suria

Perlu redah air pasang, internet teruk... Guru ‘homesick’ kena posting ke Sarawak! Lupa semua cabaran selepas ‘jatuh cinta’

Cikgu Ain merupakan guru di SK Salah Kechil, Daro, Sarawak.

BERGELAR guru sememangnya penuh dengan cabaran, lebih-lebih lagi bagi yang ditugaskan di kawasan pedalaman.

Jaringan komunikasi, fasiliti, infrastruktur dan sebagainya yang agak terhad berbanding sekolah di bandar merupakan antara perkara normal yang terpaksa ditempuhi.

Namun semuanya ditolak tepi demi tanggungjawab serta amanah untuk mendidik anak bangsa.

Tular satu video di aplikasi TikTok, memaparkan seorang guru wanita mengharungi air pasang di hadapan kuartersnya dengan mengenakan sepasang but ketika mahu pergi mengajar di sekolah.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 621,000 jumlah tontonan selain dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya kagum dengan semangat dan pengorbanan guru berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Noor Izzatul Ain Ismail berkata, ketika itu sememangnya musim air pasang di mana kuarters yang didiaminya dinaiki air kerana terletak di kawasan yang agak rendah.

cikgu 2

Keadaan sekolah apabila air pasang.

"Biasanya kalau air pasang waktu pagi bermula dalam pukul 5 atau 6 pagi, dan 8 atau 9 pagi. Bergantung masa start naik, makin lama makin tinggi.

"Kalau bulan 12 ni nanti memang paras tinggi seperti orang tempatan cakap, separas paha atau mungkin lebih.

"Kalau air pasang dah start tenggelam macam tu memang saya akan pakai kasut but. Sekolah depan kuarters saja. Ia akan surut setelah beberapa jam," ujarnya yang merupakan guru di SK Salah Kechil (SKSK), Daro, Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru besar tinggal dalam stor sempit dari mula berkhidmat sampai bersara, semuanya demi anak bangsa!

ARTIKEL BERKAITAN: Dari bandar ke pedalaman! Guru terkejut ‘mi goreng 4 pagi’ buat murid bersorak, anak petani hadiahkan timun segar

Meskipun terpaksa mengharungi air pasang, Noor Izzatul Ain atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ain berkata, suasana menjadi meriah seperti pesta apabila orang kampung mula menahan pukat atau bubu untuk menangkap ketam serta ikan.

Berkhidmat sebagai guru prasekolah sejak sembilan bulan lalu, Ain mengakui hatinya meronta-ronta sebaik mendapat perkhabaran bakal ditugaskan di pedalaman Sarawak.

"Menangis hari-hari lebih-lebih lagi bila dapat tahu seminggu sebelum tarikh lapor diri. Makan pun tak lalu. Rasa macam nak give up dan tak nak pergi.

"Tapi berkat sokongan family, tunang, orang terdekat, saya cuba reda dan berdamai dengan takdir.

"Saya cuba sehabis baik setiap hari bangun tidur, cuba bersangka baik dengan perancangan Allah," ujarnya yang berasal dari Pahang.

cikgu 3

Meraikan sambutan Hari Kebangsaan bersama pelajar.

Tidak terlepas mengalami gejala 'homesick', Ain berkata bagaimanapun dia dapat membiasakan diri selepas dua bulan menetap di lokasi baharu itu.

Sama seperti kebanyakan sekolah di kawasan pedalaman lain, antara cabaran yang biasa dan perlu ditempuhinya adalah masalah talian internet, bekalan elektrik kerap terputus, pengangkutan untuk lokasi tertentu serta kekangan bahasa.

Namun menurut guru berusia 27 tahun ini, ia sama sekali tidak membuatkannya berputus asa untuk terus berkhidmat lebih-lebih lagi mengenangkan kebaikan orang tempatan.

Sarawak best! Tak kenal maka tak cinta. Dah kenal, sentiasa jatuh cinta.

CIKGU AIN

"Selalu ada bonding time dengan orang kampungg, kadang-kadang buat makan-makan barbeku, pergi kenduri doa selamat dekat sini dan banyak lagi.

"Suasana pun tenang, stress-free sebab kawasan kampung. Udara fresh. Anak-anak murid suka tolong cikgu, kadang tu selalu datang lepak sekali dekat kuarters," ujarnya lagi.

cikgu 4

Bersama rakan-rakan sejawat.

Tidak menyangka videonya mengundang perhatian ramai, Ain berkata dia sekadar ingin berkongsi mengenai suasana serta kehidupan di kawasan berkenaan yang secara tidak langsung boleh menjadi pembakar semangat buat bakal guru kelak.

"Bagi saya menerusi video tu membuatkan orang lebih menghargai guru, lagi-lagi yang posting kawasan pedalaman dan semestinya bukan saya seorang je.

"Dan saya yakin ada lagi guru di kawasan pedalaman yang lebih susah daripada keadaan saya rasanya tapi diorang tetap kuat bertahan untuk beri ilmu kepada anak-anak Sarawak dan Sabah.

"Saya bersyukur sebab saya happy dekat sini sekarang. Sarawak best! Tak kenal maka tak cinta. Dah kenal, sentiasa jatuh cinta," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain