TIDAK perlu diberikan hadiah mahal atau mewah, cuma dengan sepotong kek seorang lelaki dapat membuatkan isterinya tersenyum menyambut hari ulang tahun kelahiran. Sederhana tapi amat bermakna, begitulah reaksi rata-rata netizen yang terharu dengan usaha yang ditunjukkan si suami menerusi perkongsian video di laman sosial. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nazmi Anwar Nahar Nizam berkata, kejutan dibuat sempena hari ulang tahun ke-25 isterinya, Nur Damia Hidayah Faizul Azlan, pada lewat petang Khamis. Mesra disapa Nazmi, katanya, dia sememangnya merancang untuk membuat kejutan tersebut di rumah selepas mendirikan rumah tangga pada Mei lalu. “Saya dan isteri baru lima bulan berkahwin. Sebelum ini pun memang biasa sambut birthday dia (isteri) setiap tahun sejak kami bercinta pada 2018, bertunang (2022) sampai sekarang. “Sebelum ini saya buat kejutan di restoran biasa-biasa je. Cuma tahun ini dapat buat di rumah sebab dah kahwin, itu pun simple je,” katanya kepada mStar. Mula berkenalan ketika belajar di UiTM Jengka, Pahang. Mula berkenalan ketika sama-sama menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jengka, Pahang pada 2017, Nazmi yang juga berusia 25 tahun pada awalnya mahu membeli sebiji kek sempena hari jadi isterinya, namun membatalkan hasrat tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda 19 tahun tunjuk ‘effort’ luar biasa, sanggup naik bas 4 jam nak pujuk cik tunang... Hilang merajuk nampak beg Lego! ARTIKEL BERKAITAN: Isteri terharu tapi musykil suami buat kejutan sebelum keluar rumah, tulis nota di kotak ubat nyamuk! Lebih pelik 2 kali beri duit belanja “Ingatkan nak beli sebiji kek tapi sebab kami hanya tinggal berdua, nanti membazir pula. Jadi, saya cuma beli dua potong kek untuk setiap seorang. “Sebelah malamnya, saya bawa isteri pergi makan bersama di kedai makan biasa,” ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang. Bertunang pada 2022. Mengulas mengenai rakaman video kejutan itu, Nazmi yang bertugas sebagai pemandu e-hailing memaklumkan kepada isterinya bahawa dia sedang bekerja di luar. “Sebenarnya saya buat Grab siang tu, selepas tu saya beli kek dan buat persiapan untuk dekorasi sebelum isteri balik ke rumah sekitar pukul 6 petang. “Tak sangka masa dia balik tu tengah stres sebab hal kerja sampai mata berair. Dia masuk rumah nampak saya di belakang pintu terus tersenyum tak jadi menangis,” katanya. Berkahwin pada Mei 2023. Dalam pada itu dia amat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang amat memahami dan bertolak ansur serta bersikap sederhana. “Isteri faham kami baru pindah rumah selepas kahwin. Jadi, banyak guna duit untuk beli perabot dan peralatan elektrik sebab rumah kosong. Apabila suami tengok kamu gembira dan teruja, paling penting menghargai usaha dia... segala sakit dan penat pun boleh hilang. NAZMI ANWAR NAHAR NIZAM “Sejak zaman bercinta lagi dia faham kesusahan saya. Paling susah sewaktu saya terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal kena langgar dengan babi. “Saya cedera teruk di buku lali, tangan kiri dan pinggang serta terkena hentakan kuat. Sebulan cuti sakit, tapi dia sanggup datang dan ambil berat pasal saya,” katanya yang sebelum ini mencari rezeki sebagai penghantar barang. Nazmi bersyukur dikurniakan isteri yang amat memahami. Bagi Nazmi, sama ada suami mahupun isteri, hargailah pasangan masing-masing dan terima mereka seadannya di waktu susah dan senang. “Kepada wanita, sentiasa ingat lelaki penat bekerja untuk menghalalkan kamu dan melakukan apa yang kamu mahu sehabis baik demi membahagiakan kamu. “Percayalah apabila suami tengok kamu gembira dan teruja, paling penting menghargai usaha dia... segala sakit dan penat pun boleh hilang,” katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube