suria

Tengok pun dah rasa lenguh tengkuk! Pelukis mural JDT ini ambil masa setengah bulan, lepas siap terus cari tukang urut

Nabil menyempurnakan lukisan mural bertemakan JDT di sebuah jambatan di Gelang Patah.

SENTUHAN emas lelaki ini mampu menghasilkan seni pada skala gergasi.

Buktinya hasil kerja yang tersergam indah pada struktur bangunan di serata negeri Johor berjaya membuatkan ramai terpesona.

Melalui satu video tular di TikTok, Nabil Azahari, 29, menunjukkan proses penghasilan mural di sebuah jambatan di Gelang Patah, Johor yang bertemakan warna rasmi pasukan bola sepak Harimau Selatan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bercerita tentang sentuhannya itu kepada mStar, Nabil berkata dia mengambil masa 16 hari untuk menyiapkan mural tersebut.

"Dulu saya belajar dalam bidang graphic design di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Alor Gajah, Melaka. Selepas habis belajar, saya terus buka perusahaan lukisan mural sendiri dinamakan sebagai BEEL.

"Ia dimulakan sejak tahun 2015, jadi saya boleh katakan dah sembilan tahun saya ceburi bidang ni. Yang mural JDT tu, ia adalah kolaborasi antara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan JDT sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Panggung wayang buruk jadi berseri, hasil sentuhan jurutera pesawat hilang kerja - “Bukan cetak, saya lukis sendiri”

ARTIKEL BERKAITAN: Mural 3D atas jalan bawa kelainan, pelukis beri ‘gambaran’ Terengganu di masa depan... akui karya paling mencabar tapi puas!

"Mereka yang hubungi saya melalui media sosial selepas tengok portfolio dan saya pun bersetuju untuk terima kerja ini. Mereka bayar saya untuk selesaikan segalanya daripada A-Z, mereka hanya sediakan kren.

"Saya bawa berus, cat dan peralatan lain. Tempatnya berdekatan je dengan stadium JDT," kata Nabil yang merupakan anak jati Johor Bahru.

Bercerita lanjut mengenai proses penghasilan mural JDT itu, Nabil berkata antara cabaran yang dihadapinya adalah keadaan cuaca hujan.

Sepanjang proses tu saya ada buat sistem grid, saya letak titik-titik pada jambatan sebagai rujukan.

NABIL AZAHARI

"Ini kali pertama saya buat lukisan mural secara mendongak sebab bawah jambatan, biasa dekat dinding je. Apabila siap semua tu, lenguh juga tengkuk dan lengan saya, sampai kena pergi berurut.

"Pattern mural tu klien bagi, saya kena fikirkan macam mana nak besarkan lukisan tu daripada dalam paparan kepada atas konkrit jambatan, itu yang sukar sedikit untuk bayangkan. Kemudian saya lukis secara manual guna berus.

"Sepanjang proses tu saya ada buat sistem grid, saya letak titik-titik pada jambatan sebagai rujukan supaya mural saya tu dihasilkan dengan tepat dan jitu, tak banyak lari daripada pattern yang klien bagi.

Nabil memulakan lukisan mural di sebuah jambatan.

"Selain itu, sudah tentunya cuaca. Waktu saya buat mural tu dekat seminggu juga hujan, kalau cat belum kering memang luntur, saya kena touch-up semula keesokan hari, jadi dua kali kerja," jelas Nabil.

Tambah Nabil lagi, seorang pelukis mural juga memerlukan keberanian kerana harus kerap berada di tempat tinggi.

"Mural ni akan diperlihatkan kepada pada orang ramai, jadi biasanya akan dilukis di dinding luar bangunan atau di bahagian atas bangunan yang semua orang boleh tengok daripada jauh.

"Oleh itu, kena banyak naik scaffolding dan skylift, kalau kita gayat, memang susah nak bekerja," ujar Nabil.

Hasil kerja Nabil yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Jelas Nabil dia berpuas hati dengan hasil projeknya kali ni dan menyimpan cita-cita untuk menggapai impian yang lebih besar.

"Alhamdulillah kawan-kawan dan keluarga saya beri maklum balas positif apabila ia sudah siap. Syukur setiap kali dapat projek saya dapat siapkan dengan baik.

"Kalau bercerita tentang pencapaian peribadi yang paling membanggakan, saya boleh katakan mural Harimau Malaya di Pekan Simpang Renggam, Johor.

"Mural itu berjaya merangkul anugerah Green Apple Awards for Beautiful Buildings 2019 di London, United Kingdom, sememangnya menjadi pembakar semangat untuk saya," kata Nabil menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain