RAMAI yang berpakaian warna hijau pada Rabu sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin. Warna tersebut menjadi tema sempena kempen ‘Wear Green For Palestine’ yang mana masyarakat dunia menunjukkan sokongan terhadap penduduk di Gaza yang menjadi mangsa serangan rejim Zionis. Media sosial dibanjiri dengan gambar dan video mereka yang sepakat memakai pakaian hijau untuk menyokong kempen tersebut. Namun apa yang tidak sedap didengar apabila ada yang sanggup mengecam golongan yang tidak memakai baju hijau. Lebih menyedihkan kecaman itu datangnya daripada rakan-rakan sendiri. Kempen 'Wear Green For Palestine'. -Gambar Twitter Hakikat yang pahit untuk ditelan, namun begitulah yang berlaku kepada seorang individu, sebagaimana yang dikongsikan oleh seorang pensyarah kanan. “Hari ini (Rabu) ramai orang yang pakai baju hijau sebab solidariti, kempen baju hijau stand for Palestine. Cumanya waktu makan tadi ada enam orang semua pakai hijau, seorang je baju lain warna merah. “Kebetulan dia tersilap tarikh, semalam dia dah pakai baju hijau... sepatutnya hari ni. Kawan-kawan lain bergurau dan mengecam dia serta minta dia jadi jurugambar,” kata Pensyarah Kanan Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhamad Ashraf Rostam menerusi satu video di TikTok. ARTIKEL BERKAITAN: Premis makanan naik notis henti jual minuman popular, ganti jenama tak sokong Israel... Ramai puji peniaga berani ARTIKEL BERKAITAN: Penangan boikot, mi segera di kedai runcit kampung tak laku! Peniaga rayu tolong beli, kalau habis janji tak restock dah Mengulas lanjut, Muhamad Ashraf berkata, gara-gara tersilap tarikh dan memakai baju warna merah, secara tidak langsung individu itu dianggap tidak menunjukkan solidariti terhadap Palestin. “Walhal kalau tanya tentang Palestin, dia boleh bagi syarahan. Dia dah ikut isu tentang Palestin ni berzaman sejak dulu waktu masih bergelar pelajar. “Dah lebih 10 tahun pun dia ikuti dan sentiasa sumbang untuk Palestin. Ini kita yang baru je nak solidariti, kebetulan dapat mesej daripada kawan suruh pakai baju hijau,” ujarnya. Muhamad Ashraf berkongsi kisah sekumpulan rakan yang memakai baju hijau sebagai tanda solidariti kepada Palestin. Susulan kisah rakan dikecam itu, Muhamad Ashraf memberitahu, setiap manusia diberi peluang untuk melakukan sesuatu sebagai tanda solidariti kepada Palestin seperti memboikot produk-produk yang menyumbang kepada rejim zionis. Namun katanya, dikhuatiri perbuatan itu hanya membangkitkan satu perasaan diri yang bongkak dan meninggi diri. Jangan kita rasa hebat dengan apa yang kita buat. DR MUHAMAD ASHRAF ROSTAM “Kita boleh boikot, tapi kita pandang orang lain yang tak boikot ni sebagai orang yang tak cakna dan ada kejahilan. “Dia mungkin tidak ada kesempatan, mungkin dia tiada kekuatan atau tak tahu pun benda tu perlu boikot. Tapi kita pandang rendah dan rasa megah dengan diri,” katanya. Perhimpunan sebagai tanda solidariti. -Gambar The Star Sehubungan itu, Muhamad Ashraf menasihati semua agar tidak meninggi diri dengan setiap amalan dan perbuatan yang dilakukan. “Jangan kita rasa hebat dengan apa yang kita buat. Mudah-mudahan kita doa orang lain yang masih belum mampu untuk boikot, orang lain yang masih belum diberi kekuatan lagi. “Bagi orang lain yang belum dapat lagi ilmu yang sepatutnya, kita ajar dengan perasaan yang kita mungkin diberi sedikit kelebihan,” ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube