suria

Berjurai air mata tengok 5 beranak naik satu motor... Redah hujan panas dari Temerloh-Terengganu demi sesuap nasi

Lima beranak dari Temerloh menaiki motosikal menuju ke Terengganu untuk mencari rezeki. -Gambar FB Syahmi Sarif

KETIKA ramai merasakan hidup mereka susah, hakikatnya masih ada lagi keluarga yang melalui cabaran lebih getir.

Namun demi mencari sesuap nasi, segala kepayahan ditolak tepi asalkan perut anak-anak terisi.

Bayangkan, sepasang suami isteri bersama tiga anak kecil mereka mengharungi perjalanan sejauh lebih 200 kilometer dengan hanya menunggang motosikal.

Kisah meruntun hati tersebut dikongsikan seorang lelaki yang kebetulan terserempak dengan lima beranak berkenaan ketika melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT), baru-baru ini.

Menurut lelaki bernama Syahmi Sarif, dia ketika itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari Ajil ke Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, Terengganu.

"Selama saya naik highway ulang-alik Ajil ke AMBS setiap hari, banyak kali dah tengok motor rosak, kereta rosak.

motor 2

Syahmi mengikuti motosikal lima beranak itu dari belakang.

"Tapi kali ini pertama kali saya jumpa orang bawa motor lima beranak dengan baby lagi. Saya berhenti tanya, dari mana. Dia beritahu dari Temerloh, datang Terengganu sebab nak pergi tempat kerja.

"Terkejut saya, dari Temerloh dengan anak-anak lagi. Tak boleh bayang lenguh tangan mak dia dukung baby atas motor," kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Naik motor dari JB ke KL untuk temuduga, pemuda ‘lepas’ semua ujian sepanjang perjalanan berkat santuni mak ayah

ARTIKEL BERKAITAN: Empat beranak naik motor redah hujan untuk sekampit beras, barang dapur... tiba nak bayar minta tuala wanita pula!

Tidak sampai hati melihat kepayahan pasangan berkenaan, Syahmi menawarkan diri untuk menumpangkan dua anak mereka menaiki motosikal bersamanya.

Bagaimanapun katanya, pasangan berkenaan menolak pelawaan tersebut dan meneruskan perjalanan.

"Saya kejar lepas tu berhenti pula di depan dia. Tanya dia okay tak? Tawar sekali lagi nak tolong bawa anak dia.

"Sekali lagi dia senyum sambil kata 'takpe bang... takpe bang'. Lepastu mereka berlalu. Dengan tengah hujan lagi, dengan lori-lori besar lalu.

"Saya tak sedap duduk rasanya. Saya follow motor dia daripada belakang takut jadi apa-apa. Sambil follow, teringat pula macam mana susah payah mak ayah saya jaga saya dulu-dulu," katanya sambil menambah, lelaki tersebut datang untuk bekerja di sebuah restoran.

Allahuakbar... dalam kita duk mengeluh, Dia jentik menerusi (kisah) ini. Terus datang rasa bersyukur.

NETIZEN

Sedikit terkilan kerana tidak dapat membantu lima beranak tersebut sehingga tiba ke destinasi mereka, Syahmi berkata dia sempat berjanji untuk berkunjung ke restoran tempat lelaki berkenaan bekerja kelak.

"Saya doakan anak-anak abang motor ni jadi anak soleh solehah, jaga mak ayah elok-elok apabila besar nanti.

"Posting ini sebab mahu mohon anda semua doakan keluarga abang ni semoga dipermudahkan urusan," ujarnya lagi.

Sehingga kini hantaran tersebut meraih 898 shares selain dibanjiri ratusan komen netizen.

Rata-ratanya tersentuh hati dengan kegigihan pasangan berkenaan mengharungi kepayahan bersama-sama demi mencari rezeki untuk anak-anak mereka.

komen motor

Netizen meluahkan rasa simpati terhadap lima beranak tersebut.

Malah, ada juga yang mahu menyalurkan bantuan buat lima beranak berkenaan.

"Mari kita pakat-pakat bagi duit RM10 atau RM20 seorang belikan kereta untuk abang tu. Yang mampu boleh beri lebih.

"Esok ada rezeki insya-Allah nak pergi tengok. Mana tahu boleh jumpa akak tu dengan anak-anak.

"Allahuakbar... dalam kita duk mengeluh, Dia jentik menerusi (kisah) ini. Terus datang rasa bersyukur. Moga dipermudahkan segala urusan abang ni dan keluarga termasuk tuan posting," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain