suria

Ibu mentua Adi Putra pun bijak main angka! Dedah gurauan dalam kereta jadi realiti, anak betul-betul hadiahkan menantu pada hari lahir

Tarikh perkahwinan Adi Putra dan isteri dekat dengan hari ulang tahun kelahiran ibu mentua.

SELAIN nilai wang hantaran, hari pernikahan genius Matematik, Adi Putra Abdul Ghani bersama wanita pilihannya, Siti Sarah Zurkarnain yang berlangsung pada Khamis minggu lalu turut menjadi bualan.

Mana tidaknya, majlis pernikahan pasangan itu yang berlangsung di Lundang di Kota Bharu, Kelantan diadakan pada hari bekerja.

Umum mengetahui, cuti hujung minggu bagi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor adalah pada Jumaat dan Sabtu.

"Ramai kawan tanya, kenapa majlis akad nikah buat pada Khamis, bukan Jumaat atau Sabtu kedua-dua tu hari tu.

"Dia satu-satunya anakku, dah jadi milik Adi Putra," demikian antara tulisan ibu mentua genius Matematik itu menerusi hantaran di laman sosial.

Satu-satunya anak kesayangan kini menjadi milik Adi Putra. -Gambar FB Mok Alina

Seperti menantunya, wanita ini turut bijak bermain dengan angka apabila tarikh pernikahan ditetapkan itu mempunyai simbolik dengan hari ulang tahun kelahirannya ke-58.

Mesra disapa Alina, wanita itu berkata, perkara ini pernah menjadi topik perbualan bersama anak tunggalnya, Siti Sarah.

"Masa tu kami dalam kereta, jalan-jalan. Masa borak-borak, saya tanya pada adik (panggilan manja Siti Sarah). Saya tanya secara bergurau, tahun ni adik nak bagi hadiah apa untuk birthday?

"Dia jawab 'Adik nak bagi hadiah menantu untuk mak'. Masa bergurau tu tunang pun belum, tarikh nikah tak ditetapkan lagi," katanya kepada mStar.

Adi Putra, 24, dan Siti Sarah, 27, mengikat tali pertunangan pada 19 Julai lalu.

ibu mentua adi putra 3

Alina (dua, kanan) bersama Adi Putra (kiri), Siti Sarah (dua, kiri) dan kakak meraikan ulang tahun kelahiran dan perkahwinan anak di tepi pantai. -Gambar ihsan Alina

Menurut Alina yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, cadangan asal anaknya Siti Sarah mahu bernikah dengan Adi Putra pada hari ulang tahun kelahirannya pada tanggal 1 November.

ARTIKEL BERKAITAN: Genius matematik Adi Putra dah kahwin! Siti Sarah terima hantaran RM9,999.99

ARTIKEL BERKAITAN: Memang genius! Ini penjelasan jumlah wang hantaran kahwin Adi Putra... RM9,999.99 ada maksud tersirat

"Tapi birthday saya tu jatuh pada Rabu, kurang sesuai buat majlis nikah. Saya cadangkan pada dia untuk buat hari Khamis, maka terjadilah tarikh akad nikah pada 2 November.

"Malam sebelum majlis nikah, kami sekeluarga meraikan hari ulang tahun serta mengucapkan kesyukuran apabila Siti Sarah yang ketika itu bakal bergelar isteri," ujarnya yang mengusahakan bisnes spa kecantikan.

Masa bergurau tu tunang pun belum, tarikh nikah tak ditetapkan lagi.

ALINA

Sementara itu, Adi turut terharu apabila tarikh pernikahannya hanya lewat sehari dengan hari lahir ibu mentuanya yang disifatkan sebagai penyayang.

"Ibu mentua saya seorang yang baik dan penyayang. Yang penting dia dapat menerima saya seadanya, bukan kerana saya ini Adi Putra.

"Ibu sayang saya macam anaknya sendiri. Begitu juga dengan isteri saya yang penyayang dan sangat memahami," ujarnya.

ibu mentua adi putra 5

Kek simbolik ulang tahun kelahiran Alina dan perkahwinan Siti Sarah dan Adi Putra. -Gambar ihsan Alina

Mengenai keunikan wang hantaran RM9,999.99, Adi mengulas lanjut bahawa pada asalnya nilai tersebut ditetapkan pada jumlah RM10,000.

"Tapi nampak macam biasa je. Jadi saya mahu mencantikkan wang hantaran itu dengan RM9,999.99 kerana ada banyak nombor 9 yang dekat pada diri saya," katanya sambil menambah terdapat maksud tersirat di sebalik nombor sembilan itu.

Antaranya melibatkan nombor kad pengenalan Adi yang bermula dan berakhir dengan angka 99, serta 99 nama keagungan Allah, Asma'ul Husna.

Untuk rekod, Adi Putra pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik, khususnya dalam pengetahuan algebra, trigonometri dan darab (antara lima hingga enam digit).

Ketika berumur enam tahun, anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu Universiti Oxford di United Kingdom (UK) dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain