“ASSALAMUALAIKUM abang, sayang datang ni.” Itulah ayat pertama keluar dari mulut seorang isteri selepas 'pertemuan' semula dengan suaminya yang meninggal dunia pada 6 April lalu. Momen keterujaan seorang isteri yang berpakaian cantik menziarahi pusara suaminya dikongsikan oleh anaknya, Naira Syahirah di TikTok baru-baru ini. “Hari pertama mak selepas idah. Semangat betul siap cantik-cantik nak pergi tengok buah hati. Ibu Naira meredah cuaca panas demi menziarahi kubur suami. “Dari semalam lagi dah pilih baju mana mak nak pakai, nak ‘jumpa’ ayah,” ujarnya menerusi tulisan pada video. Video tersebut dirakam pada 17 Ogos lalu, hari pertama selepas tempoh idah ibunya berakhir. Menerusi video itu, kelihatan si ibu yang memakai baju kurung tersenyum ceria berjalan sambil memegang payung menuju pusara suami di tanah perkuburan di Sungai Korok, Kubang Pasu, Kedah. Dalam video berdurasi 1 minit 13 saat itu, dapat juga dilihat wanita itu memegang batu nisan sambil menangis, dipercayai meluahkan isi hatinya yang terpendam selama ini. ARTIKEL BERKAITAN: Penjelasan status talak ketika isteri sedang hamil ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama tak tahan rindu, isteri bawa ‘anak angkat’ ziarah kubur suami baru meninggal 4 hari - “Memang lain sangat gelagatnya malam tu” Menurut Naira, walaupun sudah tiada penyakit bapanya masih kekal menjadi tanda tanya dalam dirinya dan keluarga. Bagaimanapun dia reda dengan kematian bapanya yang dikatakan sakit selama beberapa bulan sebelum dijemput Ilahi. Lama ayah berjuang dengan sakit misteri tu. Empat bulan ayah tak tak dapat tidur. NAIRA SYAHIRAH “Lama ayah berjuang dengan sakit misteri tu. Empat bulan ayah tak tak dapat tidur. “Sekarang ayah dah dapat berehat panjang,” katanya lagi. Ceritanya lagi, ibunya akan mengalirkan air mata selepas menunaikan solat kerana terlalu rindukan arwah suami yang selama ini sentiasa bersamanya. Wanita ini akhirnya dapat melawat pusara suami yang amat dirindui. Perkongsian video tersebut menyentuh hati warganet dengan meraih lebih 700,000 jumlah tontonan. Rata-ratanya meluahkan rasa simpati dan sebak melihat emosi seorang isteri yang begitu mencintai pasangannya. Menurut portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hukum idah atau berkabung menurut syarak adalah wajib ke atas wanita yang bercerai atau kematian suami. Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib menjalani idah, tetapi juga wajib berkabung selama empat bulan 10 hari. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube