suria

Syukur selamat nikah, pengantin belanja tetamu Starbucks... Rupanya dulu pernah kerja barista - “Ada yang pertama kali minum”

Azuana dan suami mengagihkan air Starbucks kepada tetamu yang hadir ke majlis perkahwinannya.

UMUM sering menganggap Starbucks dianggap sebagai kopi 'kayangan' kerana harga bagi segelas minuman jenama itu boleh mencecah puluhan ringgit.

Maka tidak hairanlah jika ramai dalam kalangan kita tidak mampu untuk menikmati minuman mahal ini atau hanya membelinya selang beberapa bulan.

Bagaimanapun, bagi Azuana Zulkiflee, 24, dia memilih hari bahagianya untuk menyediakan 700 gelas Starbucks bersaiz sederhana (grande) kepada tetamu yang hadir pada majlis yang berlangsung 30 Julai lalu.

“Idea jemput vendor Starbucks untuk majlis kahwin ni merupakan dream wedding (perkahwinan impian) saya selama ni.

“Lagi pula tak semua orang pernah minum air dari Starbucks ni. Malah, nak order dekat kaunter pun mungkin agak mencabar bagi sesetengah orang sebab tak pandai nak buat pesanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu nikah kos murah je, banyak benda tak puas hati! Kini suami ajak isteri buat ‘majlis mahal’, gah macam rakan lain

ARTIKEL BERKAITAN: Kos RM3,000, pengantin nikah bajet selamat disatukan! Suami pakai seluar singkat, isteri mekap sendiri... Yang penting halal

“Sebab itulah saya pilih untuk hidangkan minuman ni untuk tetamu. Saya pun memang dah niat nak berkongsi rezeki dengan semua yang hadir hari tu,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Membelanjakan sekitar RM14,000, Azuana akhirnya berjaya menggembirakan hati para tetamu yang hadir ke majlis kahwinnya yang diadakan di Daza Villa Wedding Hall, Kapar, Selangor itu apabila minuman disediakan secara percuma.

Azuana dan suami membantu mengagihkan Starbucks kepada tetamu.

Malah, katanya, dia dan pasangan, Ahmad Zainil Muzaidin, 24, begitu terharu apabila para jemputan masing-masing mendoakan dia dan pasangan agar sentiasa dimurahkan rezeki.

Selain vendor Starbucks, majlisnya dengan pasangan yang merupakan pemandu lori ini turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai hidangan daripada vendor lain seperti keropok lekor, char kuey teow, apam balik rangup dan ais krim.

Sekitar majlis yang berlangsung pada 30 Julai lalu.

“Saya buat tempahan 200 gelas air Chocolate Cream Chip dan 500 gelas lagi kopi Java Chip. Jadi tetamu yang datang boleh pilih antara dua minuman tu sebab kedua-duanya adalah signatur Starbucks.

“Saya terpaksa buat sistem kupon hari tu sebab jemputan asal cuma 500 tetamu dan saya order 700 gelas minuman tapi saat-saat akhir ayah tambah lagi tetamu.

“Apa-apa pun saya lega terima respons positif daripada semua orang. Siap ada tetamu yang tak henti-henti ucap terima kasih sebab ada antara mereka yang beritahu ini pertama kali mereka minum Starbucks. Benda macam ni yang buat saya gembira sangat,” katanya lagi.

Siap ada tetamu yang tak henti-henti ucap terima kasih sebab ada antara mereka yang beritahu ini pertama kali mereka minum Starbucks.

AZUANA

Bercerita lanjut mengenai dirinya, dia gemar mengumpul koleksi tumbler jenama Starbucks.

Bukan itu sahaja, Azuana juga merupakan seorang bekas barista yang bekerja di Starbucks Reserve di Setia Alam, Selangor empat tahun lalu.

Disebabkan itu juga, proses untuk merealisasikan perkahwinan impiannya ini dipermudahkan dengan kerjasama dan bantuan pengurus dan rakan sekerja lain.

Pengantin membelanjakan RM14,000 untuk belanja tetamu Starbucks.

“Sebelum ni saya seorang barista dekat Starbucks. Jadi saya sangatlah suka air tu. Bermula dari situ juga saya mula jadi pengumpul tumbler. Sekarang saya ada hampir 200 tumbler dibeli daripada Starbucks dan bukan online.

“Saya berhenti kerja dekat sana sebab bertukar bidang kerjaya lain. Sekarang saya buat marketing untuk syarikat gas keluarga saya, Zulgas Meru.

Antara beberapa koleksi tumbler milik Azuana yang dikumpul.

“Walaupun dah berhenti kerja di sana, saya masih berhubung dengan pengurus dan pekerja lain. Mereka yang minta saya hantar emel sebelum keluarkan quotation (sebut harga). Syukur semua proses berjalan dengan baik,” katanya lagi.

Untuk rekod, video asal yang dimuat naik salah seorang tetamu, Syafika meraih lebih 3 juta tontonan setelah disiarkan di TikTok.

Rata-ratanya begitu teruja melihat majlis yang menghidangkan air ini kepada tetamu juga turut berteka-teki mengenai jumlah wang dibelanjakan pengantin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain