LAZIMNYA pasangan pengantin akan menggunakan khidmat jurufoto dan juruvideo bagi merakamkan momen hari bahagia mereka untuk dijadikan kenangan. Namun, pernahkah anda melihat gambar mempelai diabadikan dalam bentuk karya seni yang dilukis secara langsung (live) ketika majlis perkahwinan mereka? Baru-baru ini tular satu video di aplikasi TikTok, memaparkan seorang gadis rancak berkarya di hadapan pelamin dan kelihatan sibuk 'menconteng' kanvasnya untuk mengabadikan gambar pasangan pengantin. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Video berkenaan mengundang perhatian warga maya yang bukan sahaja kagum bakat si pelukis malah memuji hasil lukisannya. Berkongsi cerita dengan mStar, Virginia Dara, 24, mendedahkan ia adalah pengalaman pertamanya menghasilkan lukisan secara 'live painting' di majlis perkahwinan. ARTIKEL BERKAITAN: Lukis nak tak nak je, pemuda ini terkejut ‘lukisan orang malas’ pun ramai minat nak beli... nasib baik boleh siap cepat! ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Form 2 jual lukisan anime di TikTok... kalau boleh nak langsaikan hutang keluarga, beli sofa baharu - “Hujan, panas mak tetap menyapu” Senang disapa sebagai Rara, gadis tersebut berkata majlis berkenaan adalah hari bahagia rakan baiknya, Justeru apabila diminta menghasilkan karya untuk mengabadikan momen indah insan yang disayanginya itu, Rara berkata dia dengan senang hati bersetuju melakukannnya. Karya 'live painting' yang disiapkan Rara untuk sahabat baiknya baru-baru ini. "Sebelum itu, saya dan rakan baik pernah berbicara mengenai idea buat live painting ini. Bila diminta olehnya untuk melukis pada hari bahagianya, dengan senang hatinya saya bersetuju. "Risau juga sebab ia adalah pengalaman kali pertama namun rakan baik dan kawan-kawan yang lain memberi sokongan dan yakin saya boleh melakukannya. "Syukur, pada majlisnya baru-baru ini, walaupun sedikit sibuk kerana buat live painting dan menjadi salah seorang bridesmaid pada masa yang sama, saya dapat melunaskan tugasan," kongsi gadis yang berasal dari Jakarta, Indonesia ini. Menurut Rara, proses menghasilkan lukisan tersebut mengambil masa sekitar tiga jam sewaktu di majlis yang dilangsungkan di Jakarta, Indonesia. "Keseluruhan proses sehingga finishing mengambil masa sekitar enam jam. Tak dapat digambarkan wajah rakan baik yang gembira saat menerima karya tersebut. Ia adalah lukisan akrilik bersaiz 50x70. Antara karya yang dihasilkan oleh Rara. "Walaupun ia adalah satu commission, namun saya sangat terharu kerana turut dipilih untuk merakam momen paling indah dan berharga dalam hidupnya," ujar Rara yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik. Berkongsi cerita lebih lanjut, Rara berkata dia sememangnya meminati bidang seni lukis sejak kecil dan berkemungkinan mewarisi bakat tersebut daripada abangnya. "Sejak kecil, ibu bapa selalu belikan pensil warna dan krayon kerana saya suka melukis. Tapi saya tak ambil kursus seni secara formal. "Hanya ketika peringkat sekolah rendah saya sempat belajar tentang seni. Tapi sebab minat, saya sering melukis dan mula mengambil commission ketika belajar di universiti sehingga sekarang," ujar Rara. Saya suka melukis kerana ia ibarat terapi bagi diri saya. Selain itu, saya juga menggunakan lukisan untuk dihadiahkan kepada orang tersayang. VIRGINIA DARA Tambah gadis ini lagi, sejak videonya menjadi tular, dia bukan sahaja menerima komen pujian malah ada yang berminat untuk mengupahnya menghasilkan karya lukisan sewaktu majlis perkahwinan masing-masing. "Sejujurnya saya bersyukur sebab tak sangka ia viral sampai ke Malaysia. Ramai berminat mahu beri commission tapi semuanya bergantung kepada masa. "Saya hanya boleh menerima commission pada hujung minggu kerana bekerja sepenuh masa dengan kerajaan di Indonesia. Namun saya gembira dengan komen-komen yang sangat positif. "Buat masa ini saya tiada perancangan untuk bidang ini, hanya go with the flow. Saya suka melukis kerana ia ibarat terapi bagi diri saya. "Selain itu, saya juga menggunakan lukisan untuk dihadiahkan kepada orang tersayang. Harapan saya, semoga lebih ramai orang yang berbakat dan menggunakan bakat itu untuk menggembirakan orang lain,"akhirinya. Hobi melukis bukan sahaja menjana pendapatan sampingan buat Rara, tetapi juga berfungsi sebagai terapi. Menjengah ruangan komen, rata-ratanya menyatakan kekaguman dengan bakat Rara serta mengimpikan untuk mempunyai lukisan hari bahagia masing-masing. "MasyaAllah... kamu sangat-sangat berbakat. Boleh melukis secara live.... boleh bekerja di bawah tekanan! Saya sanggup bayar walaupun mahal. "Datanglah Malaysia... ramai tunggu giliran untuk kamu lukis! "Saya pasti akan buat idea sebegini untuk majlis nanti.... datang Malaysia ya!," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube