suria

Sentuhan mekanik lumpuh masih berbisa! Sudah 7 tahun pemuda ini cari rezeki dari atas katil - “Nak buat benda lain saya tak pandai”

Zulkarnain membaiki motosikal dalam keadaan terlantar di atas katil.

VIDEO memaparkan seorang pemuda gigih melakukan porting oozing pada gearbox kereta dalam keadaan berbaring kerana lumpuh separuh badan, nyata menyentuh hati warga maya.

Perkongsian yang sehingga kini meraih lebih 16 juta jumlah tontonan di TikTok itu bukan sahaja membuatkan rata-ratanya kagum dengan semangat pemuda berkenaan, malah menjentik keinsafan memandangkan dia masih bekerja biarpun dalam keadaan serba kekurangan.

"Betapa hebatnya seorang lelaki... biar tak sempurna tapi usaha tu ada.

"Inspirasi untuk yang masih sihat. Bro ni baring pun masih usaha mencari rezeki.

"Banyak orang sihat tapi malas bekerja. Patut contohi abang ni," demikian antara komen netizen pada perkongsian video berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Mohamad Zulkarnain Mustafa berkata dia mengalami lumpuh daripada pinggang ke bawah selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya, lapan tahun lalu.

"Ketika kejadian pada 2015, saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berniaga di pasar malam. Ketika sedang menunggang motosikal, ada sebuah motosikal lain hentam saya dari belakang.

"Masa jatuh, pandangan saya kabur-kabur sebelum pitam... sedar-sedar dah dekat hospital.

"Doktor beritahu akibat kemalangan itu, tulang belakang saya patah, saraf banyak koyak. Dan doktor juga maklumkan risiko lumpuh dan nak pulih harapannya tipis," ujarnya yang berasal dari Kampung Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak.

pomen 2

Zulkarnain bangkit dengan sokongan keluarga.

Senang disapa sebagai Zulkarnain, pemuda berusia 27 tahun ini berkata, khabar yang disampaikan doktor ketika itu membuatkan dunianya terasa kelam seketika.

"Saya sangat down... bayangkan lumpuh pada usia yang masih muda, tambahan pula saya anak sulung yang menjadi harapan ibu bapa serta adik-adik.

"Setahun saya ambil masa untuk pulihkan semangat dan emosi. Keluarga dan rakan-rakanlah yang banyak beri kata-kata sokongan.

"Saya masih ingat, satu hari tu ada kawan cakap nak hantar motor. Dia kata 'aku percaya dekat hang saja nak repair'. Saya cuba walaupun dalam keadaan berbaring... sejak daripada situlah saya bangkit perlahan-lahan," kata pemuda yang merupakan seorang mekanik di sebuah bengkel sebelum ditimpa kemalangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri berkerusi roda, kalau keluar berdua cari rezeki memang perlu bantuan - “Siapa tolong, moga pahala mereka seberat wheelchair ni”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU seronok diberi peluang kerja cuci kereta... nak cuba hidup normal, lari daripada manusia toksik!

Zulkarnain menambah, sehingga kini sudah tujuh tahun dia mencari rezeki dengan membuka bengkel kecil di hadapan rumahnya.

"Alhamdulillah ada juga yang hantar motor. Nak buat benda lain, saya tak pandai dan keupayaan terhad. Selama terlantar ini pun, sukar sebenarnya untuk bekerja.

Baca komen netizen, sebak pun ada... ramai yang doakan kebaikan untuk saya. Terasa macam diri ini ramai yang sayang.

NETIZEN

"Dulu boleh buat seorang diri. Sekarang perlu bantuan orang. Saya hanya dapat buat yang mana boleh buat saja," kongsinya.

Tidak menyangka videonya yang dimuat naik seorang rakan mencapai belasan juta jumlah tontonan, Zulkarnain meluahkan rasa terharu dengan komen-komen positif warga maya yang mendoakan dirinya.

"Baca komen netizen, sebak pun ada... ramai yang doakan kebaikan untuk saya. Terasa macam diri ini ramai yang sayang.

pomen 3

Sebelum ditimpa kemalangan, Zulkarnain merupakan seorang mekanik.

"Terima kasih kepada semua yang komen baik-baik. Apa yang boleh saya katakan, kalau dah minat satu-satu benda, dalam keadaan apa jua pasti kita akan cuba lakukan sedaya upaya. Kalau tak berusaha macam mana nak berjaya, kan?

"Yang tak kerja tu, manfaatkan kesihatan tubuh badan dan carilah kerja untuk tanggung diri, bantu keluarga. Tak kisah kerja apa pun asalkan ia halal," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain