SEEKOR kucing tular di media sosial selepas ia dijumpai dalam keadaan kotor akibat dicat dengan pewarna rambut manusia. Kucing itu kini menerima rawatan di sebuah klinik haiwan di Gombak, Selangor selepas ia diselamatkan seorang penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Adam Hasrol, 23, pada pagi Selasa. "Saya dimaklumkan tentang kucing ini oleh seorang kawan, namanya Siti Khadijah. Kemudian saya tengok posting itu, ada seekor kucing yang dicat dengan warna ungu. Saya tengok pun agak marah. Adam membawa kucing itu ke sebuah klinik haiwan pada Selasa. "Kucing itu dijumpai di kolej residen saya di UIAM. Semalam saya ada di rumah di Rawang. Jadi pagi ini saya terus pergi ke kampus untuk cari kucing berkenaan. Puas saya cari, akhirnya jumpa kucing tu di tempat letak kereta. "Masa jumpa, kucing tu chill je. Tapi saya geram sebab badannya dicat. Pelaku siap lukis emoji smiley, simbol pangkah (X) dan buat anak panah atas kepalanya seperti watak kartun Avatar. Jadi, saya terus bawa kucing itu ke klinik," ujarnya kepada mStar. Menurut Adam, rawatan kucing itu menelan belanja sebanyak RM300, namun kos tersebut dilunaskan dengan hasil sumbangan orang ramai selepas kes berkenaan tular di media sosial. Jangan curahkan kreativiti ke atas haiwan. Harap dia (pelaku) faham yang dia bersalah. ADAM HASROL "Kos total dalam RM300. Kucing tu kena potong bulu, buat lion cut. Lidahnya jadi warna purple sebab dia jilat bulu. Disyaki warna purple tu bukan cat biasa, tapi pewarna rambut. "Alhamdulillah ramai beri sokongan. Ada ramai yang menderma. Sekarang kucing itu masih berada di klinik, perlu ditinggalkan untuk pengawasan lagi," ujar pelajar bidang kejuruteraan mekanikal itu. Dalam temu bual sama, Adam turut menitipkan pesan kepada pelaku agar menghentikan kekejaman ke atas haiwan yang disifatkan tidak sewajarnya, apatah lagi di dalam kawasan kampus. ARTIKEL BERKAITAN: Gelisah dengar anak kucing mengiau, lelaki kutip bawa ke klinik... Lepas 2 bulan ‘lifestyle’ Oyen berubah, tidur dalam hotel! ARTIKEL BERKAITAN: Tragis, 3 hari hilang kucing ditemui mati dalam kereta! Pemilik dedah kronologi pembunuhan kejam, diseksa dahulu sebelum hantar pulang "Saya selalu tengok kucing tu sebelum ini. Selalu juga bagi wetfood. Ibaratnya tu kucing semua orang. Tapi satu pesanan saya kepada pelaku, saya harap dia salurkan kreativiti ke tempat lain. "Jangan curahkan kreativiti ke atas haiwan. Harap dia (pelaku) faham dan rasa bersalah, jangan buat lagi. Kalau dapat, habislah kamu," ujar Adam lagi. Pada Isnin, pemilik Twitter @twttaca berkongsi beberapa foto dan video, memaparkan keadaan kucing berkenaan yang dicat dengan warna ungu. Kucing ini kelihatan 'santai' meskipun tubuhnya dipenuhi cat warna ungu. Ciapan yang tular itu turut dihujani komen orang ramai yang menyelar tindakan pelaku dan mereka turut menzahirkan rasa simpati dengan nasib kucing berkenaan. "Kesiannya. Siapa yang jahat sangat buat kucing macam ni? "Allah, kesiannya. Apa ni buat aku nangis pagi-pagi? Teringat anak bulus kat rumah. "Sumpah tak lawak ya buat macam ni. Ada akal tak guna ke?" tulis beberapa netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube