suria

Ibu meninggal 30 minit selepas nikah, pengantin tabah urus jenazah! Sempat curi masa ke dewan demi hargai tetamu

Ika mendapat perkhabaran sedih mengenai ibunya setengah jam selepas dia bernikah.

HARI bahagia bertukar duka.

Siapa sangka, dalam kegembiraan Nur Atiqah, 32, melangsungkan perkahwinannya, dia mendapat perkhabaran duka mengenai ibunya yang kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kisah sedih yang berlaku sewaktu hari pernikahan 26 Ogos lalu ini diceritakan semula oleh sahabatnya, Mohd Asmawie, 32, ketika dihubungi mStar.

Sekitar majlis pernikahan Ika.

“Hari yang paling menggembirakan menjadi momen paling mendukakan buat kawan baik saya. Majlis semua berjalan dengan lancar. Pengantin pun nampak gembira saja.

“Tapi lebih kurang setengah jam sahaja selepas dia selesai bernikah, Iqa dapat satu perkhabaran yang ibunya sedang kritikal dekat hospital.

“Kawan kami yang angkat call dari staf hospital masa tu sebab Iqa tengah nikah,” ujarnya yang senang disapa Mawie.

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai urus jenazah ibu, pengantin terus akad nikah! Isteri terharu suami kotakan janji di saat dirinya tak kuat

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terkilan ibu tak sempat tengok majlis nikah, tapi terharu lihat gambar telaga dalam handphone arwah - “Mak tak sempat masak ayam pecel”

Mawie yang sudah bersahabat baik dengan pengantin perempuan sejak 15 tahun lalu berkata, Iqa tidak sempat bersua dengan ibunya buat kali terakhir sebelum insan kesayangannya itu meninggal dunia pada pagi Sabtu.

Menurut Mawie, kali terakhir Iqa berjumpa arwah adalah pada petang Jumaat sewaktu ibunya ditahan di hospital selama dua hari akibat serangan angin ahmar (strok).

“Dia dan suami terpaksa tinggalkan majlis lalu bergegas ke hospital untuk melihat ibunya yang sedang kritikal.

Ibu Ika selamat ditanam di tanah perkuburan Ampang, Selangor pada petang Sabtu.

“Sampai saja di hospital, ibu Iqa sudah menghembuskan nafas terakhir. Macam mana saya nak gambarkan perasaannya. Gembira sedikit, tetapi dukanya yang lebih.

“Tapi saya bangga dengan dia sebab tetap kuat berdiri untuk pengurusan jenazah dengan sebaik mungkin. Pengurusan jenazah dibantu adik lelaki dan bapa saudara dia,” ujar Mawie lagi.

Bagaimanapun, menurut Mawie, mereka sempat kembali ke dewan majlis pernikahan di Ampang, walaupun dalam keadaan tidak stabil dan terlalu sedih.

Ika tak bersanding pun masa majlis dia hari tu. Kek pengantin pun tak sempat potong.

MOHD ASMAWIE

SAHABAT ATIQAH

Iqa terpaksa kuatkan diri untuk kembali ke majlisnya tetapi bukan untuk meraikan hari bahagia, namun sekadar menghormati tetamu yang sanggup hadir dari jauh.

“Ada keluarga yang datang dari Singapura dan Indonesia. Jadi Iqa patah balik ke dewan selepas van jenazah sampai.

“Tapi kami tak lama ke majlis sebab terus ke surau dan lega sangat sempat jumpa jenazah sebelum dikebumikan petang selepas Asar.

“Iqa tak bersanding pun masa majlis hari tu. Kek pengantin pun tak potong. Malam pertama selepas tahlil baru kami potong kek pengantin tu,” katanya lagi.

Kek dipotong selepas majlis tahlil selesai.

Menurut Mawie yang juga seorang TikToker, bapa Iqa pula terpaksa diusung menaiki kerusi roda ke tanah perkuburan Ampang, di mana ibu Ika dikebumi.

Walaupun dalam keadaan sakit disebabkan masalah jantung dan kencing manis, bapanya tetap hadir ke tanah perkuburan sebagai penghormatan terakhir buat pasangannya.

Hantaran dimuat naik di Instagram mendapat pelbagai reaksi dan komen netizen yang rata-ratanya sebak mendengar dengan ujian besar terhadap Iqa.

Dalam posting sama, Mawie menitipkan pesanan ringkas menyatakan sekiranya kita rasa sedih dan susah, ingatlah ramai lagi yang lebih berduka daripada kita di luar sana.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan