suria

Naluri ibu Permaisuri Agong menyerlah, usap-usap perut terus dapat teka usia kandungan... Wanita ini mahu namakan anak ‘Azizah Aminah’

Asmalina melahirkan rasa bertuah dapat bertemu dengan Tunku Azizah.

“ASSALAMUALAIKUM, nak salam...”

Rezeki memberi salam, siapa sangka tuah menyebelahi seorang wanita hamil apabila berpeluang berjabat tangan dan beramah mesra dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi video yang tular, kelihatan Tunku Azizah yang sedang berjalan di sebuah premis didekati wanita ini yang menyuarakan hasratnya untuk bersalam.

Mendengar permintaan itu, Raja Permaisuri Agong yang sememangnya begitu dikenali dengan keramahan dan kemesraannya segera mendekati ibu mengandung berkenaan dan bersalaman.

“Mengandung ke ni? Kadang-kadang orang tu gemuk, saya kata mengandung... malu.

“Berapa bulan ni, enam bulan?” tanya Tunku Azizah sambil mengusap-usap perut wanita itu.

Asmalina hamil anak kedua.

Berkongsi cerita, ibu hamil bertuah bernama Nor Asmalina Abdullah itu berkata dia kini hamil anak kedua dengan usia kandungan enam bulan.

Ujar wanita berusia 25 tahun itu lagi, dia bertemu Tunku Azizah sewaktu sedang bekerja di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

“Kebetulan saya sedang bekerja pada hari berkenaan. Saya cuba tegur sebab teruja sangat, tak sangka Tunku Azizah yang datang dekat saya.

“Siapalah saya, cuma rakyat biasa. Ternyata tuanku sangat merendah diri, peramah pula tu,” katanya ketika dihubungi mStar.

Tuanku sangat merendah diri, peramah pula tu.

NOR ASMALINA ABDULLAH

Dalam pertemuan singkat itu, paling yang tidak disangka Asmalina adalah Tunku Azizah berkenan mengusap perutnya yang bakal menimang cahaya mata perempuan pertama.

“Apabila tuanku pegang perut saya, siap dapat teka usia kandungan enam bulan, memang saya tak terkata. Tapi saya percaya tuanku ada naluri keibuan dan mempunyai ramai putera dan puteri, jadi baginda meneka berdasarkan pengalaman,” katanya.

Bersama anak lelaki, Muhamad Ayyash Anaqi Muhamad Khairul Fazrin.

Sebelum berangkat, Tunku Azizah yang berjiwa rakyat turut mempelawa wanita yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini untuk bergambar bersama.

“Saya nak ajak tuanku bergambar, tapi segan. Alhamdulillah, tuanku sendiri sudi untuk bergambar bersama. Sudahlah datang tegur, siap offer untuk bergambar,” ujarnya dengan nada teruja.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki pagi raya! Comel Permaisuri Agong berlari-lari anak nampak rakyat Malaysia di Makkah, bertuah dapat ‘selfie’ bersama

ARTIKEL BERKAITAN: “Adoi panggil kakak lagi, ampun tuanku” - Agong, Permaisuri tak sempat singgah gerai, peniaga durian cuba nasib jumpa di airport selepas hafal skrip

Menganggap pertemuan dengan tuanku sebagai ‘rezeki anak’, Asmalina dan suami merancang untuk menamakan nama anak yang bakal lahir ini sempena nama tuanku.

“Mulanya, netizen yang mencadangkan nama anak sempena nama tuanku. Saya dan suami pun belum lagi terfikir letak nama sebab masih terlalu awal.

“Tapi rezeki ini membuatkan kami bercadang untuk menamakan nama anak perempuan ini dengan nama Azizah Aminah sempena nama tuanku.

“Kebetulan anak lelaki saya ada huruf 'AA' iaitu Ayyash Anaqi, jadi sesuai juga ada 'AA' untuk anak kedua ini. Doakan semuanya berjalan lancar,” kata Asmalina mengenai anaknya Muhamad Ayyash Anaqi Muhamad Khairul Fazrin yang berusia setahun dan lapan bulan.

Asmalina (kanan) dan suami (kiri) bersama anak lelaki mereka.

Kegembiraan Asmalina dikongsikan di laman TikTok dengan mengucapkan kesyukuran di atas pertemuan bersama Tunku Azizah yang amat bermakna.

“Masya-Allah, tabarakAllah... rezeki baby. Tuanku Permaisuri Agong usap perut kita la,” tulisnya menerusi video yang meraih lebih 400,000 tontonan itu.

Rata-rata netizen turut teruja menonton video yang dikongsikan, malah ada yang mengatakan naluri keibuan Raja Permaisuri Agong membolehkannya untuk meneka tepat usia kandungan.

“Permaisuri pandai tengok, betul dia teka enam bulan,” komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain