suria

Dua kali kena tinggal, duda anak 1 jumpa pengganti di Korea Selatan! 4 bulan kenal terus nikah, kini ‘masyuk’ jual cadar

Raihan bernikah di Itaewon kerana ingin terus bekerja di Korea Selatan.

SETIAP individu pasti bersedia melakukan apa sahaja demi mendapatkan kehidupan yang lebih berkualiti dan terjamin pada masa hadapan.

Malah ada yang sanggup mengembara ke negara luar demi mencapai impian seperti dilakukan pemuda berusia 29 tahun ini.

Menerusi video yang dikongsi, Mohd Raihan Shafry menceritakan perjalanan hidupnya sehingga berjaya mempunyai bisnes sendiri bersama isteri.

Bermula 2013 sehingga 2020, dia berhijrah ke Korea Selatan demi mengubah nasib dan mendapatkan kehidupan yang lebih baik untuk anak serta masa hadapan.

Raihan bertemu isterinya di kilang buah peach di Seoul.

Raihan bertemu isterinya di kilang buah peach di Seoul.

Memilih industri perkilangan sebagai tapak mencari rezeki di negara empat musim itu, dia pernah bekerja di kilang paip, kilang buah dan kilang kotak.

“Masa pergi tu saya masih berstatus suami... mungkin sebab berjauhan, ex-wife curang tapi masa tu saya tengah berusaha meningkatkan ekonomi keluarga dengan bekerja di kilang paip.

“Selepas bercerai, saya berkenalan dan bertunang dengan seorang wanita tapi ditinggalkan sekali lagi... dia cakap saya tiada kerja tetap mahupun pencen. Paling sedih apabila dikatakan tak ada masa depan serta status duda anak satu,” luahnya kepada mStar.

Lebih menyedihkan apabila ikatan yang terjalin itu putus ketika dia sedang berusaha keras untuk mengumpul duit bagi menghalalkan hubungan dengan tunang.

ARTIKEL BERKAITAN: 16 sekawan ditipu suami isteri tauke emas, kini kerja keras bayar hutang - “Dia bermewah atas kesusahan orang lain”

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 4 tahun kahwin cuma terperuk di rumah! Suami tak bawa anak bini jalan-jalan sebab tiada lesen memandu, tarikh penting pun tak pernah ingat

Ikatan yang bertahan selama dua minggu itu membuatkan dirinya pasrah dengan takdir dan menganggap tiada jodoh antaranya dengan wanita berkenaan.

Meskipun kecewa dengan apa yang terjadi, anak muda kelahiran Kota Sarang Semut, Kedah ini tetap meneruskan usaha untuk mengumpul duit bagi membesarkan anak.

“Tanpa disangka, selepas putus tunang pada Mei 2019, saya berkenalan dengan seorang wanita pada Julai di kilang buah peach di sana... dan dia kini menjadi isteri saya.

“Selepas sebulan bercinta, saya merisik dia melalui panggilan telefon dan pada 24 November 2019 kami putuskan untuk bernikah,” imbaunya yang dinikahkan oleh bapa kandung isterinya, Eryzatu Fashiqin.

Perkenalan mereka bermula pada Julai 2019.

Perkenalan mereka bermula pada Julai 2019.

Meskipun tidak dapat pulang ke Malaysia untuk melangsungkan perkahwinan, mereka berdua membawa ahli keluarga ke Islamic Book Center Itaewon, Seoul bagi menjadi saksi.

“Kami terbangkan ibu bapa kedua belah pihak, kakak dan abang demi menjadi saksi pernikahan. Hanya dengan sebentuk cincin dan mas kawin RM2,480, kami sah menjadi suami isteri... makan-makan kawan yang belanja.

“Inai pengantin pakai sendiri sebab duit kahwin tak cukup. Kawan yang tolong, macam-macam dugaan dihadapi tapi Allhamdulillah Allah permudahkan,” luahnya lagi.

Bernikah di Korea Selatan adalah pilihan terbaiknya pada masa itu kerana desakan pekerjaan.

Keluarga kedua-dua belah pihak hadir pada majlis pernikahan.

Keluarga kedua-dua belah pihak hadir pada majlis pernikahan.

Malah kedua-dua mereka masih mahu terus bekerja di sana kerana kos sara hidup yang lebih rendah di samping pendapatan lumayan.

Malah katanya, wang untuk simpanan masa depan juga lebih banyak.

Selepas lapan bulan pernikahan, kebahagiaan mereka semakin bertambah apabila isterinya disahkan hamil.

Meskipun berat hati untuk meninggalkan bumi kimchi tersebut, Raihan dan isterinya nekad untuk pulang ke Malaysia.

Raihan bersama isteri dan dua anaknya.

Raihan bersama isteri dan dua anaknya.

“Balik ke Malaysia kerana isteri dah sarat mengandung enam bulan. Masa ni PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sedang dilaksanakan dan kami kena kuarantin selama 14 hari,” tambahnya yang dikurniakan seorang anak perempuan hasil perkahwinan itu.

Setibanya di Malaysia, dia mulakan kehidupan dengan bekerja sebagai runner Shopee sebelum kedua-dua mereka menyertai Coway demi mendapatkan sumber kewangan yang lebih baik.

Namun, ia tidak bertahan lama sehingga mereka terfikir untuk mencari rezeki di New Zealand mahupun Australia.

“Tapi sahabat baik kami menghalang dan berkata ‘kenapa nak pergi negara orang kalau negara sendiri boleh buat duit?’

“Jadi mereka kenalkan kami dengan dunia perniagan dan di situlah bermulanya bisnes atas bantuan sahabat.

“Bermula dari rumah dengan modal RM2,000... kini kami dapat menyewa kedai dan meneruskan bisnes,” katanya yang mula berniaga dalam talian pada 10 Oktober 2020 dan dikenali dengan nama abang cadar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain