suria

Kena halau dari rumah sewa, semua barang terpaksa dilelong... Suami isteri masih harap dapat derma untuk Palestin

Naniessssa menjual barang-barang rumah termasuk keperluan anaknya di laman sosial.

SAYU menyaksikan seorang wanita terpaksa menjual barang-barang terpakai kepunyaannya selepas mendakwa dihalau keluar dari rumah, tak ubah seperti suasana jualan murah.

Apa yang lebih menyedihkan apabila beberapa kelengkapan bayi milik anaknya merupakan antara barang-barang yang turut dilepaskan demi mendapatkan wang.

“Disebabkan saya kena halau dari rumah... jadi saya nak lelong barang-barang rumah saya pada harga murah je.

“Tak tahu nak sedih ke apa. Ujian betul rasanya. Kalau nak gambar atau tanya apa-apa boleh PM (mesej secara peribadi) atau WhatsApp,” tulisnya menerusi hantaran yang tular di TikTok.

Antara kelengkapan rumah yang dilelong.

Berkongsi cerita, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Naniessssa berkata, kesemua barang yang dipaparkan dalam hantaran tersebut bertujuan untuk dijual.

Ibu muda berusia 20 tahun itu mengakui dia dan suami diberi kata dua oleh pemilik untuk keluar dari rumah apartment di Taman Desa itu selepas menyewanya sejak dua tahun lalu.

“Ya, saya dan suami serta anak kena halau dari rumah sewa di Taman Desa sebab tak bayar sewa. Tunggakan sebulan termasuk baki separuh bulan lepas berjumlah RM1,500.

“Bekalan elektrik juga sudah terpotong sejak seminggu lalu. Malam kami hidup dengan pasang lampu kilat yang guna bateri,” katanya ketika dihubungi mStar.

Kereta sorong milik anak lelaki berusia 11 bulan.

Menggunakan platform TikTok, Naniessssa menjual mesin basuh, ketuhar gelombang mikro dan telefon yang baru digunakan pada harga murah malah boleh dirunding.

Ini termasuk kelengkapan bayi yang terdiri daripada kereta sorong, buaian dan playpen (ruang mainan untuk kanak-kanak), dilelong pada harga serendah RM35 hingga RM300.

Menurut Naniessssa, dia terpaksa menghantar anak lelaki berusia 11 bulan ke kampung di Maran, Pahang, untuk dijaga ibunya buat sementara waktu.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami jual motor nak berniaga air balang di bazar, baru mula bisnes dah sakit seminggu... isteri harap dapat balik modal sebelum raya

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes asam pedas tak laku, suami isteri terdesak nak jual Kancil... Jalan akhir sara 5 anak kecil - “Kami lebih risau hilang tempat tinggal”

“Kasihan tengok anak berpanas di rumah sebab tak ada elektrik. Itu pun beberapa hari kami hantar dia tinggal di rumah pengasuh dahulu sebelum beri pada mak untuk jaga,” ujarnya.

Salah satu barang milik anak lelakinya yang dijual.

Bekerja sebagai barista, dia dan suami bukan sahaja tidak mempunyai wang simpanan, malah terpaksa menanggung kos lain seperti membayar motosikal.

Naniessssa mendakwa, rumah sewanya baru sebulan setengah tertunggak dan sebelum ini bayaran sewa hanya lewat sehari hingga dua setiap bulan kerana gajinya yang tidak menentu.

Ramai lagi yang hidup lebih susah dan memerlukan berbanding kami.

NANIESSSSA

“Tapi tuan rumah nak masuk tinggal di situ pada Disember ini. Tak sangka pula dia minta kosongkan rumah lebih cepat sebabkan kami tak bayar sewa, siap nak buat laporan polis.

“Jadi, kami jual barang-barang untuk dijadikan wang deposit dan sewa bilik yang baharu. Fokus kami mahu berpindah secepat mungkin,” katanya sambil menambah suaminya berusia 25 tahun juga bekerja sebagai barista.

Telefon turut dijual.

Susulan perkongsiannya di TikTok tular, Naniessssa mengakui terkejut dengan sambutan orang ramai dan setakat ini, telefon dan buaian bayi sudah terjual.

“Bukan setakat nak bayar deposit dan sewa bilik baharu, tapi juga untuk menanggung keperluan kami sekeluarga. Jika terpaksa jual cincin kahwin, saya sanggup.

“Memang sayang sebab cincin kahwin tapi jika itu jalannya, kami reda. Kalau ada duit lebih, kami berniat nak sedekah juga kepada rakyat Palestin yang memerlukan bantuan ketika ini kerana kami percaya rezeki mewah insyaAllah sekiranya bersedekah,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga selama dua tahun.

Setiap barang yang dijual boleh dirunding harganya.

Pada masa sama, dia turut terharu kerana segelintir netizen mahu menawarkan sumbangan berupa wang tunai namun dia sebolehnya mahu mereka membeli barang-barangnya.

“Kami terpaksa tolak sebab saya dan suami sama-sama bekerja, cuma sekarang ada masalah duit dan belum dapat gaji. Ramai lagi yang hidup lebih susah dan memerlukan berbanding kami.

“Jujurnya saya menangis dengan respons semua. Saya cuma berharap barang-barang dapat dijual kepada mereka yang benar-benar mahu menggunakannya dan doakan kami semoga dimurahkan rezeki,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain