suria

Kiri kanan jinjing buah potong, ramai simpati nasib budak lelaki ini... Momen tengok rakan sebaya seronok main undang sebak

Kanak-kanak ini menjual buah sambil melihat rakan sebayanya seronok bermain.

KETIKA rakan seusia sedang bermain sambil mengenali dunia, ada kanak-kanak yang terpaksa menjadi dewasa lebih awal.

Tidak semua insan bernasib baik untuk dilahirkan dalam keluarga yang berkemampuan, jadi mereka ini harus cepat matang untuk membantu ibu bapa.

Hal yang sama berlaku kepada seorang kanak-kanak yang dilihat meronda pada waktu malam dipercayai di Dataran Lumut, Perak untuk menjual buah mangga potong.

Kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang seronok bermain di Dataran Lumut, Perak.

Seorang wanita yang merupakan antara pengunjung di situ sempat merakam dari kejauhan gerak-geri kanak-kanak itu sambil meluahkan rasa simpati.

"Aku tengah lepak tepi laut tiba-tiba nampak seorang budak ni jual buah. Dia pandang budak lain di situ yang tengah seronok bermain.

"Sedangkan dia kena menjual buah demi keluarga. Ya Allah sebak gila tengok situasi macam ni, semoga adik sentiasa dalam lindungan Allah," kata wanita itu menerusi video yang dikongsikan di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 11 malam, menitik air mata jumpa budak jual mangga tepi jalan... merayu borong baki buah sebab dah penat, esoknya nak bangun awal pagi ke sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: Budak darjah 6 ponteng sekolah, gigih jalan kaki jual cendawan tiram... Wanita ini tak sampai hati, jamu makan kuey teow goreng

Dalam video itu, kanak-kanak berkenaan dilihat berdiri berseorangan sambil memerhati rakan-rakan sebayanya bermain.

Wajah kanak-kanak itu dilihat sugul, mungkin menyimpan hasrat untuk menyertai keseronokan rakan seumurnya namun sedar akan tanggungjawab yang perlu digalas.

"Mungkin adik tu fikir best kalau dapat main macam ni. Tak lama selepas tu, dia pun sambung menjual buah-buahan di tepi laut.

Kadang bukan mak ayah paksa tapi mereka sendiri yang nak menolong sebab tahu keluarga tengah susah.

WARGA MAYA

"Betapa kuatnya adik ni untuk tolong ibu bapa dia mencari rezeki. Kita ambil iktibar daripada situasi ni. Semoga adik berjaya dan banggakan keluarga okay," kata wanita itu memberi harapan.

Menjengah ke ruangan komen, seorang warga maya berkata dia pernah berjumpa dengan kanak-kanak itu ketika sedang bersiar-siar di sekitar Lumut, Perak.

"Ada satu malam saya pergi healing dekat Lumut Waterfront Esplanade Wing, adik ni datang bagi buah percuma. Ada cuba sembang dengan dia, rupanya dia Cina Muslim.

"Mak ayah dia ada gerai jual buah. Baik sangat budaknya. Semoga dia terus dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan," kata warga maya itu.

Sebahagian komen warga maya.

Warga maya lain pula memahami situasi kanak-kanak tersebut dan berharap ada sinar yang menantinya di hujung terowong.

"Dia korbankan waktu kanak-kanak dia demi cari rezeki. InsyaAllah nanti dewasa dia akan jadi seorang yang sangat kuat.

"Ayuh la kita sama-sama tolong beli kalau jumpa adik ni. Dekat Melaka pun ramai budak-budak begini yang jual dekat tepi pantai, sedih tengok.

"Kadang bukan mak ayah paksa tapi mereka sendiri yang nak menolong sebab tahu keluarga tengah susah," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain