LUARAN nampak tenang, tapi dalam hati tak siapa yang tahu. Seorang wanita dikenali sebagai Nuraien Nor, 35, meraih perhatian ramai selepas dia berkongsi tentang kisah kematian arwah suaminya di media sosial. Menurut Nuraien, dia aktif berkongsi pengalaman dengan netizen dan berharap apa yang dilaluinya sejak 2017 boleh memberi inspirasi kepada kaum Hawa yang mungkin berdepan situasi sama, satu masa nanti. Foto kenangan Nuraien dan anak-anak bersama arwah. "Arwah suami saya, Mohd Noor Zairie Nordin meninggal pada 27 Jun 2017. Punca meninggal adalah kemalangan di Bandar Penawar, Kota Tinggi. Arwah dirawat di Hospital Kota Tinggi dan juga Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. "Arwah berada di hospital selama 20 hari dan menghembuskan nafas terakhir pada hari raya ketiga tahun 2017. Kebanyakan orang kenal saya sejak arwah kemalangan. Saya banyak berkongsi di Facebook. Memang ramai yang ikuti kisah saya di sana. "Apabila aktif di TikTok, saya kongsi juga di TikTok. Mana tahu asbab kisah saya, boleh beri persediaan awal buat wanita lain. Tak sangka boleh viral, niat nak kongsi sedikit ilmu yang saya tahu," ujarnya kepada mStar. Saya sendiri tak pernah bersedia, tapi Allah sentiasa beri ujian kepada hambanya yang mampu. NURAIEN NOR Bercerita tentang tempoh 20 hari di hospital, Nuraien berkata dia terpaksa kuat kerana memikirkan dua anaknya yang masih kecil pada waktu itu. Imbas Nuraien lagi, dia juga sempat menangis sepuas-puasnya ketika melawat suaminya di hospital sebelum dikejutkan dengan berita kematian pada keesokan harinya. "Yang memberi saya kekuatan adalah saya dah lihat arwah di hospital hampir 20 hari. Saya nampak betapa sakitnya dia, walaupun dia ditidurkan. Setiap hari saya minta Allah kuatkan saya. Saya sentiasa pandang muka anak-anak saya. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas suami meninggal, didiagnos kanser pula! Guru 4 anak cekal buat kemoterapi sendirian, dulu ke mana saja berteman ARTIKEL BERKAITAN: Suami meninggal dunia sebulan sebelum bayi lahir, isteri baru sedar arwah bagi ‘hint’... Yakin Allah dah susun cantik-cantik "Pada hari raya kedua, saya melawat seorang diri. Saya tak tahu la kenapa ketika tu, saya menangis macam apa dengan dia. Sampai tersedu sedan. Arwah juga menagis ketika tu. Bagaikan saya tengah berbual dengan dia. Padahal dia ditidurkan. "Petang saya balik macam biasa, malam dapat call arwah dah nazak. Ketika tu saya bagai dah tak ada air mata. Bagai air mata dah kering. Rupanya itu yang terakhir saya bersama dengan dia," ceritanya lagi. Menurut Nuraien lagi, dia sendiri tidak pernah bersedia untuk berdepan hari menyedihkan itu, namun percaya apa yang berlaku merupakan takdir yang tertulis untuk dia dan anak-anaknya. Ibu kepada dua cahaya mata ini berharap perkongsiannya dapat memberi inspirasi kepada wanita lain. Dalam temubual sama, Nuraien juga sempat berpesan kepada wanita lain agar bersedia untuk berdepan situasi itu suatu hari nanti "Saya sendiri tak pernah bersedia. Tapi Allah sentiasa beri ujian kepada hambanya yang mampu. Apa jua ujian yang datang. Teruskan sahaja. Kalau ada anak-anak, fikir tentang mereka. "Sebab mereka hanya ada kita, kalau kita tak boleh berdiri. Bagaimana pula mereka? Duduk dan bertenang. Atur kehidupan sebaiknya dan sentiasalah dekat dengan Allah. InsyaAllah bukan sahaja awak akan lebih tenang, tapi kehidupan awak pasti akan lebih baik. Foto terakhir bersama arwah. "Tiada siapa yang pinta untuk diberi ujian kematian. Lagi pula kematian suami. Saya dengar, kehilangan suami ni adalah kesakitan terpaling perit dalam hidup. Jadi jangan takut, doa banyak-banyak. "Kalau dah terpaksa tempuh. Tempuh dengan sabar. Insya-Allah ada sinarnya nanti," ujarnya nanti. Tambah Nuraien, dia bangkit dalam masa tujuh hari dan terus memulakan perniagaan makanan tambahan demi menyara hidup bersama putera dan puterinya. Di TikTok, video-video Nuraien yang berkongsi tentang kisah hidupnya turut meraih ratusan ribu tontonan dan dihujani banyak komen, khususnya daripada kaum Hawa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube