suria

Peguam dah serik nak ke Skybridge, luah rasa kesal langsung tak dicari pengurusan Menara Berkembar Petronas

Menara Berkembar PETRONAS menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia. -Gambar FAIHAN GHANI/The Star

MENARA kebanggaan rakyat Malaysia yang menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia terpalit dengan insiden salah seorang kakitangannya didakwa bersikap ‘pilih bulu’.

Seorang pelawat tempatan yang berkunjung ke Menara Berkembar PETRONAS mendakwa seorang pekerja mengutamakan pelawat warga asing untuk menaiki Skybridge di menara tersebut, sedangkan dia telah pun mendapatkan slot dan menunggu lebih awal, pada Jumaat.

Bercakap kepada mStar, pelawat tersebut yang juga peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, dia kesal kakitangan berkenaan bersikap sombong dan tidak mengutamakan pelawat yang mendapat slot lebih awal.

“Kalau benar ada slot kosong, kenapa tidak dahulukan pelawat yang datang lebih awal? Kenapa perlu diberikan pelawat yang slotnya selepas saya dan juga satu pasangan dari Sarawak untuk masuk dahulu?

“Adakah pelawat mat salih itu OKU (orang kurang upaya) yang membolehkan dia masuk lebih awal? Tidak. Staf itu buat orang Malaysia ni macam layan tak layan, tapi boleh entertain orang luar,” katanya ketika dihubungi.

Seorang pekerja (kanan) yang didakwa bersikap tidak adil terhadap pelawat ke Skybridge. -Gambar Datuk Shamsuddin Nawawi

Mengulas lanjut mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Menara Berkembar PETRONAS, Shamsuddin mengulangi pendiriannya tiada sebab dia perlu menerima permohonan maaf tersebut kerana ia tidak ditujukan kepadanya secara khusus.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes utamakan pelawat Mat Salih, peguam tak terima permohonan maaf pengurusan Menara Berkembar PETRONAS

“Itu bukan permohonan maaf mengenai saya atau posting mahupun insiden yang saya alami. Kalaulah tak nak sebut nama saya pun, sebut je insiden seorang lelaki dan apa yang berlaku.

“Tapi tak ada kena-mengena. Insiden apa, pasal tandas rosak ke? Ini tak merujuk pada tiket yang saya paparkan siap tertera tarikh dan waktu kejadian.

“Maaf atas kesulitan... kesulitan siapa? Saya atau netizen? Kenyataan itu seperti computer generated,” katanya yang menaiki menara itu bersama anak lelaki berusia lapan tahun.

Sehubungan itu, Shamsuddin yang berpengalaman dalam bidang perundangan selama hampir 40 tahun memberitahu, permohonan maaf tersebut seharusnya datang daripada pihak pengurusan menara berkembar itu sendiri kepada dirinya, selain mengakui apa kesilapan yang telah dilakukan.

“Kalau orang minta maaf sebab buat salah, kena minta maaf atas kesalahan apa dan kepada siapa. Dan perlu mengakui kesilapan apa yang dilakukan itu.

Kalau orang minta maaf sebab buat salah, kena minta maaf atas kesalahan apa dan kepada siapa.

DATUK SHAMSUDDIN NAWAWI

“Katanya ‘sedang siasat’, tapi kenapa tak cari atau hubungi saya? Ada butiran saya di akaun (laman sosial). Saya tidak dipanggil, kalau dipanggil pun saya tak akan pergi kerana perlu ada ekstra masa dan kos saya, tapi mereka boleh hubungi saya.

“Mereka perlu maklumkan tentang pegawai tersebut bertindak di luar SOP (prosedur operasi standard). Adakah pegawai itu disiasat atau dikenakan tindakan?” ujarnya sambil menambah terpulang kepada kebijaksanaan pihak pengurusan untuk melakukan tindakan lanjut.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Menara Berkembar PETRONAS.

Susulan kejadian yang berlaku, Shamsuddin mengakui dirinya serik untuk kembali ke Menara Berkembar PETRONAS bagi melakukan lawatan.

“Asalnya pergi nak suka-suka, nak bawa anak sebab dia request nak naik Skybridge. Saya tak akan pergi lagi,” katanya dengan nada kesal.

Pada Sabtu, pihak pengurusan Menara Berkembar PETRONAS dalam satu kenyataan tampil membuat permohonan maaf.

“Pihak pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar PETRONAS ingin memohon maaf di atas insiden yang telah berlaku.

“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera. Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, menerusi satu hantaran yang tular, Shamsuddin mendakwa dilayan tidak adil oleh pekerja yang mengutamakan pasangan warga asing untuk menaiki Skybridge di Menara Berkembar PETRONAS.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain