suria

Kotor, perabot ‘hilang’! Sewa 1 malam, tetamu lenjan homestay cukup-cukup... Owner tanya, jawapannya menyakitkan hati

Dapur dipenuhi pinggan koto dan sampah tak dibuang, manakala permainan tidak dikemas semula.

SEMEMANGNYA menguji kesabaran apabila berdepan dengan individu yang tiada common sense.

Bayangkan, pinggan mangkuk berlonggok di singki tidak dicuci, sampah pula bertimbun tidak dibuang.

Begitulah rintihan pengusaha sebuah homestay apabila rumah yang disewakan dibiarkan dalam keadaan tidak terurus dan kotor.

Luahannya turut dikongsi menerusi satu hantaran di TikTok.

Sisa makanan dan minuman tidak dibersihkan.

Berkongsi cerita, Ain (bukan nama sebenar) berkata, keluarganya mengusahakan bisnes homestay di Melaka sejak lebih setahun lalu.

Seperti kebiasaan, dia bersama ahli keluarganya akan melakukan pemeriksaan dan pembersihan selepas tetamu mendaftar keluar selepas menginap di rumah dua tingkat itu.

“Apabila tetamu dah bayar, memang kita akan kemas selepas mereka dah check out. Tapi kami tak pernah dapat tetamu sekotor itu.

“Banyak pinggan sudah digunakan tidak dibasuh, dibiarkan saja dalam singki. Kerusi ‘hilang’ sedangkan kalau duduk di homestay, perabot tak boleh dialihkan,” katanya kepada mStar.

Perabot dialihkan dan tidak diletakkan semula ke tempat asal.

Mengulas lanjut, gadis berusia 25 tahun itu memberitahu, kerusi di ruang meja makan 'hilang' dari tempat asal dan ditinggalkan di dapur.

Malah katanya, meja di ruang tamu juga dialihkan dan tidak diletakkan semula di tempat asal.

Dah bagi sewa homestay murah, kami cuma minta kembalikan homestay seperti sediakala pun dah cukup.

AIN (BUKAN NAMA SEBENAR)

“Kami naik tingkat atas, ada dua tilam ‘hilang’ di bilik belakang. Rupa-rupanya mereka angkut bawa ke bilik hadapan.

“Masalahnya, sudahlah tidak diletakkan semula di katilnya, dibiarkan berselerak macam tu je,” ujarnya sambil menambah tetamu tersebut menginap bersama keluarganya.

Tilam dialihkan daripada katil dan dipindahkan ke bilik lain.

Walaupun menginap hanya untuk satu malam, Ain menggambarkan keadaan rumah sangat tunggang langgang.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah mengembara merata, lelaki ini tak sangka dipertemukan dengan ‘homestay, tuan rumah dari neraka’ - “Dia pula yang reviu teruk tentang saya”

ARTIKEL BERKAITAN: 3 bulan disewa, homestay bagai dilanda taufan! Tak sangka penyewa cantik pengotor teruk, geli tuala wanita terpakai tak dibuang

“Ada selonggok sisa makanan dan minuman di meja hadapan rumah, berdepan dengan kolam renang. Kenapa dah makan tak kemas?

“Kita dah sediakan kelengkapan pembersihan seperti penyapu dan penyodok sampah. Plastik sampah pun ada, kenapa tak digunakan dengan sebaik-baiknya?” soalnya.

Lebih menyedihkan apabila tetamu berkenaan tidak menghargai kemudahan yang mereka sediakan untuk keluarga yang datang untuk menginap.

“Kami sediakan banyak permainan untuk kemudahan kanak-kanak bermain. Selama ini tetamu yang datang sekeluarga kemaskan semula, tapi kali ini dibiarkan bersepah,” katanya.

Antara peralatan pembersihan yang disediakan di homestay.

Menurut Ain, keluarganya ada bertanyakan mengenai keadaan rumah yang teruk kepada tetamu tersebut namun alasan yang diberikan begitu mengecewakan.

“Dia boleh jawab ‘kami tak buat sebarang kerosakan, tak ambil satu barang pun dari homestay’. Memanglah dia tak buat macam tu, tapi tolonglah ada common sense.

“Kami tak minta tetamu bersihkan betul-betul sebab itu tugas kami. Tapi jangan kotorkan dan biarkan saja, kami hanya mahu macam mana keadaan rumah apabila masuk, begitu juga keluar.

“Apabila sebut pasal terma dan syarat, baru dia minta maaf. Kami dah bagi sewa homestay murah, kami cuma minta kembalikan homestay seperti sediakala pun dah cukup. Tak susah mana,” katanya dengan nada kesal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain