suria

‘Pakar bedah daun’ terpedaya taktik ‘kongsi rezeki’, akhirnya akaun TikTok digodam! Ukiran foto arwah Suhaimi Saad jadi posting terakhir

Muhammad Hafizi yang berbakat mengukit daun mendedahkan akaun TikTok miliknya digodam.

MANGSA scammer tidak hanya tertumpu pada selebriti dan pempengaruh media sosial, tetapi juga individu biasa yang tidak dikenali.

Lebih menyedihkan, individu yang menggunakan platform media sosial sebagai sumber rezeki turut menjadi mangsa tanpa disedari.

Hakikat yang pahit untuk ditelan, namun itulah yang berlaku kepada seorang pemuda yang berbakat mengukir daun dengan menghasilkan pelbagai potret dan lakaran.

Antara seni ukiran daun yang dihasilkan oleh Muhammad Hafizi.

Meluahkan mengenai kejadian itu, pelukis berusia 32 tahun itu, Muhammad Hafizi Abdul Karim berkata, dia terjebak dengan satu penipuan berunsurkan ‘coin’ di laman sosial.

Akibatnya, akaun TikTok miliknya yang mempunyai hampir sejuta pengikut telah digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Ia bermula pada petang Isnin apabila isteri rakan saya chat di TikTok. Saya tidak mengesyaki apa-apa sebab kami pernah buat content bersama mengenai ukiran daun.

“Individu tersebut beritahu nak beri coin 30,000 kepada saya sebab nak berkongsi rezeki. Kemudian dia minta nombor WhatsApp saya dan kami sambung chat di situ.

“Dia (scammer) kemudian minta satu kod yang terpapar menerusi emel. Selepas beri kod tu, saya terus tak boleh log in akaun,” katanya ketika dihubungi mStar.

Muhammad Hafizi berkongsi video seni ukiran daunnya di TikTok.

Melabelkan dirinya sebagai ‘pakar bedah daun’, dia panik namun mula terfikir kemungkinan akaun isteri rakannya juga digodam.

Hafizi bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana pertama kali berdepan dengan kejadian itu dan tidak mengetahui tentang kewujudan kod serta muslihat scammer berkenaan.

Saya bimbang perbuatan scammer ini akan menjejaskan reputasi saya, terutama seni ukiran daun.

MUHAMMAD HAFIZI ABDUL KARIM

“Apabila saya menggunakan akaun isteri untuk periksa akaun saya, didapati individu tersebut sedang buat live untuk menagih gift.

“Saya tak pasti jantina dia kerana live tersebut hanya pasang selawat dan minta bagi ros (hadiah). Dia juga tutup ruangan komen,” ujar pemuda dari Sungai Petani, Kedah itu.

Muhammad Hafizi (kanan) menyerahkan potret ukiran daun kepada Dr Mahathir.

Muhammad Hafizi sebelum ini pernah tular apabila menghasilkan ukiran daun bagi potret Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga berpeluang menyerahkan sendiri hasil seni berkenaan kepada bekas perdana menteri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pakar bedah daun’ akhirnya bertemu Tun M, bersengkang mata sampai pukul 2.30 pagi hasilkan satu lagi buah tangan

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Pakar bedah daun’ kongsi emosi ukir potret Rayan, 2 jam mengukir hanya bayang kesedihan dan ketakutan

Selain Dr Mahathir, antara potret tokoh dan selebriti yang diukirnya di atas daun adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee; dan pelakon Shukri Yahaya dan Hannah Delisha.

Menerusi akaun TikTok tersebut, video terakhirnya memaparkan ukiran daun berupa potret bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Allahyarham Suhaimi Saad.

Muhammad Hafizi bersama salah seorang anaknya.

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sedihnya bapa kepada tiga cahaya mata ini memandangkan akaun TikTok tersebut merupakan salah satu sumber utamanya mencari rezeki.

“Selama tiga tahun saya kembangkan seni ukiran daun. Saya bimbang perbuatan scammer ini akan menjejaskan reputasi saya, terutama seni ukiran daun,” ujarnya sambil menambah telah menghasilkan lebih 1,000 ukiran daun.

Sehubungan itu, Muhammad Hafizi memohon kerjasama orang ramai terutama para pengikutnya di akaun tersebut supaya melaporkan perkara itu kepada TikTok.

“Saya risau orang lain pula yang terkena. Saya perlu buat akaun baharu, jadi saya minta jasa semua untuk bantu saya menaikkan kembali akaun itu nanti,” katanya yang mempunyai akaun Instagram Eijiartstudio.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain