LELAKI yang memiliki hobi permotoran sering berdepan pandangan serong masyarakat, malah mereka turut dilabel dengan gelaran mat rempit dan sebagainya. Namun, 10 pemilik motosikal Yamaha RXZ dari Johor membuktikan sebaliknya apabila sifat terpuji mereka ketika bermalam di sebuah inap desa di Terengganu menjadi perbualan netizen. Menurut pengusaha inap desa Birra Sejid, Saufi Samah, 35, kumpulan pemuda berkenaan menunjukkan sikap yang baik sehingga dia terpanggil untuk berkongsi tentang kisah itu menerusi media sosial. Saufi kagum dengan sikap terpuji 10 pemuda itu. "Mereka sampai hari Jumaat dan keluar hari Sabtu malam. Mereka terdiri daripada 10 individu dari Johor, datang membawa 10 RXZ bersama sebuah Mitsubishi Triton. "Saya tengok mereka macam kategori bapa-bapa, mungkin lewat 30-an. Mereka datang berkonvoi. Ketika sampai tu, tiada bunyi kecoh pun. Kebetulan homestay saya di tepi masjid. "Terus mereka matikan enjin dan tolak motor masuk ke kawasan rumah. Mereka sangat menjaga keharmonian kampung. Di rumah pun mereka tak bising, betul-betul datang nak healing," ujarnya kepada mStar. Rumah dijaga kemas, rapi macam anak dara mengemas bilik. SAUFI SAMAH Menurut Saufi, kumpulan berkenaan turut meninggalkan inap desa itu dalam keadaan kemas, sekali gus memudahkan urusan pembersihan yang perlu dilakukan oleh pihaknya. "Saya tengok mereka ni antara mat motor yang boleh menjadi contoh. Sampai nak keluar pun, rumah bersih je. Mereka lipat selimut. "Rumah dijaga kemas, rapi macam anak dara mengemas bilik. Mereka juga turut menyertai solat berjemaah kat masjid sebelah," ujarnya yang mengusahakan inap desa itu sejak tahun 2019. ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan mat rempit kumpul duit sendiri tolong keluarga susah 'terlepas pandang' ketika PKP - “Kami tak kisah orang sangka buruk” ARTIKEL BERKAITAN: Minah rempit tak sayang nyawa, meniarap buat aksi ‘superwomen’ atas highway... Rambut menggerbang, tudung berkibar buat ramai seram Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen turut memuji sikap baik yang ditunjukkan kumpulan itu dan berharap ia menjadi contoh kepada golongan mat motor di luar sana. "Alhamdulillah terbaik. Begitulah legenda yang merindui masa muda mereka. "Walaupun dipanggil mat rempit, mat motor... Mereka masih manusia biasa yang ada adab dan hormat orang. Inap desa itu ditinggalkan dalam keadaan kemas dan rapi. "Homestay mak saya pun bersih je. Walaupun mereka rushing balik malam Sabtu tu. Terbaik abang-abang RXZ," tulis netizen. Inap desa milik Saufi mempunyai tiga bilik tidur, dua ruang tamu dan dua ruang dapur dengan harga RM300 semalam (hari biasa) dan RM350 (hujung minggu). Untuk rekod, ribuan pemilik motosikal RXZ dan pelbagai jenis lain dari seluruh negara berada di Terengganu sempena Himpunan RXZ Members 5.0 yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu. Namun, acara tersebut kecoh pada Sabtu apabila puluhan pemilik motosikal RXZ ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube