DEMI tanggungjawab kepada keluarga, pemuda ini sanggup mengenepikan kepentingan dan cita-cita sendiri biarpun usianya masih muda. Baru mencecah umur 20 tahun, Wan Othman Wan Mohd Nor Hasyim tidak kisah bergelumang dengan bau busuk di bawah panas mentari setiap hari asalkan kebajikan ibu serta adik-adiknya terbela. Berkongsi rutinnya yang bekerja sebagai pemungut sampah dan juga momen ketika bersama keluarga, video yang dimuat naik di laman TikTok ternyata menyentuh hati ramai tatkala menyaksikan kegigihannya mencari rezeki. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Di sebalik kerja keras, ada anak laki-laki yang kuat demi menggantikan tanggungjawab seorang ayah. Demi melihat adik-adik membesar dengan penuh kasih sayang,"tulisnya pada video tersebut. Menerusi video itu juga, kelihatan Wan membawa adik-adik serta ibunya menikmati ayam goreng di sebuah restoran makanan segera dan menghabiskan masa bersama dengan berjalan-jalan. Senang disapa Wan, pemuda ini berkata dia sudah hampir dua tahun bekerja sebagai pemungut sampah dengan syarikat Alam Flora di bandaraya Kuantan, Pahang. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai terhibur tengok gelagat ‘jurutera kebersihan’ kutip sampah! Dalam ceria ada yang simpan niat sambung belajar ARTIKEL BERKAITAN: Ada ijazah ‘medic’ pun tak guna, kerja kilang akhirnya... wanita rasa hidupnya gagal! Lagi stres dapat mak ayah jenis ‘control’ "Sebenarnya sejak usia 14 tahun lagi saya sudah mula bekerja, iaitu sebaik sahaja habis tingkatan dua. Apa yang mendorong untuk saya bekerja adalah kerana mahu membantu ibu. "Bapa saya masih ada namun saya kurang selesa untuk berkongsi mengenainya. Memadai saya katakan, saya ambil keputusan untuk bekerja kerana mahu membantu ibu yang bekerja sebagai pengasuh. "Ketika saya suarakan hasrat untuk berhenti sekolah, ibu macam keberatan. Ibu mana yang mahu anaknya tak berpendidikan tinggi. "Tapi akhirnya ibu akur dengan keputusan saya. Biarlah saya yang bekerja kerana saya anak lelaki sulung. Masih ada tiga adik di bawah tanggungan saya," ujarnya. Wan bekerja sebagai pengutip sampah sejak hampir dua tahun lalu. Cerita pemuda ini, kakaknya juga mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan bekerja demi membantu keluarga. "Kakak saya berhenti sekolah ketika di tingkatan empat. Waktu dia nak berhenti, saya halang sebab tinggal setahun saja lagi nak habis tapi dia pun nekad nak bantu keluarga," katanya sambil menambah, kakaknya kini bekerja di sebuah pasar raya. Ditanya mengapa memilih untuk bekerja sebagai pemungut sampah, Wan berkata dia langsung tidak kisah ataupun memilih pekerjaan asalkan ia halal. "Saya sekolah tak habis, tak ada kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Nak cari kerja susah sebab kebanyakan majikan mahukan kelulusan pendidikan. "Tapi saya gembira melakukan pekerjaan ini. Tak rasa pun nak cari kerja lain buat masa ini. Sedar-sedar, dah hampir dua tahun saya bekerja sebagai pemungut sampah," kata anak kedua daripada lima adik beradik ini. Buat masa ini, saya mahu bekerja dahulu sebab nak tengok adik-adik habis belajar. WAN OTHMAN WAN MOHD NOR HASYIM Mengulas mengenai sama ada dia mahu menyambung pelajaran yang tertangguh sekiranya ada peluang, Wan berkata buat masa ini dia mahu bekerja dan memastikan pendidikan adik-adiknya terjamin terlebih dahulu. "Buat masa ini, saya mahu bekerja dahulu sebab nak tengok adik-adik habis belajar. Biarlah mereka yang bersekolah dan sambung cita-cita abang dan kakak mereka," katanya yang mempunyai tiga adik berusia 13 tahun, 12 tahun dan lapan tahun. Wan banyak berkongsi rutinnya sebagai pengutip sampah di TikTok. Tidak menyangka videonya meraih lebih 620,000 jumlah tontonan di TikTok, Wan turut melahirkan rasa terharu dengan komen-komen netizen yang memujinya sebagai seorang abang yang bertanggungjawab. "Saya hanya sekadar berkongsi rutin kerja dan kisah saya di TikTok... mudah-mudahan dapat dijadikan inspirasi buat mereka di luar sana. "Usahlah memilih pekerjaan... berat macam mana pun pekerjaan itu, bekerjalah asalkan ada hasil dan halal," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube