BENARKAH Langkawi kini sunyi sehingga ia dilabelkan sebagai ‘pulau hantu’? Kecoh di media sosial mengenai pulau legenda itu ibarat ‘pulau zombi’ kerana kurangnya kemasukan pelancong. Malah, timbul pelbagai andaian dan spekulasi tentang punca berlaku situasi ini termasuklah dakwaan harga makanan yang mahal dan kos pelancongan yang tinggi. Terbaharu, seorang personaliti media sosial, Muhammad Faiz Basirun menerusi video di TikTok, membuat 'pemeriksaan' di beberapa premis makanan di pulau peranginan itu bagi mendapatkan kepastian. Faiz melakukan 'serbuan' dekat Pantai Cenang. Turut dikenali sebagai ‘CEO Anjing’ kerana sering memberi makanan kepada haiwan itu, Faiz melakukan ‘serbuan’ di Pantai Cenang yang merupakan kawasan paling popular dengan kedai makan tempatan dan antarabangsa di Langkawi. “Cakap Langkawi tak ada orang. Saya sekarang ni dah sampai Langkawi, Alhamdulillah ramai sangat orang. Yang complain pasal makanan mahal. “Saya betul-betul dekat kedai depan Pantai Cenang, tak nak sebut kedai nanti kata saya review, tapi saya tak review pun. Harga tak ada mahal mana pun. Siapa buat cerita ni?” katanya yang berasal dari Langkawi. ARTIKEL BERKAITAN: TikToker beli 1.5 tan beras bantu orang susah, buat agihan macam YB kawasan! Tapi ada yang kata parti politik tolong ‘payung’ ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda anggap anjing jalanan macam kawan, ada duit lebih belanja Pizza Hut, KFC... hari-hari biasa diberi makan ‘dry food’ Menunjukkan menu dari sebuah kedai makan, Faiz memaklumkan harga satu set nasi bujang berserta ikan siakap masak tiga rasa dan teh o ais cuma berharga RM25. Faiz menyifatkan makanan yang dijual pada harga berpatutan. Dia turut menunjukkan beberapa set makanan lain yang berharga RM15 dan RM20 yang menawarkan nasi bujang, sejenis lauk dan minuman. Malah, Faiz turut terkejut melihat set untuk tiga orang yang terdiri daripada tiga pinggan nasi bersama lauk ikan siakap tiga rasa, paprik ayam, telur dadar, kangkung belacan berserta ulam dan sambal yang ditawarkan pada harga berpatutan. “RM65 untuk tiga orang makan. Apa yang mahalnya? Char kue teow RM8, standard la,” ujarnya. Kalau pandai cari, silap haribulan harga murah sampai tak masuk akal. NETIZEN Faiz sekali lagi menjelaskan dia berkunjung ke premis makanan tersebut bersama rakan-rakannya bukan untuk tujuan promosi. “Ini saya datang serbu tanpa review. Memang saya buat spot check satu pulau Langkawi. Okay je,” katanya, merujuk kepada harga makanan di kebanyakan premis adalah murah dan berpatutan berbanding sangkaan ramai. Faiz menunjukkan jumlah harga makanan dan minuman untuk sembilan orang. Di akhir video berdurasi satu minit dan 23 saat itu, Faiz mendedahkan jumlah harga makanan dan minuman melibatkan dia dan lapan rakan. “Jumlah kami seramai sembilan orang adalah RM165.50. Kalau dibahagikan kepada sembilan orang, RM20 pun tak sampai untuk seorang. Jadi fikir, tak kan mahal?” katanya lagi. Di ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan hasil ‘pemeriksaan’ Faiz dengan mengatakan bahawa harga makanan di Langkawi masih berpatutan. “Berlambak kedai makan yang murah kat Langkawi. Kalau pandai cari, silap haribulan harga murah sampai tak masuk akal. “Kami dok pergi pun biasa-biasa je harga makanan. Seorang makan bawah RM15 tu biasa, Bergantung kepada jenis makanan kita makan,” demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube