KONTROVERSI membabitkan seorang wanita yang dipecat pada hari pertama bekerja di sebuah kedai emas nampaknya terus berpanjangan apabila dia tampil menjawab dakwaan yang dilemparkan terhadapnya. Menerusi video terbaharu yang dimuat naik di TikTok, wanita yang mendakwa diambil bekerja sebagai eksekutif pemasaran di premis yang terletak di selatan tanah air itu terkesan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas majikannya. Mengenai soal gaji yang diminta lebih tinggi, dia mendakwa memohon pekerjaan tersebut menerusi satu laman web yang menyenaraikan peluang pekerjaan. Luahannya dipecat pada hari pertama bekerja menjadi tular di media sosial. Menurutnya, kadar gaji bulanan yang ditetapkan di laman web itu bagi jawatan eksekutif pemasaran junior sepenuh masa adalah antara RM1,800 dan RM4,000. “Saya sedar kedudukan saya, jadi saya minta di antaranya. Saya faham syarikat biasanya akan nego (runding). “Kalau saya tak sesuai, dia tak akan ambil saya. Kalau melebihi dari expectation pun dia tak akan ambil kita bekerja. Syarikat ini terima saya dengan jumlah itu,” dakwanya. Sebagai pekerja baharu, katanya dia juga faham tentang tanggungjawab untuk belajar banyak perkara dan pada masa sama perlu menjaga kelakuan di samping membiasakan diri dengan persekitaran kerja. ARTIKEL BERKAITAN: Hari pertama terus kena pecat, wanita kesal sikap tauke kedai emas... Merana duit habis bayar taska anak sebab nak kerja ARTIKEL BERKAITAN: Main WhatsApp, tengok video waktu kerja... Tauke kedai emas persoal isu amanah, perjelas kes pecat pekerja hari pertama “Pertama kali masuk, kita ada rasa gugup, gementar dan segan. Takkan kita tiba-tiba menjerit, macam buat kelakar. Sedangkan kita baru hari pertama. Jadi, kena ada sifat behave (jaga tingkah laku),” ujarnya. Selain itu wanita berkenaan turut menjawab tentang dakwaan dia menghabiskan banyak masa di tempat kerja menggunakan telefon. “Dia katakan saya banyak main handphone. Saya buat marketing, datang masuk kerja saya tahu tugas saya kena buat sale, ataupun kita kena cari orang untuk membeli. “Kita kena cari duit untuk syarikat dengan rakam video dan saya terus post di Instagram peribadi saya. Siap update sekiranya nak order boleh klik WhatsApp, terus order kalau nak beli. “Kat mana sebenarnya saya main handphone saja-saja... kalau bukan saya nak bantu syarikat naikkan sale,” katanya dengan nada kesal. Wanita itu mendakwa dia menggunakan telefonnya untuk mempromosikan barang kemas. Dia turut mengakui cuba mempelajari mengenai skop tugasan pada hari pertama bekerja namun sukar untuk mahir kesemuanya dalam tempoh singkat. “Saya belajar... cuma mungkin kalau satu hari kita kerja, masa tu pun terhad. Kita memang tak boleh terus pandai. Kalau saya tak sesuai, saya sendiri akan letak jawatan atau berhenti kerja. “Sebenarnya perkara yang buat saya lebih terkilan adalah apabila kita sudah diterima bekerja, saya dah keluarkan satu modal seperti bayar yuran anak saya di Taska. “Yuran ini melibatkan kos, jadi kita rasa sedih apabila kita tak boleh lagi nak tanggung kos tu kerana diberhentikan kerja,” katanya lagi. Sehubungan itu, dia berharap kepada majikan di luar sana supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil pekerja dan memecat sesuka hati mereka. “Setiap manusia ada tanggungjawab, nak bekerja, mencari rezeki. Jadi kalau tak sesuai mungkin kita patut bagi masa kat dia untuk belajar,” katanya lagi. Setiap manusia ada tanggungjawab, nak bekerja, mencari rezeki. BEKAS PEKERJA Pada masa sama, dia turut memohon maaf kepada mana-mana kedai emas di negara ini yang secara tidak sengaja turut terpalit dengan kisahnya yang dipecat majikan. “Minta maaf juga kepada pihak-pihak yang terlibat, contohnya kedai-kedai emas lain yang tiada kena-mengena. Saya minta maaf, kerana isu ini kedai-kedai anda juga terpalit sama. “Saya tiada niat nak menjatuhkan mana-mana reputasi kedai. Semoga ia menjadi pengajaran untuk kita semua,” katanya. Wanita ini menunjukkan bayaran kepada taska untuk anaknya. Terdahulu, bekas majikan kepada wanita itu mengeluarkan kenyataan bahawa sikapnya yang tidak fokus dalam tempoh percubaan itu membuatkan pihak pengurusan berpendapat dia tidak sesuai dengan jawatan tersebut. Menurut bekas majikan itu lagi, pada hari pertama bekerja, setiap pekerja baharu perlu mempelajari asas berkaitan barang kemas terlebih dahulu sebelum meneruskan dalam kerja khusus yang ditawarkan kepada mereka. "Skop kerja ini perlu dilalui oleh semua pekerja baharu di sini. Sikap yang ditunjukkannya pada hari pertama bekerja tidak sama berbanding ketika dia (bekas pekerja) datang sewaktu sesi temuduga. "Kami ingin bertanya, apakah sikap anda pada hari pertama bekerja? Adakah anda mengutamakan telefon bimbit daripada kerja yang baru anda peroleh? "Adakah hari pertama bekerja anda diisi dengan menghantar WhatsApp dan menonton video?" soalnya dalam kenyataan tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube