suria

Staf nak bermadu dengan bos, tak malu jadi penyondol... Aisyah Hijanah ikhtiar selamatkan rumah tangga, bawa Alif Teega berubat

Aisyah membawa suaminya pergi berubat berikutan isu yang melanda rumah tangganya.

RUMAH tangga usahawan dan pempengaruh media sosial, Aisyah Hijanah diuji apabila suaminya, Mohd Hazalif cuba dihimpit pihak ketiga.

Terbaharu, wanita itu mendedahkan perkahwinan mereka yang terjalin selama enam tahun itu cuba dirosakkan oleh pekerjanya sendiri.

“Apa yang jadi ada kalanya membuatkan kita rasa dah letih buat baik pada orang. Penyondol yang cuba rosakkan rumah tangga Aisyah ni bukan orang jauh, tapi staf sendiri,” tulisnya menerusi satu luahan di Instagram miliknya.

Aisyah dan Alif berkahwin pada 2017.

Menjelaskan lanjut kepada mStar, Aisyah mendakwa salah seorang stafnya cuba mendekati suaminya yang lebih dikenali sebagai alifteega di media sosial dan perkara itu disedarinya kira-kira tiga minggu lalu.

Kata Aisyah dia tidak menyangka pekerja yang berkhidmat dengannya selama tiga tahun itu tergamak untuk menghancurkan rumah tangganya.

“Saya sangat sedih sebab selama ini saya kasihan dengan isu yang melanda diri dia, sehingga kami bawa dia pergi umrah, pergi healing dan jumpa keluarga dia untuk selesaikan isu dia.

“Dia berhenti kerja tiga minggu lalu. Hari terakhir, dia luahkan suka pada suami dan rela bermadu. Tak sangka dia ada hati dengan suami majikan sendiri,” katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang lagi Alif didekati ‘penyondol’... berani mesej Aisyah Hijanah minta bermadu

ARTIKEL BERKAITAN: Darah haid keluar 2 bulan tanpa henti, ‘Instafamous’ Aisyah Hijanah derita akibat sihir

Selain itu, bekas pekerja itu juga didakwa menipu demi meraih simpati Aisyah dan suaminya, dengan mengatakan kedua ibu bapa dan adiknya sudah meninggal dunia.

Antara luahan Aisyah di laman sosial mengenai kewujudan pihak ketiga.

Malah, bekas pekerja yang sebelum ini diberikan pelbagai insentif dan elaun sepanjang perkhidmatannya juga sanggup memalsukan surat kematian bapanya dan mendakwa tangan patah dipukul suami sedangkan bekas pekerja itu belum berkahwin.

“Saya percaya betul dengan dia sebab nampak dia kerja ikhlas tapi rupanya semua yang dia cerita adalah tipu,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada 2017.

Kita ni sama-sama perempuan, jangan bina kebahagiaan di atas penderitaan orang lain.

AISYAH HIJANAH

Susulan itu, dia membawa suaminya untuk pergi berubat dan dimaklumkan Hazalif terkena penyakit ain disebabkan hasad dengki yang berpunca daripada pihak ketiga.

“Ain ada, gangguan (makhluk halus) ada, hati dan perasaan orang lain yang suka pada suami pun ada.

“Keadaan suami sekarang okay, dia dalam fasa untuk pulih. Dia dah tak banyak diam macam sebelum ini,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata.

Aisyah dan Alif hidup bahagia bersama anak-anak.

Untuk makluman, ain adalah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.

Akui sukar mempercayai apa yang berlaku, Aisyah bagaimanapun memberi peringatan kepada mana-mana perempuan supaya tidak mengganggu suaminya.

“Tak boleh bayangkan macam mana staf sendiri boleh kata dekat suami yang dia okay untuk bermadu kalau saya okay. Hari terakhir dia bekerja, saya confront dengan dia, saya cakap jangan ganggu suami saya dan jangan ganggu hidup kami sekeluarga.

“Selama ni depan kita dia buat baik, tapi belakang lain. Saya juga dapat tahu dia selalu burukkan suami saya sebab nak play victim.

“Kepada sesiapa saja termasuk bekas staf berkenaan, saya berpesan... kita ni sama-sama perempuan, jangan bina kebahagiaan di atas penderitaan orang lain. Jangan ganggu rumah tangga yang dibina atas susah senang suami isteri dan bahagia bersama anak-anak mereka,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain