suria

Suara macho, wajah pula macam Mark Lee NCT... Pelajar UiTM ini cetus fenomena, akui tugas baca nama graduan majlis konvo tak mudah

Kleff meraih perhatian menerusi video dia membaca nama-nama graduan pada majlis konvokesyen.

SETIAP kali nama disebut pada majlis konvokesyen, seorang demi seorang graduan melangkah dengan yakin mengikut alunan muzik gamelan untuk menerima skrol.

Namun tak ramai mengetahui siapakah pemilik vokal mantap di sebalik majlis penuh bermakna itu.

Berasal dari Sabah, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Kleffson Kebby Kili merupakan antara individu yang bertanggungjawab membacakan nama graduan di Istiadat Konvokesyen ke-97 Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini.

Mesra disapa Kleff, pemuda itu berkata dia tidak menyangka perkongsiannya sewaktu membacakan nama graduan meraih lebih lima juta tontonan di TikTok.

“Ini adalah penyertaan pertama saya sebagai pembaca nama graduan. Saya mengikuti ujibakat pencarian suara emas pada Julai selepas dimaklumkan rakan-rakan.

“Saya menghadirikan diri untuk mencuba, dan difahamkan ada lebih 300 orang yang datang untuk sesi ujibakat. Syukur saya disenarai pendek dan terpilih,” katanya ketika dihubungi mStar.

Percubaan pertama Kleff menjadi pembaca nama graduan. -Gambar Jabatan Komunikasi UiTM

Berusia 20 tahun, pemuda ini mengakui terkejut apabila video yang merakamkan dia memanggil nama-nama graduan, meraih sambutan di luar jangkaan.

Untuk rekod, Kleff juga merupakan individu yang memanggil nama penerima anugerah graduan terbaik fakulti dan program serta penerima Anugerah Naib Canselor, Nurqueen Sayang Dinnie Wirakarnain yang tular baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajahnya manis, nama pun sedap... Queen Sayang gamatkan majlis konvo UiTM, definisi sebenar ‘beauty with brain’

ARTIKEL BERKAITAN: Lengan baju ala ikan laga, satu dewan tertumpu kepada graduan selempang pink! Rupanya busana dipakai ada ‘sejarah’

“Saya post video hari ni, esok pagi saya bangun dah cecah 2 juta views! Memang tak sangka,” ujarnya yang berasal dari Telipok di pinggir Kota Kinabalu, Sabah.

Kleff (belakang, tiga, kanan) bersama rakan-rakan pembaca nama graduan.

Berkongsi cerita mengenai tugasan sebagai pembaca nama graduan, Kleff mengakui perkara paling mencabar ialah ketika menyebut nama-nama yang panjang dengan ejaan pelik.

“Masa berlatih memang banyak terbelit lidah, tapi saya biasakan diri dengan menyebutnya secara jelas dan semangat. Pada masa sama, saya akan menghubungi graduan berkenaan bagi mendapatkan kepastian mengenai sebut namanya yang sebenar.

“Saya harus mengikut tempoh yang sepatutnya dengan nada yang bersemangat. Tapi perlu berhati-hati agar semangat tu tidak membuatkan saya membaca dengan laju,” katanya.

Saya menganggapnya sebagai satu penghargaan, sekali gus memberi motivasi kepada saya untuk meneruskannya dan melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

KLEFFSON KEBBY KILI

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia turut terkejut apabila wajahnya dikatakan mirip salah seorang anggota kumpulan dari Korea Selatan, NCT iaitu Mark Lee.

“Komen-komen netizen sangat menghiburkan. Tapi saya tidak melihat persamaan wajah saya dengan penyanyi K-pop tu. Walaupun lucu, saya hargai pandangan mereka,” ujarnya yang gemar menyanyi dan meminati penyanyi dari England, Bruno Major.

Kleff (dua, kiri) bersama rakan-rakan sekelas.

Berkebolehan bermain alat muzik gitar dan keyboard, Kleff mengakui apa yang lebih membuatkan dia terharu adalah sambutan ibu bapa para graduan di majlis konvokesyen.

“Orang yang tak kenal mungkin anggap saya tak mesra, tapi sebenarnya saya mudah didekati.

“Ada beberapa ibu bapa datang tegur dan mahu bergambar dengan saya sebagai pembaca nama anak-anak mereka. Ada juga yang mengenali saya sebagai jejaka dari TikTok.

“Saya terharu dan menganggapnya sebagai satu penghargaan, sekali gus memberi motivasi kepada saya untuk meneruskannya dan melakukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Kleff menghargai komen-komen netizen dan sambutan di luar jangkaan daripada ibu bapa para graduan.

Dalam pada itu, rezeki turut berpihak kepada Kleff susulan videonya yang tular apabila menerima beberapa tawaran yang bakal menyerlahkan lagi bakatnya.

“Ada yang tawar saya job suara latar (VO), emcee dan pengacara. Sudah tentu saya mahu mencuba tapi pada masa sama saya ada banyak komitmen, perkara ini akan saya pertimbangkan,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain