suria

Dikritik tak profesional balas emel penganjur APBN, anak arwah Aziz Desa mohon maaf

Zhiddin memberi penjelasan berhubung emel yang dihantar kepada penganjur APBN.

NAMPAKNYA masih belum reda isu majlis Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 berikutan salah seorang finalis mempertikaikan tentang penganjurannya.

Terbaharu, finalis berkenaan yang dicalonkan untuk kategori Ikon Belia Influencer (Media Sosial), Zhiddin Aziz dikritik mengenai tata cara penulisannya ketika membalas emel sekretariat APBN berhubung gambar yang diminta pihak berkenaan.

Gaya penulisan Zhiddin yang juga anak kepada personaliti televisyen, Allahyarham Aziz Desa ketika membalas emel tersebut disifatkan sebagai tidak profesional.

zhiddin maaf 3

Emel berkaitan gambar finalis yang dihantar Zhiddin menerima kritikan.

Selain didakwa membalas emel tanpa mengikut protokol memandangkan ia adalah urusan rasmi, Zhiddin juga menulisnya menggunakan huruf besar kesemuanya, iaitu 'MAS ZHIDDIN ZHIDDAN BIN ABDUL AZID ANUGERAH IKON BELIA INFLUENCER'.

Susulan kritikan yang dilontarkan oleh pengguna di laman X sehingga tular, pempengaruh media sosial itu tampil membuat permohonan maaf pada petang Selasa.

“Saya Mas Zhiddin Zhiddan ingin memohon maaf kepada pihak berkaitan atas kedangkalan tata saya ketika menghantar emel maklumat yang diperlukan.

“Sebening jiwa saya tidak berniat ingin membalik adab, sejujurnya perkara tersebut terjadi kerana kesilapan saya yang terlepas pandang,” tulis Zhiddin di ruangan komen menerusi hantaran di TikTok yang menyiarkan artikel mengenai kritikan terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak arwah Aziz Desa tunjuk bukti dihubungi penganjur APBN, siap minta gambar HD... Disuruh ikut garis panduan foto pemenang anugerah

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak penuhi kriteria punca anak arwah Aziz Desa tak naik pentas... Penganjur rahsia pemenang sebelum majlis

Mengulas lanjut, Zhiddin menjelaskan bahawa penulisan sedemikian berlaku disebabkan dia mahu membalas emel tersebut dengan kadar segera.

“Walau bagaimanapun, selepas menghantar emel tersebut, saya telah berhubung dengan pihak berkaitan bagi memaklumkan saya telah menghantar gambar yang diperlukan.

Zhiddin sebelum ini meluahkan kekesalannya berkaitan penganjuran APBN.

“Oleh itu, saya sekali lagi ingin memohon maaf atas tata kedangkalan yang dilakukan. Saya akan memastikan bahawa isu tata emel ini akan menjadi kejadian pertama dan yang terakhir,” katanya lagi.

Kritikan terhadap emel yang dihantar Zhiddin dipercayai merujuk kepada foto dengan resolusi tinggi yang diminta pihak penganjur anugerah itu.

Saya tidak berniat ingin membalik adab.

ZHIDDIN AZIZ

Dalam rakaman video yang dimuat naik Zhiddin pada Ahad, antara lain dia mendedahkan tangkap layar kiriman emel yang dipercayai memintanya untuk menyediakan gambar dengan garis panduan foto pemenang anugerah untuk paparan skrin pentas utama.

Terdahulu, tular kisah Zhiddin yang melahirkan rasa kesal dan mendakwa anugerah bagi kategori Ikon Belia yang sepatutnya menjadi miliknya dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim, digugurkan pada saat akhir.

Permohonan maaf Zhiddin.

Dia yang segak berbaju Melayu lengkap dengan tengkolok, ditempatkan di dalam auditorium bersama sekumpulan penerima anugerah, namun hampa kerana tidak berpeluang untuk naik ke pentas bagi menerima anugerah bagi kategori yang disertainya.

Susulan kekecohan yang berlaku, pihak penganjur Sekretariat APBN tampil memberikan penjelasan bahawa Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN sebulat suara memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori yang dipertandingkan.

“Tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer (Media Sosial) dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana tiada calon yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Pengumuman semua pemenang anugerah juga hanya diumumkan ketika majlis berlangsung dan tiada pengumuman rasmi dibuat kepada mana-mana pemenang sebelum itu.

“Pemenang bagi setiap kategori di bawah APBN dipilih dan dinilai oleh panel penilai yang mempunyai kepakaran dalam kategori masing-masing sebelum dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN,” menurut kenyataan itu, pada Sabtu malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain