suria

Kejutan untuk mak ayah baru balik umrah! Rumah lebih kemas hasil gotong royong anak menantu, koleksi ‘Tipuware’ berjaya dibuang

Reaksi ibu melihat rumah berwajah baharu selepas pulang dari menunaikan umrah.

TABIAT suka menyimpan atau mengumpul banyak barang sehingga memenuhi segenap rumah sering dikaitkan dengan perangai mak-mak

'Sayang nak buang' atau 'masih elok lagi', antara alasan diberi apabila ada yang mahu membuang barang-barang 'koleksi' mereka yang dilihat sebagai sampah di mata orang lain.

Bagi sekumpulan adik-beradik, pemergian ibu bapa ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah menjadi peluang keemasan untuk melakukan ‘pembersihan’ rumah secara besar-besaran.

Berkongsi cerita, salah seorang anak, Nor Aainaa Nordin berkata, dia bersama lima adik-beradiknya mengambil masa selama dua minggu untuk mengadakan gotong-royong untuk tujuan itu.

Mesra disapa Aainaa, dia bagaimanapun menjelaskan bahawa mereka telah mendapat keizinan daripada ibu bapa terlebih dahulu sebelum memulakan proses pembersihan.

“Kami adik-beradik dah rancang lama, tapi tunggu masa nak merealisasikannya. Apabila mak ayah nak berangkat ke Tanah Suci, kami minta izin beritahu nak kemas rumah mereka.

“Jadi, kami bukan main terjah. Cuma mak tak tahu apa yang kami bersihkan. Semuanya adalah rahsia dan tanda tanya untuk kejutan,” katanya kepada mStar.

Proses pembersihan di segenap bahagian di dalam rumah.

Wanita berusia 35 tahun itu berkata, gotong-royong itu diadakan kerana terlalu banyak barang yang disimpan ibu bapa mereka terutama di bahagian dapur dan bilik menyimpan pakaian.

Pada masa sama, mereka juga mahu memastikan ibu bapa hidup dengan lebih selesa, dalam persekitaran sihat dan bersih di rumah yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan itu.

Kami tak sangka begitu banyak ‘khazanah’ yang simpan selepas dibuka, dikemaskan dan dikorek setiap bahagian.

NOR AAINAA NORDIN

“Mak ayah dah 30 tahun menetap di situ, tempat kami adik-beradik dibesarkan. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, kami dah pesan reda je apabila ada barang-barang dah lama, tak boleh guna dibuang.

“Kami tetap hormat barang-barang yang mak sayang terutama ada nilai sentimental. Mana dah buruk atau kotor kami buang, dan ada yang kami gantikan dengan yang baharu,” ujarnya sambil menambah ibu bapanya masing-masing berusia 63 dan 70 tahun serta dikurniakan 11 cucu.

Adik-beradik mengemas koleksi Tupperware.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, selain membuang barang-barang yang tidak digunakan, mereka juga mengecat ruang dalam rumah serta menyusun atur semula perabot.

ARTIKEL BERKAITAN: Katil dah nak roboh, siap letak bata! 4 anak ‘makeover’ bilik mak ayah, perjelas dakwaan simpan duit bawah tilam lama

ARTIKEL BERKAITAN: Luar flat dalam kondo! Anak-anak kumpul RM80,000 ubah suai rumah buruk jadi mahligai... 25 tahun terbiar, jiran tumpang buat stor

“Barang-barang mak yang kami tak buang sudah tentu bekas Tupperware sebab mahal dan masih boleh digunakan lagi. Kami lebih banyak buang ‘Tipuware’ (bekas lama tanpa jenama).

“Kita meminimumkan barang-barang supaya lebih banyak ruang kosong di dalam rumah. Segala Tupperware mak kami susun elok-elok dan dihimpunkan dalam satu almari,” ujarnya mengenai gotong-royong yang turut dibantu oleh suami dan adik-beradik ipar.

Keadaan ruang tamu sebelum (kiri) dan selepas berwajah baharu.

Untuk pakaian ibu bapanya pula, kata Aainaa, sebahagiannya disedekah dan dibuang.

“Kami kemas dan buat ‘makeover’ pada hujung minggu dari pagi ke malam. Keseluruhan ada 20 plastik mengandungi sampah dan barang-barang yang dikumpul untuk dibawa keluar.

“Kami tak sangka begitu banyak ‘khazanah’ yang tersimpan selepas dibuka, dikemaskan dan dikorek setiap bahagian,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Keluarga Aainaa kini lebih selesa untuk berkumpul bersama.

Aainaa yang bertugas dalam bidang sumber manusia mengakui pelbagai strategi dirancang sepanjang ibu bapa mereka mengerjakan umrah.

“Kami beritahu kalau nak post pasal makeover kat story Facebook atau status WhatsApp, kena ‘hide’ (sorok) daripada mak ayah. Masa mak buat video call dari Tanah Suci untuk bertanya khabar, kami sanggup keluar dari rumah supaya tak nampak progres yang kami buat.

“Balik dari umrah, ayah baca doa depan pintu... mak siap jeling cari pasu bunga orkid yang kami dah susun elok. Alhamdulillah, rumah mak ayah berwajah baharu dan ada tempat berkumpul bersama yang selesa,” katanya sambil menambah suasana meriah apabila terdapat kejutan mesin basuh baharu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain