DISANGKA kanak-kanak tetapi ternyata sudah dewasa. Demikianlah nasib jejaka ini yang mempunyai wajah kebudak-budakan walaupun sudah berusia 25 tahun ekoran kondisi kesihatannya yang unik. Melalui satu video tular di laman media sosial, rata-rata warga maya terkejut melihat perkongsian rutin harian pemuda itu yang merupakan seorang pembantu tadbir di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Ingatkan adik ni ikut mak pergi kerja. "Comel la, ingatkan masuk asrama tadi, rupanya dah besar. "Selamanya kekal awet muda," kata sebahagian warga maya. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis 124cm viral selepas kongsi foto konvo, dilabel graduan paling comel! Rupanya ada masalah tulang sejak sekolah menengah ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh rahsia Allah, lelaki ini pilih wanita kerdil jadi suri hati... Rupanya nasi goreng udang jadi penambat perut encik suami Bercerita lanjut kepada mStar, Muhammad Afis Awis, atau senang disapa Apih berkata dia menghidap penyakit artritis idiopatik juvana (JIA) ketika berumur lima tahun. JIA merupakan satu bentuk keradangan yang boleh menyerang semua bahagian sendi dalam badan dan mampu membantutkan tumbesaran. "Simptom awal yang saya hadapi adalah demam selain rasa sakit sendi yang menyebabkan badan dan tulang saya mengeras serta membengkok. Disebabkan keadaan saya pada ketika itu, saya perlu banyak berehat dan pergerakan terhad. Saya punya penyelia semua terkejut, ketinggian paras siku mereka je. Mereka siap usap kepala saya macam saya ni adik-adik mereka. MUHAMMAD AFIS AWIS "Ketika kali pertama didiagnos dengan JIA ni, saya dan keluarga duduk di Kelantan, tetapi perlu ulang-alik ke Hospital Selayang, Selangor untuk menjalani pemeriksaan lanjut dengan doktor pakar. "JIA merupakan satu penyakit yang jarang berlaku dan akibat penyakit ini juga, zaman kecil saya banyak terjejas, saya tak dapat menghabiskan tadika dan terus masuk ke sekolah tahun satu. "Sampai sekarang pemeriksaan masih dijalankan secara berkala dan saya juga ada ambil ubat tahan sakit iaitu Prednisolone untuk mengurangkan keperitan radang sendi saya," jelas anak jati Kampung Gong Badak, Terengganu itu. Walaupun begitu, Apih yang merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) berkata ubat Prednisolone tersebut mempunyai kesan sampingan yang ketara. Apih terlibat dalam urus setia penganjuran majlis apresiasi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). "Saya bergantung dengan ubat Prednisolone dari umur saya lima tahun. Pada 2020, saya mengambil keputusan untuk kurangkan pengambilan ubat tu secara beransur-ansur. "Mula-mula saya kurangkan dari dua pil jadi satu setengah, kemudian jadi satu biji dan akhirnya tinggal suku je. Akibat pengurangan dos itu, badan saya memang rasa sakit tapi saya bertahan dengan painkiller yang lain. "Satu demi satu perubahan mula berlaku pada badan saya, antaranya suara saya jadi semakin garau, seperti orang dewasa, dulu suara saya kanak-kanak. Kemudian tumbuh jambang dan misai di muka saya. "Seterusnya saiz badan saya susut, namun yang peliknya berat badan saya tak berubah," kata Apih yang merupakan seorang graduan aplikasi multimedia di Kolej Cosmopoint, Kuala Terengganu. Apih berbadan sedikit gempal ketika memasuki usia remaja. Selain itu, perubahan lain yang disenangi Apih adalah apabila ketinggiannya turut bertambah. "Dulu waktu saya masuk praktikal di UniSZA, ketinggian saya cuma 128 sentimeter (cm). Saya punya penyelia semua terkejut, ketinggian paras siku mereka je. Mereka siap usap kepala saya macam saya ni adik-adik mereka. "Sekarang selepas saya kurangkan pengambilan Prednisolone, ketinggian saya dah cecah 137 sentimeter (cm), Alhamdulillah," ujar Apih bersyukur. Mengulas mengenai kehdiupan sosialnya, Apih mengakui gaya hidupnya sedikit terbatas jika hendak dibandingkan mereka yang sempurna fizikal tubuh. Apih tidak segan untuk bergaul dengan masyarakat. "Saya jika kerja biasa di pejabat saya boleh buat, tak ada masalah. Cuma kalau kerja yang memerlukan kudrat orang dewasa, itu saya akan mula menghadapi isu. Saya perlu berhati-hati memandangkan tulang saya juga rapuh. "Selain itu, pemakanan saya pun perlu dijaga. Saya tak macam orang lain yang seusia, boleh makan apa saja yang mereka nak, badan saya masih lagi seperti kanak-kanak. "Apa-apa pun saya bersyukur yang tempat kerja saya sekarang semua menerima saya dengan baik, tak ada yang menghina atau mengejek. Tapi lain cerita waktu zaman sekolah dulu, saya antara yang menjadi sasaran buli. "Di TikTok, tempat saya berkongsikan perjalanan hidup, syukur di situ turut ramai yang menyokong. Tetapi ada juga segelentir yang gemar berjenaka ringan, saya terima dengan hati terbuka," kata Apih. Apih berkeyakinan tinggi untuk berkongsikan kisah hidupnya di platfrom TikTok. Apih juga menjawab persoalan hangat warga maya tentang bagaimana dia memandu kereta dengan keadaannya yang kerdil. "Saya letakkan satu kusyen khas pada kerusi kereta yang custom made untuk membantu memudahkan pemanduan, supaya kaki boleh sampai pada pedal," jelas Apih. Menutup bicara, Apih berkongsikan impian yang ingin digapainya dalam masa terdekat ini. "Saya ingin berkahwin dan kumpul duit beli rumah sendiri. Itu dua benda yang saya nak, mana-mana yang sampai dulu. "Sebelum ni pun saya pernah mempunyai teman istimewa tetapi hubungan itu tidak berpanjangan. Saya tidak akan berputus asa dan menutup pintu hati ini," ujar Apih. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube