suria

Menangis tengok! Paling miskin tapi rumah kekal bersih, cantik... Keluarga ini buktikan kemiskinan bukan alasan jadi pengotor

Bilik tidur seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mencuri perhatian Syed Azmi.

DARI luar ia dilihat sekadar sebuah rumah kayu yang usang dan mungkin dipandang sepi oleh sesetengah orang.

Namun sebaik menjengah ke bilik tidur seorang kanak-kanak perempuan di dalam rumah ini, tanggapan terhadap kehidupan keluarga miskin yang menetap di situ terus berubah.

Walau hanya sebuah bilik kecil yang berdindingkan papan, tetapi keadaannya begitu kemas dan teratur serta dihias cantik menggunakan dekorasi sedondon warna merah jambu.

Beg kertas merah jambu disangkut kemas di dinding yang ditampal dengan kertas pembalut hadiah warna sama, menggantikan kertas dinding sebenar (wallpaper).

“Rumah paling miskin saya lawati dan buat saya menangis,” kata aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi menerusi hantaran di Facebook menunjukkan betapa dia terpesona dengan keadaan bilik kecil itu.

Syed Azmi meninjau salah satu bilik di rumah yang dilawatinya.

Berkongsi pengalaman, Syed Azmi berkata, perkara itu menarik perhatiannya ketika melakukan lawatan ke rumah-rumah asnaf di Kelantan, baru-baru ini, mewakili badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Untuk Anak Kita (PUAK Payong).

“Setiap kali saya melawat rumah asnaf, fokus kami adalah kebajikan kanak-kanak. Jadi, bilik tidur kanak-kanak adalah salah satu keutamaan kami terutamanya tempat mereka belajar dalam rumah.

“Dalam banyak-banyak rumah, bilik ini memang mencuri perhatian saya,” katanya kepada mStar.

Mengulas lanjut, Syed Azmi berkata, rumah itu dihuni oleh pasangan suami isteri bersama tiga anak perempuan mereka.

Menurutnya, si suami mencari rezeki sebagai pemandu lori dan isteri merupakan suri rumah.

“Gaji, upah tak menentu. Ada tiga anak perempuan yang semuanya masih bersekolah. Memang keluarga ni cukup makan dan sekolah saja.

“Keluarga ini tak ada hutang atau pinjam mana-mana. Makan sekadar apa yang perlu tapi tak adalah sampai ada hari yang tak makan langsung. Cuma tak mewah,” katanya.

Keadaan bilik yang kemas dan teratur.

Mengenai kesusahan keluarga ini, kata Syed Azmi, mereka perlu membeli air untuk minum dan rumah sering dimasuki air setiap kali banjir berlaku.

“Kenapa saya cakap keluarga ini paling susah? Sebab mereka ada air perigi tapi berbau dan tidak sesuai untuk diminum.

“Tingkat bawah sentiasa dilanda banjir. Mak ayah duduk di tingkat bawah yang tak ada apa-apa perabot. Semua dindingnya comot, kesan banjir setiap tahun,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua bulu menegak, meremang...” - Tandas tak ada pintu, jalan pun kena bongkok, aktivis terkesima lihat rumah orang miskin bersih gila!

ARTIKEL BERKAITAN: Sengaja buat spot check, guru terkejut lihat rumah 3 beranak asnaf yang pernah dibantunya! - “Dulu tinggal di stor kecil sempit bertiga”

Syed Azmi berkata, rumah keluarga itu mempunyai loteng yang dibuat pembahagi hanya untuk tiga anak perempuan mereka duduk dan belajar.

“Lampu pun mereka tarik dari bawah ke atas dan waktu malam je pasang.

“Nampak sangat keluarga ni mengutamakan persekolahan dan kebersihan. Tak perlu diperkatakan dengan kata kata, tengok rumah pun dah tahu,” katanya.

Keadaan di dalam rumah yang dihuni lima beranak.

Walaupun baru darjah dua, kata Syed Azmi anak bongsu pasangan itu menghias biliknya sendiri dengan cantik.

“Dalam 10 rumah yang saya pergi, ini yang paling miskin tapi ramai tak nampak miskin itu sebab nak bandingkan dengan rumah-rumah lain yang mereka lihat.

Nampak sangat keluarga ni mengutamakan persekolahan dan kebersihan. Tengok rumah pun dah tahu.

SYED AZMI ALHABSHI

“Mak dia cerita anak bongsunya memang kreatif dan cuba berjimat-cermat untuk menghias bilik selain disediakan oleh keluarganya,” katanya.

Syed Azmi berkongsi mengenai bilik kanak-kanak berusia lapan tahun yang cantik dan kemas itu kerana mahu menunjukkan bahawa kemiskinan bukan bermakna sesebuah rumah itu perlu nampak kotor dan daif.

Meskipun tidak hidup mewah, namun keluarga ini menitikberatkan kebersihan.

Malah kata Syed Azmi, dia mendapati banyak rumah yang tidak daif meskipun penghuninya sekeluarga menjalani kehidupan yang serba kekurangan dan mengalami kekangan kewangan.

“Dari segi sumber kewangan mereka adalah rendah dan komitmen keluarga tinggi, menyebabkan keluarga-keluarga ini tersepit.

“Tapi walaupun miskin, kebersihan dijaga dengan baik. Tandas bersih walaupun ada yang mengalami masalah air. Ada adab dan tatasusila yang baik.

“Malah di rumah mereka ada bacaan di dinding seperti doa dan harapan serta kata kata semangat. Semua ni saya ambil sebagai pengajaran buat saya,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain