suria

Nenek marah jahit tilam bayi, takut ‘laluan’ lambat buka... Wanita langgar pantang terpaksa tahan 38 jam kontraksi bersalin

Ramai dalam kalangan bakal ibu suka menjahit sendiri barangan keperluan anak.

MASYARAKAT Melayu bukan sahaja kaya dengan adat dan budaya, malah mempunyai pelbagai pantang larang atau petua yang masih menjadi ikutan generasi masa kini.

Di sebalik menjadikannya sebagai panduan, ada pula yang menyifatkan amalan atau petua yang diberikan sebagai perkara kurafat kerana bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

Perkara sama turut dialami seorang wanita ini yang pernah ditegur neneknya kerana menjahit ketika usia kandungan sudah mencecah 36 minggu.

Menerusi perkongsian tentang hal itu di TikTok, dia akhirnya dihujani komen negatif daripada warga maya kerana kebanyakannya beranggapan dia mempercayai perkara tahyul berkenaan.

Suami boleh bantu menyelesaikan jahitan pemati.

Suami boleh bantu menyelesaikan jahitan pemati.

“Kurafat semua tu, banyakkan doa dan zikir anak sihat.

“Tak adalah... anak pertama saya pantang macam-macam tapi ceaser juga. Anak kedua dan seterusnya saya buat macam-macam siap ketuk paku lagi.

“Bagi saya semua tu mindset. Kalau kita percaya dengan mindset macam tu, akan dapat macam tu,” ujar beberapa warga maya menempelak pantang larang yang diamalkan nenek wanita berkenaan.

Terdahulu menerusi perkongsian video di TikTok, dia yang pertama kali menjadi ibu menyatakan sudah menjahit sarung tilam dan bantal untuk anak yang bakal lahir.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri baru lepas bersalin buat check-up di bilik doktor, suami tunggu luar angau tengok awek seksi - “Rasa lebih sakit dari beranak”

ARTIKEL BERKAITAN: Mak tak nak kalah, bukti masih subur! Ibu dan anak perempuan ini bersalin hari sama, tetamu majlis cukur jambul sangka bayi kembar

“Serius tak tahu pasal pantang larang menjahit semasa hamil.

“Selalu kita dengar pasal cuci koq (kolah) dalam bilik air dan suami tak boleh pergi mengail (memancing) atau duduk dekat pintu,” ujarnya.

Tambah wanita itu meskipun sedang sarat, dia tetap dengan hasrat untuk menghasilkan barangan untuk bayi sendiri.

Malah katanya, dia sudah menggunting dan menjahit setiap barangan yang ingin dihasilkan.

Pukul 11 malam sampai hospital dah buka 5cm, doktor tolong buka jadi 6cm dan terus tolak ke bilik bersalin.

Pelayar TikTok

Sehinggalah pada suatu hari ketika dia berkunjung ke rumah neneknya, warga emas itu memarahi dan meminta dia menetas semula bahagian hujung jahitan.

“Mak cerita pada maktok (nenek) yang saya jahit sendiri sarung dan bantal anak.

“Kemudian maktok tanya pula siapa yang jahitkan pemati (penghujung jahitan) selepas isi kekabu... saya terus cakap jahit sendiri.

“Terus maktok suruh balik dan tetas benang. Dia siap pesan suruh orang lain yang jahit pemati bantal yang siap isi kelabu tu,” ceritanya lagi.

Ibu hamil gemar menghasilkan tilam dan bantal bayi.

Ibu hamil gemar menghasilkan tilam dan bantal bayi sendiri.

Pelik dengan teguran tersebut, dia kemudian bertanyakan kenapa perlu buka semula jahitan yang dah siap.

Menurut neneknya, ia bagi mengelakkan ‘laluan’ semasa melahirkan anak lambat buka.

Mengakui menyesal kerana tidak mengetahui pantang larang tersebut, ibu kepada seorang cahaya mata ini menyatakan dia mengambil masa yang lama untuk melahirkan walaupun mengalami kontraksi bersalin.

“Malam tu sakit pinggang sangat-sangat, macam nak tercabut. Paginya pergi tandas macam ada tanda lendir dan darah.

“Pukul 10 pagi pergi hospital, doktor cakap tak ada bukaan lagi... dia suruh balik makan dan jalan-jalan dulu,” kongsinya.

Menyedari diri hampir melahirkan, dia kembali semula ke hospital selepas turun darah pada pukul 4 pagi.

Warga maya meninggalkan pandangan dan pengalaman masing-masing tentang pantang larang.

Warga maya meninggalkan pandangan dan pengalaman masing-masing tentang pantang larang.

Setiba di hospital, doktor mendapati bukaan hanya sepanjang satu sentimeter (cm) dan dia kemudian diminta untuk pulang semula ke rumah.

“Suami pun pergi kerja macam biasa. Pukul 4 petang, kontraksi bersalin semakin kuat, saya terus hubungi suami suruh balik kampung selepas kerja.

“Pukul 11 malam sampai hospital dah buka 5cm, doktor tolong buka jadi 6cm dan terus tolak ke bilik bersalin,” ujarnya.

Menurutnya lagi, doktor kemudian pecahkan air ketuban dan sekitar pukul 12 malam, bukaan telah sepanjang 9cm.

Pukul 1 pagi dia diminta untuk meneran supaya bayi dapat keluar dari dalam rahim dan 17 minit kemudian muncul seorang bayi perempuan.

Bagaimanapun tegas wanita itu, dia yakin situasi yang dialaminya itu adalah ujian bagi wanita bersalin dan tiada kaitan dengan pantang larang.

"Anda mesti sama dapat macam-macam pantang larang kan? Sebenarnya saya tak percaya pun.

"Dalam hati tak henti zikir sampai la nak push tu... Alhamdulillah tak terasa pun jahit," katanya memberi penjelasan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain