‘beg tak bersalah’ diletupkan polis, diangkat guna dron

Beg pakaian pemuda ini dimusnahkan ketika proses penyahaktifan bom.

GEMPAR apabila sebuah bagasi ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan, dalam kejadian di Dataran Nilai, Negeri Sembilan.

Namun begitu, di sebalik kekecohan itu ternyata ada 'plot twist' tersendiri yang menyebabkan ramai tercengang.

Segalanya bermula apabila laporan polis dibuat susulan sebuah bagasi yang ditinggalkan di hadapan premis perniagaan di Bandar Baru Nilai, dibimbangi mengandungi bom.

Ciapan asal di Twitter.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan (DSP) Mat Ghani Lateh berkata pihaknya bertindak atas laporan yang diterima dan bergegas ke tempat kejadian.

"Pada pukul 1 petang 17 Julai, pihak kami telah menerima panggilan daripada orang awam iaitu seorang wanita berbangsa Melayu yang memaklumkan terdapat satu beg pakaian mencurigakan ditinggalkan di hadapan kedainya.

"Premis perniagaannya terletak di Bandar Baru Nilai. Anggota yang bertugas telah diarahkan untuk ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Lari laju pun kena tangkap juga” - Lelaki tak sedar rakam diri sendiri ketika curi telefon bimbit, dah padam tetap kantoi

ARTIKEL BERKAITAN: Depan baik, belakang kutuk! Suami isteri terkejut polis datang cari, rupanya makcik sebelah punya angkara - “Saya orang tua tak takut mati”

"Pasukan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian.

"Beg terbabit telah dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan hasil pemeriksaan mendapati di dalam beg tersebut hanya mengandungi pakaian," kata DSP Mat Ghani Lateh.

Tambahnya lagi, tiada sebarang penemuan bom di dalam beg berkenaan dan ia dipercayai ditinggalkan secara tidak sengaja kerana tempat kejadian merupakan pusat transit bas ekspres bagi kawasan Nilai.

Member tu kot baru nak healing pergi pulau perhentian. Menangis dekat bucu katil baju mandi meletup.

WARGA MAYA

"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran," ujarnya.

Warga maya yang tertarik dengan kejadian itu mula membuat teori tentang apa yang berlaku.

"Kepada yang tertinggal beg di Dataran Nilai, kemungkinan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) sebab kampus mereka berdekatan situ, ketahuilah beg anda dah kena letup," kata seorang warga maya.

Beg pakaian yang pada asalnya disyaki mempunyai bahan letupan.

Situasi yang menimbulkan seribu satu persoalan itu terjawab apabila muncul seorang individu dikenali sebagai Azhad menjelaskan perkara sebenar.

Menurut Azhad, bagasi yang mencetuskan kekecohan itu adalah milik rakannya yang kini sudah hancur ekoran pemeriksaan Pasukan Unit Pemusnah Bom PDRM.

"Itu beg kawan aku sebenarnya dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor. Dia kawan aku dari zaman matrikulasi. Aku yang ambil dia dari bas. Dia datang dari Kajang, Selangor.

"Waktu tu beg dia dah hilang ada orang tersalah ambil. Rupanya budak yang ambil tu pergi tinggal beg depan kedai emas dan orang suspek ada bom. Malam semalam member aku tu dah selesai buat report dekat balai polis.

Pasukan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia bertindak di tempat kejadian.

"Dan yes, anggota yang terlibat tembak beg kawan aku tu guna air bertekanan tinggi untuk pecahkan beg dan kemudian angkat guna dron.

"Sekali tengok dalam tu rupa-rupanya cuma ada pakaian dan ubat-ubatan. 30 peratus pakaian kawan aku tu dah berlubang sebab kena tembak dengan air," cerita Azhad.

Azhad berkata perasaannya bercampur-baur apabila memikirkan situasi yang menimpa rakannya itu.

"Member aku waktu balik dari balai tu duduk gelak-gelak je cerita. Aku pun tak tahu nak rasa kesian ke nak gelak.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

"Untuk yang ambil beg kawan aku tu, bertanggungjawab la sikit kalau dah tahu tersalah ambil tu," kata Azhad memberi peringatan.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya turut bersimpati dengan nasib rakan Azhad.

"Member tu kot baru nak healing pergi Pulau Perhentian. Menangis dekat bucu katil baju mandi meletup.

"Kalau jadi dekat aku, aku nak bayaran ganti rugi balik, habis rosak semua baju kesayangan aku sebab kesilapan seorang manusia," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain