suria

Masih hilang RM30,000 selepas insiden ‘duit terbang’, keluarga hargai individu tampil pulangkan wang walau sedikit

Wan Ibrahim murung setelah kehilangan wang yang disimpan selama empat tahun.

KELUARGA kepada pemuda yang keciciran RM30,000 daripada wang berjumlah RM60,000 dari keretanya di Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu bersyukur apabila ada individu sanggup memulangkan 'sedikit' daripada jumlah yang masih hilang.

Malah, atas rasa berterima kasih terhadap kejujuran individu tersebut, keluarga mangsa, Wan Ibrahim Wan Leh, 24, turut memberikan saguhati berbentuk wang namun tidak dinyatakan jumlahnya.

Kakak mangsa, Wan Mastura Wan Leh, 26, berkata, seorang wanita memulangkan RM1,000 kepada ahli keluarga mereka pada Isnin.

"Kami memberi sedikit saguhati atas kejujurannya memulangkan semula duit itu setelah mengetahui siapa individu berkenaan kerana dia tergesa-gesa beredar sebelum ni.

Beg plastik yang digunakan oleh Wan Ibrahim menyimpan duit selama 4 tahun.

"Kami harap lebih ramai tampil memulangkan semula duit yang diambil tidak kira berapa jumlahnya untuk menampung kerugian yang dialami adik saya.

“Adik memang tak ada cakap apa-apa fasal duit yang hilang, kalau sebut tentang kejadian tu memang wajahnya terus berubah. Walaupun yang jadi mangsa tu adik, tapi memang sukar saya nak halalkan," katanya ketika dihubungi mStar.

Wan Mastura yang merupakan anak kelapan daripada 10 adik beradik berkata, keadaan adiknya kini bertambah baik dan sudah keluar bekerja menggunting rambut di Jertih, pada Sabtu.

Dalam kejadian Rabu lalu, Wan Ibrahim yang merupakan anak kesembilan kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletak atas but keretanya terjatuh di jalan kira-kira jam 11 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjumpa wang tepi jalan... berdosakah kalau kita mengambilnya?

ARTIKEL BERKAITAN: Duit dalam akaun licin selepas kad ATM tercicir, pelaku disyaki borong skincare... beli barang RM1 pun guna ‘paywave’!

Dia terlupa ada meletakkan beg berisi wang tunai di atas but kereta jenis Honda Civic sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang.

Wan Ibrahim menyedari wang itu terjatuh sebaik sampai di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian, sebelum berpatah balik ke tempat kejadian berhampiran persimpangan U di Kampung Lak Lok.

Setiba di situ beberapa orang awam yang membantu memungut wang yang berterabur di atas jalan raya, menyerahkan semula wang kepadanya berjumlah sekitar RM30,000, namun ada individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengambil wang itu.

“Saya memang kasihan tengok adik sebab sampai jam 4 petang lepas kejadian barulah dia beritahu kami mengenai insiden tu. Mula-mula tu dia tak perasan sebab ingatkan kertas biasa saja yang terbang jadi dia teruskan memandu Honda Civic milik kakak kami.

Duit tu juga kami nak gunakan untuk buat upah haji bagi ayah tiri kami yang sudah meninggal dunia bulan Februari tahun ni.

WAN MASTURA

“Lepas kejadian tu memang semua ahli keluarga murung termasuklah adik saya. Dua hari dia berkurung dalam bilik tak keluar makan atau minum.

“Mana tidaknya, duit tu merupakan simpanan selama empat tahun bekerja sebagai tukang gunting dan bekerja sebagai tentera laut sebelum Covid-19 selama setahun,” ujar si kakak.

Bercerita lanjut mengenai wang itu, Wan Ibrahim ingin menggunakannya untuk menguruskan beberapa hal penting.

Namun, siapa sangka disebabkan insiden tersebut menyebabkan hajatnya untuk melunaskan hutang dan beberapa urusan lain terbantut.

“Dia nak gunakan duit tu untuk beli kereta Honda milik kakaknya tu. Selain nak bayar hutang-hutang, adik saya nak buka kedai gunting kontena baharu di bandar.

“Duit tu juga nak gunakan untuk buat upah haji bagi ayah tiri kami yang sudah meninggal dunia Februari tahun ni.

Kedai baharu yang dibuka oleh Wan Ibrahim.

“Sekarang pun mak jadi tak tentu arah juga lepas tahu fasal duit tu dah hilang separuh. Dia sampai tak boleh nak fikir dengan waras dah. Satu keluarga kemurungan.

“Sebelum kejadian tu keluarga ada nasihatkan supaya simpan duit di bank termasuk mak sendiri tapi adik memang suka menabung dekat rumah. Katanya kalau tengok duit tu banyak-banyak barulah bersemangat nak bekerja.

“Apa-apa pun nasihat saya kalau benda ni jadi dekat sesiapa pun pasti mereka akan sedih sangat. Jadi kepada mereka yang ambil duit tu bertimbang rasalah dan pulangkan duit tu jangan makan hasil titik peluh orang lain,” ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain