KETIKA kita bergegas ke sesuatu destinasi, perasaan resah dan gelisah itu perkara biasa. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana berdebarnya jika lewat tiba daripada waktu yang sepatutnya. Dek kerana itu juga, seorang kakak terpaksa memandu laju dalam kesesakan lalu lintas gara-gara si adik tidak mahu lambat sampai ke asrama. “Ada orang tak senang duduk, takut kena rotan,” kedengaran suara si kakak, menerusi satu video yang tular di media sosial. “Laju la sikit,” kata adik lelaki yang tidak duduk diam di tempat duduk belakang. Adik perempuan Syaffa memandu pada hari kejadian. Berkongsi cerita, Nuraziza Syaffa’ Ahmad Soyuti berkata, momen tersebut dirakam sewaktu menghantar adik lelaki yang berusia 16 tahun ke sekolah berasrama di Puchong, Selangor pada Ahad lalu. Menurut Syaffa, ketika itu adik perempuannya yang berusia 23 tahun memandu kereta dalam perjalanan yang turut disertainya ibu mereka. “Ikut perancangan awal, kami akan gerak untuk hantar adik ke asrama pada pukul 5.30 petang. Tapi pada hari kejadian, mak nak melawat orang sakit dahulu di hospital dan selepas itu baru terus hantar adik ke asrama. “Tapi adik masa tu belum siap apa-apa lagi, baru nak makan la, nak settle baju. Jadi mak pergi ke hospital dulu. “Kami hanya bertolak dari rumah pukul 6 petang. Jadi, masa tu cukup-cukup untuk hantar adik ke asrama sebelum pukul 6.30 petang. Itu yang adik gelabah sangat nak cepat sampai,” katanya kepada mStar. Adik lelaki bimbang tiba lewat di asrama. Syaffa yang berusia 26 tahun memberitahu, dia difahamkan bahawa adiknya perlu tiba di asrama sebelum pukul 6.30 petang dan perjalanan dari rumah mengambil masa 30 minit. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu masuk wad, abang ‘angkut’ adik ke sekolah siap bawa beg lampin! Di kelas belajar sambil suap susu, dodoi sampai tidur ARTIKEL BERKAITAN: Polis menangis teresak-esak hantar anak masuk asrama, balik rumah cium baju tak tahan rindu - “Malam saya jadi sunyi” “Daripada segi peraturan, jika pelajar balik ke rumah untuk bercuti, mereka kena pulang ke asrama sebelum pukul 6 petang. Kalau hari outing macam hari tu, diberi kelonggaran balik sebelum pukul 6.30 petang. “Jika lewat balik ke asrama, adik kata sekadar rotan kat tangan je. Adik pernah kena rotan sebelum ni, sebab itu dia tak nak balik lambat dah,” ujarnya secara berseloroh. Syaffa (dua, kiri) bersama adik-beradik. Walaupun dalam keadaan yang tergesa-gesa, anak kedua daripada empat beradik itu bagaimanapun bersyukur kerana mereka berempat tiba di asrama tepat pada masanya. “Alhamdulillah, kami sampai tepat pada masanya, pukul 6.28 petang. Selepas itu, adik berlari untuk ambil satu kad macam kad outing daripada warden. Adik pernah kena rotan sebelum ni, sebab itu dia tak nak balik lambat dah. NURAZIZA SYAFFA' AHMAD SOYUTI “Siapa yang tak ambil kad tu dikira lambat. Kalau lambat, akan kena denda,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Kak Ngah dalam keluarga. Seperti si bongsu yang lain dan merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, Syaffa yang berkhidmat sebagai guru menyifatkan adiknya itu mempunyai perwatakan manja. Adik lelaki Syaffa (kanan) manja dengan adik-beradik. “Adik saya ni sangat manja. Apa-apa nak minta mak, semua nak kakak buatkan. Kita ni berbuih mulut suruh cepat, dia lagi melambat-lambatkan. “Dalam perjalanan, mula-mula adik relaks je. Pukul 6.20 petang, kami masih di persimpangan lampu isyarat dengan banyak kereta. Barulah dia mula gelabah. “Kalau ikutkan, biar je adik tu kena rotan. Dia lambat, kita pula kena ikut gelabah sama dengan dia. Kakak tu dah kira macam drift dah, tapi Alhamdulillah selamat sampai,” katanya yang mengulas mengenai perkongsian videonya di TikTok kini meraih lebih 2.7 juta tontonan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube