USAHA yang mungkin dianggap kecil, namun memberikan impak yang amat dahsyat. Mana tidaknya, perhimpunan solidariti untuk Palestin secara maya di dalam platform permainan video, Roblox, menjadi fenomena sehingga mendapat perhatian dunia. Lebih mengagumkan apabila pelajar tingkatan tiga dari Muar, Johor dikenali sebagai Razz yang 'membina' server (pelayan) Dataran Tanjung Mas versi digital untuk peserta berhimpun dalam platform tersebut, dengan dibantu streamer dan pencipta kandungan terkenal, Cikgu Zyd. Berkongsi cerita dengan mStar mengenai idea kolaborasi dengan remaja tersebut, Cikgu Zyd atau nama sebenarnya Afiq Mat Zaid, 32, berkata mereka sudah saling mengenali antara satu sama lain sejak 2021. "Asalnya saya buat live streaming, Razz dan lain-lain adalah penonton. Kemudian saya buat 'Discord' untuk komuniti gamers berkomunikasi. Discord ni umpama Google Meet. Daripada situ kami berkenalan. Cikgu Zyd (kanan) merupakan seorang content creator yang juga pempengaruh motivasi. "Sebelum ini kami dah buat beberapa event himpunan, contohnya sambutan Maulidur Rasul dalam Roblox... kami berarak ramai-ramai sambil berselawat. "Selang beberapa ketika, Palestin diserang. Jadi kami sepakat untuk adakan solidariti cara kami. Razz buat server, saya membantu mempromosikannya," kongsi Cikgu Zyd. Tambahnya, dia sama sekali tidak menyangka permainan video berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga tular ke luar negara. ARTIKEL BERKAITAN: Perhimpunan sokong Palestin dalam Roblox, Cikgu Zyd akui tak mudah proses buat peta ARTIKEL BERKAITAN: Solidariti untuk Palestin... Masyarakat pelbagai kaum, warga asing beri sokongan Malah disebabkan impak tersebut, dedah Cikgu Zyd, berlaku beberapa situasi yang mencurigakan oleh pihak tertentu yang kurang senang dengan usaha menganjurkan himpunan solidariti Palestin di dalam platform permainan video berkenaan. "Selepas viral, server (pelayan) tersebut disekat dan tidak boleh diakses di Malaysia.... kami kemudian usahakan buat back-up. "Kemudian, ada beberapa streamer masuk Discord dan mengganggu sewaktu solidariti. "Saya juga ada mendapat mesej daripada individu yang mengaku sebagai wartawan dari luar negara dan meminta nombor telefon kononnya untuk wawancara. Tapi saya ambil langkah berhati-hati untuk elak perkara di luar jangka. Ia bukan sekadar solidariti sebagai umat Islam, tetapi solidariti sebagai manusia. CIKGU ZYD "Dan kemudian, saluran YouTube saya yang dibuat sejak empat tahun lalu kena banned selepas kejayaan rally pertama pada 21 Oktober lalu. Lebih 6,000 subscribers hilang begitu saja," ujarnya yang juga merupakan pempengaruh motivasi (motivator influencer). Bagaimanapun ujar Cikgu Zyd, situasi berkenaan sama sekali tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkreativiti melakukan sesuatu demi kepentingan agama dan kemanusiaan. "Nampak sangat pihak di sana 'koyak' dengan kebersamaan ramai untuk bersolidariti. Mereka cuak sebab remaja dan kanak-kanak pun bersemangat. "Namun ia sama sekali tak patahkan semangat saya. Saya dan komuniti gamers akan teruskan perjuangan untuk spread awareness mengenai kemanusiaan. Ia bukan sekadar solidariti sebagai umat Islam, tetapi solidariti sebagai manusia," tambahnya lagi. Dalam masa yang sama, Cikgu Zyd turut meluahkan rasa bangga bercampur terharu apabila ramai pihak mula membuka mata dan memuji usahanya bersama rakan-rakan. Himpunan solidariti untuk Palestin di Roblox yang mencetuskan fenomena. "Alhamdulillah, saya anggap ini rezeki yang Allah bagi. Walau kecil, ia berjaya buka mata dunia. Saya kira kita patut berbangga kerana usaha ini boleh disifatkan sebagai pioneer lebih-lebih lagi ia daripada remaja tingkatan tiga. "Seronok apabila baca respons ibu bapa. Permainan video game mungkin dilihat buang masa tapi jangan nafikan ada sisi positifnya. "Insya-Allah kami akan teruskan usaha yang sama untuk event akan datang. "Dalam pada itu, besar harapan saya untuk membina satu hab komuniti buat gamers dalam usaha membentuk content creator yang boleh menjadi pelapis dan membanggakan negara," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube