suria

Sampai guna gergaji! Lelaki ini pecah tabung selepas 7 tahun, berjaya simpan lebih RM5,000... Seronok mampu beli iPhone 14 tunai

Lelaki ini mengumpul duit syiling 50 sen selama tujuh tahun.

SIKIT-SIKIT, lama-lama jadi bukit.

Ungkapan itu menggambarkan perkara yang kecil jika dikumpul akan menjadi besar jumlahnya.

Bagi seorang lelaki, hobi menyimpan kepingan duit syiling 50 sen sejak tujuh tahun lalu akhirnya menunjukkan hasil apabila nilai tabungannya mencecah lebih RM5,000.

Bercerita kepada mStar, Muhammad Hafiz Abdul Hamid, 30, berkata dia mula menabung secara suka-suka dan tidak menyangka akan dapat pergi sejauh itu.

"Saya mula kumpul duit syiling 50 sen pada tahun 2016. Saya tidak ada ambil inspirasi atau terikut-ikut dengan sesiapa pun, ia macam tiba-tiba hobi tu datang sendiri, dan saya pun buat.

"Awalnya saya simpan duit syiling tu dalam mug (gelas), kemudian saya simpan dalam bekas kerepek kentang.

ARTIKEL BERKAITAN: Cukup tempoh 3 tahun, tiba masa tunai janji dengan kekasih! Lelaki ini selamat nikah selepas ‘muntahkan’ wang dari 6 tabung buluh

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan makan sedap, bayar guna syiling buruk! Rider patah balik, tekan loceng sampai ke sudah tak buka pintu

"Apabila dah terlampau menimbun duit syiling tu, saya simpan dalam bekas air dispenser 19 liter yang macam dalam video. Saya hanya simpan duit syiling 50 sen. Kalau nak tahu, saya larang guna duit 50 sen sebab saya nak simpan.

"Duit syiling 10 sen dan 20 sen saya tak simpan, boleh digunakan seperti biasa," kata Hafiz yang menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Tambah Hafiz lagi, dia berjaya mengumpul duit syiling sebanyak itu kerana dia ada membuat servis pertukaran wang kertas kepada duit syiling.

Dengan duit syiling sahaja, saya berjaya mengumpul hasil berjumlah RM5360. Sangat lumayan.

MUHAMMAD HAFIZ ABDUL HAMID

"Kawan-kawan saya kadang ada lebihan duit syiling tapi mereka nak wang kertas, jadi saya tolong tukarkan. Saya ambil duit syiling mereka dan saya bagi mereka wang kertas.

"Ada yang tukar dari RM10 sampai la ke RM50. Adik dan kakak saya pun ada tolong offer servis ni kepada kawan-kawan mereka, itu antara bekalan utama saya untuk duit syiling.

"Selain servis, saya pun ada simpan secara manual, tapi ini akan memakan masa nak kumpul," kata Hafiz yang merupakan anak bongsu dari tujuh orang adik-beradik.

Hafiz berkata proses untuk mengira kesemua duit syiling yang disimpannya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam.

Proses pengiraan duit syiling milik Hafiz.

"Apabila saya nampak bekas air tu dah sarat dengan duit syiling, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita buat operasi pecah tabung.

"Saya potong bekas tu guna gergaji sebab kalau nak keluarkan semua duit syiling ikut 'mulut' bekas dah tak boleh.

"Saya dibantu isteri, kakak dan kakak ipar. Malam tu kami berempat yang 'lenjan' kira semua duit syiling tu.

"Kami kira duit syiling tu secara sistematik, setiap menara duit syiling yang kami letak meninggi mewakili RM10. Manakala untuk satu baris akan ada 10 menara, maka sebaris jumlahnya adalah RM100," kata Hafiz.

Proses memasukkan duit syiling ke dalam bungkusan plastik.

Hafiz yang bekerja sebagai penyelia pengemasan bilik penginapan (housekeeping) di sebuah hotel mengakui terkejut apabila melihat jumlah yang berjaya dikumpul.

"Dengan duit syiling sahaja, saya berjaya mengumpul hasil berjumlah RM5360. Sangat lumayan. Awal dulu waktu mula mengumpul duit syiling, saya ada terdetik nak beli iPhone kalau boleh konsisten menabung.

"Tapi tak serius sangat pun, macam terlintas begitu je. Sekali tengok dah ada RM5 ribu lebih, saya pun angkat la iPhone 14 satu. Alhamdulillah, boleh beli terus tunai tanpa ada bayaran ansuran.

"Cuma tak dapat dinafikan, proses untuk tukar duit syiling ke wang tunai tu sangat merenyahkan. Kami terpaksa pergi sampai enam cawangan bank sebab nak tukar semua duit syiling saya.

Hafiz membeli telefon pintar model iPhone 14 menggunakan duit syiling yang dikumpulnya.

"Sebab untuk setiap bank, mereka tak boleh tukar terus duit syiling dalam kuantiti yang banyak, nanti mesin rosak. Sebab tu kami kena pergi ke banyak bank," jelas Hafiz.

Ketika ditanya adakah dia akan mula mengumpul semula duit syiling, Hafiz berkata besar kemungkinan tidak kerana ia adalah satu proses yang meletihkan.

"Saya rasa sangat penat nak kumpul satu-satu duit syiling tu, cukuplah buat sekali. Dengan ketekunan saya menabung selama tujuh tahun, puas hati akhirnya dapat memiliki iPhone 14.

"Kawan-kawan saya pun cakap mereka terkejut apabila nampak video saya pecah tabung naik For Your Page (FYP) di TikTok, tak sangka yang saya ni jenis orang menabung duit syiling," kata Hafiz menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain