SESETENGAH pihak memandang enteng perkara berkaitan isyarat keselamatan dan pertolongan cemas sehingga tidak menyedari terdapat individu berhampiran yang memerlukan bantuan. Begitulah yang berlaku terhadap seorang wanita apabila terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bantuan daripada orang awam yang mengunjungi sebuah karnival di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Mana tidaknya, secara zahirnya dia kelihatan seperti pengunjung lain dan tidak menunjukkan sebarang perkara mencurigakan. Malah pada masa itu dia dilihat bersama seorang lelaki sedang membeli di sebuah gerai berhampiran. VIDEO Bagaimanapun tindakannya membuat gerakan meminta pertolongan dengan menggenggam dan membuka tapak tangan berulang kali disedari salah seorang peserta karnival berkenaan. Susulan daripada itu, dia berjaya diselamatkan dengan bantuan polis yang hadir ke lokasi terbabit. Berkongsi lanjut dengan mStar, Hazrul Halili yang berada di lokasi berkata, kejadian tersebut berlaku pada kira-kira pukul 8.15 malam, 6 September lalu. Tangkap layar wanita terbabit bersama pasangannya ketika sedang membeli makanan. “Mula-mula tak perasan pun pasangan tu. Kemudian salah seorang rakan saya nampak dan tunjuk wanita tu seperti minta tolong. “Apabila saya pandang, memang nampak help gesture yang dia buat. Tapi saya pastikan betul-betul sama ada dia minta tolong atau sekadar main-main. “Selepas nampak kecederaan pada muka yang ketara dan dia kelihatan seperti ketakutan dan menahan sakit, barulah saya yakin dia perlukan bantuan,” ujar pemuda berusia 32 tahun itu kepada mStar. Tanpa menunggu lama, dia terus menghubungi polis dan pada masa sama rakannya pula cuba untuk mendekati mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki tak kedekut pinjamkan power bank, pasangan tunang tengah kumpul duit nak kahwin dapat wang tunai daripada Pinn Yang ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh hari ’teman’ arwah makcik tepi kubur, risau mayat jadi mangsa khurafat... Pemuda pernah nampak ‘balan-balan’ terbang! Tambahan pula, lelaki yang bersama wanita terbabit sedang leka membeli makanan. “Dia pun terus pergi ke arah kawan saya untuk selamatkan diri. Kemudian dia dibawa masuk ke bawah khemah sambil menunggu polis datang. “Ramai krew karnival bantu untuk tarik lelaki terbabit duduk serta lengahkan dia. “Alhamdulillah polis sempat datang sebelum suspek bertindak lebih agresif,” ujarnya lagi. Hazrul pernah melihat gerakan tangan seperti itu menerusi video pelakon Thailand, mendiang Tangmo Nida. Tindakan pantas itu bukan sahaja berjaya menyelamatkan wanita berkenaan bahkan lelaki tersebut turut ditahan polis. “Dia kemudian diserahkan kepada ayahnya dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan serta rawatan kerana muka ada kesan bengkak dipercayai akibat dipukul. “Saya difahamkan yang lelaki tu hanyalah kenalan sahaja tetapi dikenali ayah wanita berkenaan. Ayah dia nampak macam kecewa dan tak sangka,” tambahnya yang menjadi saksi kes terbabit. Ujar Hazrul lagi, kejadian yang berlaku itu adalah pertama kali dihadapinya. Namun dia meluahkan rasa syukur kerana mengetahui gerakan kecemasan tersebut sekali gus berjaya menyelamatkan satu nyawa. “Saya pernah tengok video eksperimen sosial yang dibuat di luar negara serta tragedi melibatkan pelakon Thailand, mendiang Tangmo Nida,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube