suria

Wanita Muslim jadi serabut dapat pensyarah Yahudi, takut gagal kerana beza agama... Asyik rasa akan dibenci sepanjang di Rusia

Membina hubungan yang baik dengan pensyarah akan memberi manfaat kepada mahasiswa. -Gambar hiasan

KETEGANGAN antara Israel dan Palestin selama puluhan tahun menyebabkan orang ramai berpersepsi buruk ke atas bangsa Yahudi.

Namun melalui satu perkongsian di TikTok, seorang wanita mendedahkan sisi berbeza dalam hal tersebut selepas dia bepeluang menuntut ilmu dengan dengan pensyarahnya yang beragama Yahudi.

Menurut wanita itu, dia mengakui pada awalnya berasa gerun apabila hendak berhadapan dengan pensyarah terbabit ketika melanjutkan pengajiannya di sebuah universiti di Rusia.

Rusia merupakan negara yang kaya dengan pelbagai budaya. -Gambar hiasan

Cerita wanita tersebut, ketika itu dia berada di tahun keempat pengajian perubatan dan perkara utama yang menjadi kerisauan adalah kemungkinan berlakunya salah faham berikutan latar belakangnya sebagai seorang Muslim.

"Masa tu saya berumur 19 tahun, seperti sedia maklum, kita memang tidak dibenarkan pergi ke Israel dan di Malaysia pun kita tak jumpa orang mereka.

"Jadi apabila saya melanjutkan pelajaran ke Rusia, saya dapat bergaul dengan mereka yang berbangsa Yahudi ini. Saya masih ingat lagi rupa pensyarah saya ni, dia profesor yang merupakan orang Yahudi.

ARTIKEL BERKAITAN: Setia hirup kopi jenama dikaitkan dengan Israel, wanita ini tolak gerakan boikot... Simpati nasib pekerja majoriti Melayu Muslim

ARTIKEL BERKAITAN: Premis makanan naik notis henti jual minuman popular, ganti jenama tak sokong Israel... Ramai puji peniaga berani

"Saya dapat tahu dia Yahudi apabila saya tengok nama dia. Dia seorang wanita, rambutnya kerinting dan usianya sudah agak lanjut. Dia ajar saya subjek penyakit berjangkit.

"Waktu tu saya terfikir, adakah dia akan gagalkan saya? Silap hari bulan tak lepas semester saya kali ni, saya memang ada mentaliti yang dia akan benci saya," ujar wanita itu.

Tambahnya lagi, setiap kali hendak memasuki kelas pensyarah tersebut, perasaan gentar akan timbul di sudut hatinya.

Baik macam mana pun, tetap kena berhati-hati dengan orang Yahudi, kita tak tahu apa niat sebenar mereka.

WARGA MAYA

"Tak senang hati rasa, lagi-lagi kalau waktu dia tengah bertanya soalan dalam kelas, saya akan rasa suspens, takut saya tak boleh jawab.

"Saya pun ada terdetik yang markah saya dapat nanti mesti buruk, sebab saya berpendapat yang profesor tu akan berat sebelah," luahnya.

Walaupun begitu, sangkaan wanita tersebut ternyata meleset apabila pensyarah berbangsa Yahudi itu merupakan seorang tenaga pengajar yang berintegriti dan komited dalam kerjanya.

"Selepas beberapa bulan berlalu, saya mula suka dengan cara profesor ni mengajar. Cara dia jalankan kelas pengajiannya sangat best, sangat jelas dan sangat menarik kalau hendak dibandingkan dengan pensyarah lain di universiti tu.

"Saya mula berbelah bahagi, sebab kalau boleh saya tak nak minat dekat dia memandangkan dia orang Yahudi. Tapi saya tak mampu, sebab profesor ni sangat terbuka dan layan kami dengan sangat baik, sama seperti kelasnya yang lain.

Melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah satu peluang keemasan. -Gambar hiasan The Star

"Kita boleh nampak yang dia ikhlas nak mengajar kita tu. Dan akhirnya saya berjaya habiskan dengan cemerlang, markah pun tinggi... tak gagal seperti yang saya fikirkan awal-awal," katanya.

Bermula daripada situ, wanita tersebut mendapat satu pengajaran berharga iaitu tidak semua orang Yahudi berpandangan sama ke atas masyarakat Islam.

"Sampai sekarang saya masih ingat pensyarah tu, betul la apa orang selalu cakap, kita akan sentiasa kenang guru yang mengajar kita dengan baik.

"Profesor tu merupakan orang Yahudi yang menetap di Rusia. Tak semua mereka sama, ada perbezaan antara seorang Yahudi dan juga Zionis," ujarnya memberikan pesanan.

Sebagai makluman, Zionis merujuk kepada kelompok Yahudi yang berpendirian bahawa tanah Palestin adalah milik mereka secara hak bagi membentuk negara Israel.

Konflik Israel-Palestin bagaikan tidak berkesudahan. -Gambar hiasan

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya berasa kagum dengan perkongsian kisah wanita berkenaan.

"Orang Yahudi juga manusia biasa macam kita, ada hati budi dan perasaan. Tapi kita daripada awal lagi disemai kebencian kepada mereka.

"Hakikat yang pahit untuk diterima, orang Yahudi adalah orang yang paling cerdas dan bijak dalam sejarah dunia hingga ke hari ini.

"Baik macam mana pun, tetap kena berhati-hati dengan orang Yahudi, kita tak tahu apa niat sebenar mereka," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain