"BIAR betul nama kedai tu macam tu?" Begitulah apa yang terlintas di fikiran ramai terhadap sebuah gerai yang namanya menggunakan dialek Negeri Sembilan sehingga mencuri tumpuan ramai. Gerai menjual minuman ala kopitiam itu dinamakan sebagai 'Kopi Ko Teh' dan tiba-tiba menjadi sensasi kerana sekali dengar ia akan ditafsir sebagai bahasa lucah kerana disangkakan melibatkan kemaluan lelaki. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Bercerita kepada mStar, Ahmad Hazmy Yahya, 21, atau senang disapa Jimi berkata gerainya itu baru dibuka selama dua minggu dan kini hangat diterjah mereka yang tergugat dengan nama 'maskulin' perniagaannya. "Segalanya bermula dekat rumah apabila ibu saya suka minum kopi dan ayah suka teh. Kalau pergi mana-mana kedai kopi, mereka tak akan jual teh sekali, jadi kesian dekat orang macam ayah saya. "Sebab tu la gerai saya ni jual dua-dua minuman kopi dan teh. Bila pelanggan datang, saya akan tanya nak mana satu, kopi ke teh? atau kalau dalam dialek Negeri Sembilan akan berbunyi, kopi ko teh? ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar master ‘buat hal’ lagi! Dulu beli van buruk RM200 jual kopi dan pulut tepi jalan... kini bancuh simen, ikat bata renovate sendiri kafe ARTIKEL BERKAITAN: Beli van usang RM200, 2 pelajar master pertaruh nasib jual pulut dan kopi! Jam 4 pagi bangun masak, malam masuk kelas "Perkataan 'ke' dalam dialek Negeri Sembilan akan bunyi macam 'ko'. Begitulah bagaimana boleh lahirnya nama gerai saya ni. Sebab tu nama gerai saya ni ada tanda soal, menunjukkan ayat dalam bentuk pertanyaan. "Dan saya pun sedar bunyinya 'catchy', sebab tu saya teruskan supaya dapat tarik perhatian pelanggan singgah ke gerai saya," kata Jimi yang merupakan graduan filem Politeknik METrO Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Menurut Jimi, kebiasaannya mereka yang bukan berasal dari Negeri Sembilan akan mempersoalkan tentang nama gerainya itu. Manakala yang untuk kopi dan teh di gerai saya ni, saya ambil masa dua hingga tiga bulan untuk belajar semua benda dari YouTube. AHMAD HAZMY YAHYA "Saya buka gerai di lot parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, Negeri Sembilan. Biasanya orang luar yang kerap tanya kenapa nama gerai saya ada 'unsur kelucahan'. "Dan saya akan terangkan kepada mereka apa maksud nama tu sebenarnya. Ini semua salah faham saja," kata Jimi yang berasal dari Johor tetapi menetap di Senawang, Negeri Sembilan. Menceritakan bagaimana boleh terdetik hasrat untuk membuka gerai kopitiam, Jimi berkata dia sememangnya minat berniaga sejak di bangku sekolah. Jimi bersama sekumpulan pelanggan yang tertarik dengan nama gerainya. "Saya dari zaman sekolah rendah lagi memang suka menjual. Apa benda yang boleh dijual, saya akan jual. Saya jual dekat kawan-kawan macam jajan, bertih jagung (popcorn), minyak rambut, roti bakar dan baju bundle. "Saya punya cara, saya akan research dekat YouTube macam mana cara nak buat suatu benda tu. Macam popcorn tu saya belajar dari YouTube tentang resipi dan sebagainya. "Manakala untuk kopi dan teh di gerai saya ni, saya ambil masa dua hingga tiga bulan untuk belajar semua benda dari YouTube. Kemudian saya mula proses untuk beli equipment dan perkakas dari kedai-kedai borong. Antara menu yang disajikan di gerai Kopi Ko Teh. "Saya akui gerai saya bukan la tahap cafe barista sampai ada mesin buat kopi semua tu, tapi saya boleh hasilkan kopi seperti di kedai kopitiam. Alhamdulillah sambutan setakat ni memberangsangkan," kata Jimi. Jimi seterusnya menjelaskan jenis minuman yang ada ditawarkan di gerainya. "Kopi yang saya sediakan di gerai biasa-biasa je iaitu kopi O, kopi susu dan kopi C. Kopi C ni ialah kopi dari Singapura yang menggunakan susu cair dan rasanya kurang manis. Minuman air teh ais yang sangat menyegarkan di gerai Kopi Ko Teh. "Manakala untuk teh, saya ada teh ais dan teh tarik. Untuk planning ke depan nanti, saya ada terfikir nak tambah teh Pakistan dan green tea pula. "Setakat ni gerai saya cuma ada roti bakar, tapi kalau terus dapat sambutan rancak, saya rancang nak ikut style kopitiam yang dah terkenal... saya nak buat menu kopitiam macam nasi lemak dan mi kari. "Saya buka setiap hari kecuali Isnin, dari pukul 7.30 pagi sampai pukul 12 tengah hari sebab gerai saya bertemakan kopitiam, jadi saya fokus lebih kepada waktu sarapan," ujar Jimi menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube