suria

Memang genius! Ini penjelasan jumlah wang hantaran kahwin Adi Putra... RM9,999.99 ada maksud tersirat

Adi dan Siti Sarah melangsungkan pernikahan pada 2 November 2023. -Gambar FB Abdul Ghani

RAMAI memuji dan mendoakan agar perkahwinan genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani bersama wanita pilihannya, Siti Sarah Zurkarnain kekal bahagia sampai ke syurga.

Menyifatkan mereka sebagai pasangan sama cantik dan sama padan, jumlah wang hantaran yang diberikan Adi iaitu RM9,999.99 kepada Siti Sarah juga dianggap unik.

Malah ada juga dalam kalangan netizen yang mempersoalkan mengapa jumlah berkenaan tidak digenapkan menjadi RM10,000.

“Berkira... satu sen je pun. Tambah apa salahnya. Tak ada la banyak sangat nombor nak diucap. Cukup RM10,000 senang,” komen seorang netizen di media sosial.

Adi bergelar suami dengan sekali lafaz. -Gambar FB Abdul Ghani

Sebagai genius matematik, Adi yang berusia 24 tahun sudah pasti mempunyai alasan tersendiri untuk ‘bermain dengan nombor’ dalam menetapkan nilai hantaran buat Siti Sarah, 27.

Bapa Adi iaitu Abdul Ghani Abdul Wahid tampil memberikan penjelasan berhubung keistimewaan di sebalik nilai wang hantaran berjumlah RM9,999,99 itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Genius matematik Adi Putra dah kahwin! Siti Sarah terima hantaran RM9,999.99

ARTIKEL BERKAITAN: Genius matematik Adi Putra perkenal cik tunang, gadis Kelantan pilihan hati... Rancang nikah dulu, sanding tahun depan

“Hadiah daripada Adi tentang nombor sembilan (Adimatik). Ilmu yang diturunkan kepada Adi daripada Allah pada usianya empat tahun ialah nombor sembilan.

“Justeru, kalau 123456789 darab (x) 9 bersamaan (=) dengan 1111111101. 987654321 x 9 = 8888888809 dan yang paling paling Adi suka adalah 98765432 x 9 = 888888888,” tulis bapa Adi menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Keunikan nilai wang hantaran Adi kepada Siti Sarah meraih perhatian. -Gambar FB Abdul Ghani

Selain itu apa yang lebih menarik adalah nombor kad pengenalan Adi juga bermula dan berakhir dengan angka 99, kata Abdul Ghani.

“Sejak Adi kecil, Alhamdulillah Adi boleh congak di kepala 9^12 = 9 kuasa 12 = 9x9x9x9x9x9x9x9x9x9x9x9 = 282429536481.

“Yang paling hebat dan dikagumi ialah Asma’ul Husna 99. Maka ditetapkan hantaran perkahwinan Adi sebanyak RM9,999.99,” ujar Abdul Ghani yang merujuk kepada 99 nama keagungan Allah.

Pada Khamis, Adi menamatkan zaman bujangnya bersama Siti Sarah dengan sekali lafaz, di Lundang di Kota Bharu, Kelantan.

Abdul Ghani turut memaklumkan majlis pernikahan berjalan lancar.

“Alhamdulillah, cuaca pun baik di Kota Bharu, hari ini,” katanya.

parent adi

Bapa serta ibu Adi iaitu Abdul Ghani dan Serihana Elias.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 19 Julai lalu.

Terdahulu, dalam temuramah bersama mStar, Adi memaklumkan dia mengenali Siti Sarah menerusi laman sosial kira-kira lapan tahun lalu.

Untuk rekod, Adi Putra pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik, khususnya dalam pengetahuan algebra, trigonometri dan darab (antara lima hingga enam digit).

Ketika berumur enam tahun, anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford di United Kingdom (UK) dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat (US).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain